DAP ucap takziah kepada mangsa jenayah keji

Rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan berita jenayah zalim apabila seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) telah meninggal dunia akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal oleh dua orang perompak di rumah kedainya di Sungai Besar, Sabak Bernam pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, dan bekerja sebagai tukang jahit dan pembuat kuih. Yang lebih menyayat hati, kejadian itu disaksikan oleh cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok.

Menurut keterangan cucunya, dua lelaki memakai sarung muka dan bersarung tangan serta bersenjatakan dua bilah parang telah memecah masuk melalui pintu belakang. Cucunya tidak melawan dan mendiamkan diri tetapi mangsa telah menjerit meminta tolong menyebabkan suspek menumbuk dahinya dan bertindak menekup muka mangsa dengan bantal sehingga lemas.

Bagi cucu dan keluarga arwah Sabariah, statistik yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membuktikan pengurangan jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah tidak mampu menenangkan hati. Walaupun kadar jenayah dikatakan telah menurun, pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan seorang warga emas di rumahnya sendiri ini adalah bukti bahawa jenayah seperti ini bukan sahaja melibatkan golongan atasan tetapi golongan bawahan juga. Jika rakyat miskin pun tidak dikecualikan daripada jenayah rompak dan bunuh, maka seluruh rakyat Malaysia juga boleh menjadi mangsa.

Justeru, DAP ingin menyampaikan takziah kepada keluarga arwah mangsa dan mengecam kejadian ini sekeras-kerasnya. Dalam pada itu, kita juga menyeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein agar melakukan sesuatu untuk menangani dan mencegah jenayah-jenayah yang makin hari makin menjejaskan semua lapisan masyarakat Malaysia.

DAP berharap bahawa pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan dan tidak hanya mengambil tindakan apabila seorang yang kaya dan bernama yang menjadi mangsa.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan