Ucapan Penggulungan Ketua Menteri Pulau Pinang di Persidangan DUN Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato' Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Bajet 2013, khususnya yang membabitkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan yang melibatkan semua portfolio Exco-exco Kerajaan Negeri. Sepanjang sesi perbahasan yang lalu telah banyak perkara yang ditimbulkan dan Kerajaan Negeri akan memberi perhatian terhadap semua teguran, pandangan dan cadangan yang dikemukakan bagi memastikan pelaksanaan Bajet 2013 dapat mencapai matlamat dan maksudnya dalam memberi kesejahteraan kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

Penggulungan pada kali ini adalah terakhir bagi sidang DUN pada tahun ini sebelum Pilihan Raya. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Deepavaili Vaithigal kepada semua ahli Yang Berhormat dan hadirin yang beragama Hindu yang akan merayakannya pada 13 November 2012 nanti dan tidak lupa juga Selamat Menyambut Awal Muharam bagi yang beragama Islam yang akan menyambutnya pada 15 November 2012 nanti.

Minggu ini adalah satu minggu yang penting dan bersejarah untuk dunia kerana melihat pemilihan dan peralihan kuasa pucuk pimpinan di dua buah negara ekonomi terbesar di dunia, Amerika Syarikat dan China. Kemenangan orang berkulit hitam pertama, Presiden Obama di Amerika Syarikat untuk penggal kedua, merupakan satu kemenangan ke atas kebencian, sikap ekstremis dan momokan. Sungguhpun Obama berlawan dengan wakil "Wall Street", beliau menang kerana memberi harapan kepada rakyat bahawa adalah lebih penting untuk berdagang daripada berperang, mencapai persefahaman daripada bermusuhan dan menubuhkan masyarakat madani inklusif berbanding masyarakat ekstremis yang eksklusif serta maruah rakyat lebih penting daripada politik wang. Semoga harapan yang sama dapat juga dicapai di Malaysia.

Automated Enforcement System atau AES BN lebih bersifat kroni kerana memastikan kroni-kroni tertentu mengaut keuntungan atas kesakitan malah penderitaan rakyat. Itulah sebabnya kerajaan negeri telah menghalang pemasangan 56 buah kamera 1Malaysia di seluruh Pulau Pinang kerana tidak mahu 1.6 juta rakyat negeri dimangsakan oleh golongan penghisap darah.

Bajet Pakatan Rakyat, Agenda Ekonomi Saksama (AES) dalam Bajet 2013 amat memfokuskan kepada strategi untuk mengurangkan ketidaksamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negeri dapat dijana dengan baik supaya semua rakyat negeri Pulau Pinang mendapat manfaat yang sama rata dan tidak dianaktirikan dalam arus pembangunan negeri. AES PR berjiwa rakyat ini berteraskan kepada tiga konsep kesaksamaan iaitu proportional fairness, equal opportunity and procedural fairness.

Proportional fairness menolak mereka yang bersikap sambil lewa kerana ganjaran akan diberikan berdasarkan kemampuan dan kerajinan. Lagi rajin dan produktif lagi tinggi ganjarannya dan sebaliknya. Peluang saksama memastikan tidak ada yang akan terpinggir dan tertinggal hanya kerana tidak memperolehi peluang pendidikan kerana miskin, peluang pekerjaan dan kontrak kerana tidak mempunyai hubungan kabel politik ataupun layanan kerana datang daripada sesuatu kaum, bangsa atau jantina. Procedural fairness pula memastikan ketelusan, integriti dan akauntabiliti diwajibkan supaya berpandukan kedaulatan undang-undang dan mengawal amalan rasuah dan penyelewengan.

Memang ketiga-tiga konsep ini ini dihayati dalam urustadbir Cekap, Akauntable dan Telus(CAT) dan AES PR. Kejayaan CAT terserlah dengan Laporan Ketua Audit Negara 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mencipta rekod lebihan surplus yang paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang yang naik 312% kepada RM 138 juta pada tahun 2011 berbanding RM 33 juta pada tahun 2010. Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri PR kerana kecekapan dalam pengurusan kewangan yang baik. Sungguhpun demikian, teguran-teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara adalah diterima dengan baik oleh Kerajaan Negeri dan tindakan-tindakan yang proaktif akan diambil bagi memastikan perkara ini tidak akan berlaku pada masa akan datang.

PERBELANJAAN PEMBANGUNAN

Pihak pembangkang telah membangkitkan mengenai prestasi perbelanjaan pembangunan Kerajaan Negeri tahun 2010 dan 2011 yang rendah terutama bagi P.01 - Pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri. Pada tahun 2010 peruntukan di bawah P.01 telah dibelanjakan sebanyak RM179.54juta daripada peruntukan berjumlah RM328.25 juta. Sebab utama yang menjurus kepada perkara tersebut adalah kerana peruntukan yang diberikan bagi pelaksanakan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang tidak perlu dibelanjakan. Pada tahun 2010 sebanyak RM92 juta diperuntukan untuk pelaksanaan projek tersebut. Ia tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya memandangkan terdapat kelewatan pelaksanaan projek di peringkat persekutuan yang mana pada ketika itu sedang dalam urusan perundingan berkaitan dengan kontrak bagi pembinaan empangan berkenaan. Daripada jumlah tersebut hanya RM4.2 juta iaitu bagi bayaran perunding.

Pada tahun 2010 juga Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM68 juta bagi Pengambilan Balik Tanah di kawasan Pondok Upeh, Mukim 6, DBD untuk tujuan hab pendidikan. Pengambilan tersebut telah selesai sepenuhnya pada tahun 2010 dengan bayaran pampasan berjumlah RM40.29 juta kepada pemilik tanah terlibat. Oleh yang demikian terdapat penjimatan sebanyak RM27.7 juta. Ini berlainan dengan Kampung Genting di mana pengambilannya dibatalkan pada tahun ini. Kelewatan pelaksanaan Empangan Mengkuang pada tahun 2010 dan penjimatan bagi pengambilan balik tanah di Pondok Upeh, Balik Pulau telah menyebabkan peruntukan sebanyak RM115.5 juta atau 35 peratus dapat dijimatkan.

Pada tahun 2011 telah dicatatkan di dalam Laporan Audit bahawa sebanyak RM386.2 juta tidak dibelanjakan. Di antaranya adalah sejumlah RM262.30 juta yang diperuntukkan untuk bayaran balik pinjaman Projek Bekalan Air (Butiran 45) kepada Kerajaan Persekutuan tidak diperlukan lagi akibat skim pemindahan aset Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Sejumlah RM100 juta yang diperuntukkan untuk cadangan pengambilan tanah Hub Pendidikan di Balik Pulau tidak diteruskan. Sebenarnya hanya RM 23.9 juta yang tidak dibelanjakan dari pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan pada tahun 2011 tetapi belum siap sepenuhnya dan pembayaran penuh tidak dibuat seperti projek Mahkamah Syariah di Daerah Seberang Perai Tengah, pinjaman kepada Majlis Perbandaran Sebarang Perai dan Projek projek Khas Ekonomi. Manakala sebahagian lagi adalah penjimatan perbelanjaan ekoran projek-projek dilaksanakan secara tender atau sebut harga terbuka.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta pada tahun 2011 bagi pengambilan balik tanah untuk tujuan hab pendidikan di Kampung Genting, Balik Pulau. Pada tahun 2011 peruntukan bagi tujuan berkenaan sebanyak RM100 juta tidak dibelanjakan memandangkan Kerajaan Negeri masih dalam proses bagi memutuskan perancangan pembangunan berasaskan pendidikan yang paling ideal dan mampu membantu pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut. Justeru, peruntukan tersebut telah dibawa ke tahun 2012 untuk dibelanjakan. Berdasarkan perancangan awal, tanah yang akan diambil di Kampung Genting akan menempatkan Asian Woman Leadership University (AWLU). Namun begitu AWLU telah bersetuju untuk memilih tapak Kerajaan Negeri di Pondok Upeh, maka pengambilan yang dicadang di Kampung Genting telah dibatalkan seterusnya tidak dibelanjakan sebanyak RM100 juta.

Perlu ditegaskan perbelanjaan bagi kerajaan negeri PR bertambah iaitu 55% lebih tinggi daripada Belanjawan kerajaan BN untuk tempoh yang sama. Penekanan kepada peruntukan pembangunan diteruskan dengan tambahan sebanyak 9.15% bagi tahun 2013 berbanding tahun 2012 didasari oleh komitmen Kerajaan Negeri untuk menyeimbangkan keperluan pembanguna negeri kepada 6 agenda utama, iaitu :

  1. Infrastruktur : RM 77.7 juta

  2. Pengambilan Tanah : RM 58 juta

  3. Pertanian & Pembangunan Luar Bandar : RM 13 juta

  4. Perumahan : RM 12.5 juta

  5. Program Bantuan Rumah : RM 50 juta

  6. Sosial & Pembangunan Masyarakat : RM 152.1 juta

Jumlah : RM 363.3 juta

Sebelum ini pihak pembangkang mendakwa lebihan Bajet terbesar ini dicapai kerana kerajaan negeri kurang belanja. Bila dakwaan ini dibuktikan sebagai fitnah kerana lebihan terbesar dicapai sungguhpun perbelanjaan naik 55%, maka pula pusing 180 darjah dengan mempersoalkan mengapa wang tidak dibelanjakan. Jangan-jangan dalam memperlekehkan kejayaan kerajaan negeri PR dalam menguruskan kewangan dengan baik sampai hingga hendak mempersoalkan kewibawaaan Lapuran Ketua Audit Negara. Sekiranya Laporan Ketua Audit Negara mengkritik kerajaan negeri pasti pembangkang akan terbawa-bawa mempertahankannya tetapi bila kerajaan negeri dipuji yang sebaliknya berlaku.

Suka saya jelaskan disini bahawa, AES dirangka untuk membolehkan golongan miskin dipelihara dan menjadikan Pulau Pinang negeri pertama di Malaysia yang membebaskan diri daripada cengkaman kemiskinan. AES memperkasakan dasar 'Pro-poor' untuk menaikkan pendapatan minima bulanan bagi setiap isi rumah di Pulau Pinang kepada RM 770 secara "tambah nilai atau top-up". Pendapatan garis kemiskinan ditetapkan oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM720 sebulan tetapi kerajaan negeri menetapkan pada tahap terbaru RM770 sebulan serta mensejahterakan kebajikan rakyat kepada warga emas, ibu tunggal, OKU dan bantuan "one-off" IPTA sebanyak RM1,000. Malah pada tahun 2013 bantuan kebajikan ini dikembangkan lagi kepada waris ibu tunggal dan OKU. Selepas menjadi negeri pertama yang menghapuskan miskin tegar, kita harus bangga negeri Pulau Pinang sebagai negeri berkebajikan tercapai dengan AES.

HASIL KERAJAAN NEGERI

Berhubung dengan isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Pembangkang yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri bergantung sepenuhnya kepada hasil yang berkaitan tanah dan penjualan tanah. Ini adalah tidak benar kerana kerajaan negeri hanya menjualkan 105 ekar tanah secara tender terbuka. Perlu diingatkan bahawa penjualan tanah secara tender terbuka kompetitif ini membolehkan kerajaan negeri memperolehi RM1.1 bilion. Ini jauh lebih baik berbanding dengan kerajaan negeri BN yang menjualkan 4,000 ekar tanah dan hanya mendapat balik kurang daripada kurang daripada separuh RM1.1 bilion ini. Bayangkan betapa besar kerugian kerajaan negeri. Perbezaan ketara ini disebabkan kerajaan lama tidak buat tender terbuka kompetitif tetapi untuk kroni mereka. Exco Pulau Pinang telahpun melantik YB Padang Kota untuk penjualan 4,000 ekar tanah oleh kerajaan lama agar suatu Kertas Putih dapat disediakan untuk membolehkan cerita benar macam manatanah Kerajaan Negeri diselewengkan selain daripada kes Tang Hak Ju dan Pulau Jerejak.

LEBIHAN PERBELANJAAN KERAJAAN NEGERI

Kerajaan Negeri dipersoalkan mengapa berlakunya lebihan (su plus) bagi tiga (3) tahun di akhir penutupan akaun pada 31 Disember 2011, walaupun Bajet 2011 adalah dijangkakan berdefisit. Dalam hal ini jelas membuktikan kecekapan dalam pengurusan kewangan oleh Kerajaan Negeri walaupun Bajet tahun 2011 menunjukkan bajet defisit tetapi di akhir penutupan akaun pada 31 Disember 2011, Akaun Kerajaan Negeri menunjukkan lebihan (surplus) sebanyak RM 138.32 juta. Di antara faktor yang terlibat adalah disebabkan oleh peningkatan hasil seperti berikut :-

Lebihan dari penutupan Akaun Amanah Jabatan Kewangan Negeri yang dipindahkan ke Akaun Hasil Negeri;

i) Peningkatan dalam hasil premium dan bayaran khas tanah; dan

ii) Peningkatan keuntungan pembiayaan dan perolehan pelaburan seperti faedah atas simpanan tetap dan dividen saham syarikat tersiar harga. Selain itu, dasar penjimatan ('value for money') dengan system tender terbuka dan urustadbir CAT menyumbang kepada pengurangan perbelanjaan keseluruhan Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Dato' Speaker

Y.B. ADUN Teluk Bahang juga membangkitkan isu mengenai penjualan tanah di Bayan Mutiara di mana beliau mendakwa telah berlaku kerugian yang sebanyak RM 2.4 billion kepada rakyat akibat penjualan tanah di Bayan Mutiara. Ini adalah satu fitnah sama sekali.

Kerajaan Negeri yakin penjualan ini menguntungkan dan memberi faedah kepada Negeri Pulau Pinang bukan seperti yang didakwa oleh Y.B Adun Teluk Bahang atas sebab-sebab berikut:-

  1. Penjualan tanah ini yang dibuat melalui tender terbuka berjaya memperolehi harga tanah yang tinggi dan jauh melebihi kadar penilaian tanah masa tersebut. Pada ketika itu, penilaian JPPH menunjukkan kadar tanah tersebut adalah diantara RM65-RM84 sekaki persegi (skp) akan tetapi tanah tersebut berjaya menarik minat pembelian pada kadar RM240skp iaitu diantara 285%-369% daripada harga penilaian atau lebihan RM697 juta - RM782 juta diperolehi jika dibandingkan dengan kadar JPPH.

  2. Penjualan tanah ini akan memberi pendapatan sebanyak RM1.07 billion kepada Kerajaan Negeri dan sejumlah RM500 juta akan diketepikan khusus oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan perumahan mampu milik yang kini sedang dirancang dan diusahakan oleh agensi Kerajaan Negeri iaitu PDC. Program seperti ini tidak pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini dalam usaha membantu rakyat negeri Pulau Pinang.

Yang Berhormat Dato' Speaker

MAKLUMAT PRESTASI PEMBANGUNAN TAHUN 2011

YB ADUN ADUN PENGKALAN KOTA membangkitkan soalan iaitu di bawah P01 (57): Kuarters Kerajaan Negeri, sebanyak RM 3,633,080 juta diperuntukkan pada tahun 2013 adakah pembinaan baru atau pembaikan sahaja? Adakah tapak kuarters ini diperuntukkan bagi pembinaan rumah mampu milik?

Peruntukan sebanyak RM 3, 633,080 juta diperuntukkan hanya untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan bagi 1,343 unit buah kuarters Kerajaan Negeri di seluruh negeri Pulau Pinang. Daripada jumlah peruntukan yang diluluskan, sebanyak RM2,448,000 diperuntukkan untuk 756 unit kuarters Kerajaan Negeri di dalam Daerah Timur Laut sahaja. Peruntukan sebanyak ini diperlukan kerana bangunan- bangunan kuarters sedia ada merupakan bangunan-bangunan lama yang sentiasa perlu diselenggara bagi memastikan keselamatan penghuninya serta memastikan kuarters- kuarters berkenaan dihindari oleh serangga-serangga merbahaya khususnya anai-anai. Sementara itu, kuarters-kuarters bertingkat juga perlu sentiasa diselenggara agar segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan baik dan memuaskan di samping memastikan imej bangunan-bangunan kerajaan khususnya kuarters kerajaan negeri sentiasa dalam keadaan sempurna dan tidak menjejaskan imej Kerajaan Negeri. Sebagai tambahan dan makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, tapak-tapak kuarters ini tidak diperuntukkan bagi pembinaan rumah mampu milik.

Peruntukan ini disediakan Kerajaan Negeri selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang sentiasa memastikan bukan sahaja kebajikan rakyat Pulau Pinang secara umumnya dan turut memberi pertimbangan kepada penjawat awam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

YB ADUN PENGKALAN KOTA juga membangkitkan soalan mengenai pelaksanaan E-Kerajaan, apakah perkembangan terbaru free wifi? Apakah impak yang diperolehi? Apakah masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri?

Pelaksanaan Penang Free WiFi Fasa 1 & Fasa 2 sebanyak 1500 hotspots telah disiapkan sepenuhnya mengikut jadual dan melibatkan 40 KADUN di seluruh Negeri Pulau Pinang. Pelaksanaan projek Penang Free WiFi Fasa 1 yang melibatkan 750 hotspots telah disiapkan pada bulan Mac 2011 manakala projek Penang Free WiFi Fasa 2 yang melibatkan 750 hotspot dan telah disiapkan pada bulan Mei 2012. Hotspot Penang Free WiFi dipasang terutama di lokasi tumpuan orang awam seperti di astaka, pusat membeli-belah, perpustakaan, dewan orang ramai, dewan JKKK, masjid, surau dan sebagainya.

Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam perbincangan untuk melaksanakan Penang Free WiFi Fasa 3 bagi tujuan meluaskan lagi liputan diseluruh Pulau Pinang.

Impak daripada pemasangan 1500 hotspots ini telah berjaya menarik seramai 250060 pengguna sehingga Oktober 2012 dan secara puratanya setiap bulan menerima penambahan sebanyak 13000 pengguna baru. Secara amnya, projeck Penang Free WiFi telah berjaya membawa manfaat kepada penduduk Pulau Pinang.

Masalah yang dihadapi oleh pihak Kerajaan Negeri dalam proses pelaksanaan Penang Free WiFi adalah mencari tempat pemasangan Penang Free WiFi yang sesuai dan dapat memberi liputan yang baik untuk orang awam. Oleh itu dengan kerjasama daripada pihak Kerajaan Negeri, Ahli-ahli DUN, PDC Telco dan REDtone, masalah ini dapat diatasi.

Berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh Y.B. ADUN Seberang Jaya mengenai status Pemilikan Tanah Taman Manggis, adalah dimaklumkan bahawa tanah tersebut masih berstatus Tanah Hak Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 17 Oktober 2008 telah mengambil maklum bahawa sebuah syarikat swasta telah berminat untuk menggunakan tanah kosong bersebelahan flat di Jalan Zainal Abidin untuk pembinaan sebuah hospital swasta. Y.A.B Ketua Menteri pada 21 Oktober 2008 telah mengarahkan agar tanah tersebut dijual kepada syarikat yang berminat secara tender terbuka bagi tujuan pembinaan sebuah hospital swasta dengan sekurang- kurangnya 130 tempat letak kereta. Pada 26 Februari 2009, satu mesyuarat teknikal yang dipengerusikan oleh Pengarah UPEN telah diadakan bagi membincangkan mengenai cadangan pembinaan Pusat Perubatan Pakar tersebut dan diputuskan agar UPEN menyediakan tawaran tender bagi cadangan pembinaan Pusat Perubatan Pakar di atas Lot 305, 306, 313 dan 314 Jalan Burma, Pulau Pinang untuk ditawarkan secara tender terbuka. Permohonan Merancang iaitu MPPP/OSC/PM (1582)/11 telah dikemukakan pada 23.12.2011 bagi cadangan membina 1 blok bangunan (30 tingkat) hospital swasta dan hotel oleh Tetuan Kuala Lumpur International Dental Corporation Sdn. Bhd. di atas lot 305, 306, 307, 308, 309, 311, 312, 313, 314, 964 dan 1155, Seksyen 16, Bandar George Town, D.T.L., Lorong Selamat, Jalan Zainal Abidin, Pulau Pinang. Walau bagaimanapun permohonan ini telah ditarikbalik pada 10.04.2012 oleh MPPP.

Sehubungan dengan itu, tender pertama bagi tujuan Penjualan Tanah bagi Projek Pembinaan dan Pengurusan Pusat Perubatan Pakar telah dilaksanakan melalui laman web e-perolehan pada 10 Ogos 2009 dan tender turut diiklankan di NSTP dan The Star. Tender ditutup pada 10 Disember 2009 dan 3 buah syarikat iaitu GM Helathcare Sdn. Bhd., United Overseas Empire Sdn. Bhd. dan Kuala Lumpur International Dentel Centre Sdn. Bhd. (KLIDC). Telah menyertai tender tersebut. Lanjutan itu, Jawatankuasa Teknikal dan Penilaian Harga Tender yang bersidang pada 19 Januari 2012 memutuskan agar tender ini dibuka semula dalam tahun 2010 kerana syarikat-syarikat yang memasuki tender tidak mematuhi syarat wajib tender yang ditetapkan iaitu tidak hadir lawatan tapak yang diadakan 10 September 2009. Keputusan ini dikemukakan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Lembaga Perolehan Negeri dan dipersetujui untuk ditender semula.

Tender kedua telah dibuka pada 16 Februari 2010 dan ketiga-tiga pembida telah dijemput semula untuk menyertai tender. Tender diiklankan dalam laman web e-perolehan dan juga akhbar The Star dan Sinar Harian. Tender tersebut telah ditutup pada 16 April 2010 dan 4 pembida menyertai bidaan iaitu GM Helthcare Sdn. Bhd., United Overseas Empire Sdn. Bhd., Kuala Lumpur International Dentel Centre Sdn. Bhd. (KLIDC) dan Ranting Setia Sdn. Bhd.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Penilaian Harga telah diadakan pada 16 Jun 2010 dan mesyuarat memperakukan tawaran bagi cadangan pembangunan diberi kepada Syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC) dengan harga tawaran sebanyak RM11,552,208.00 (RM232 x 49,794 sekaki persegi). Nilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harga, Kementerian Kewangan Malaysia pada 17 Ogos 2009 bagi kesemua lot tanah iaitu 305, 306, 313 dan 314 Jalan Zainal Abidin / Lorong Selamat, Seksyen 16, Bandar George, Pulau Pinang ialah RM8,500,000.00. Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Penilaian Harga Jawatankuasa Teknikal dan Penilaian Harga ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN dan turut dihadiri oleh wakil Jabatan Kewangan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perancang Bandar Dan Desa, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri, Jabatan Kerja Raya negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Daerah Tanah Daerah Timur Laut, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Keselamatan dan kesihatan pekerja Pulau Pinang serta Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Keputusan Jawatankuasa Teknikal dan Penilaian Harga tersebut telah dikemukakan kepada Lembaga Perolehan Negeri yang bersidang 20 Julai 2010 dan mesyuarat bersetuju untuk menawarkan tender ini kepada syarikat KLIDC dengan harga tawaran sebanyak RM11,552,208.00 (RM232 x 49,794 sekaki persegi). Lembaga Perolehan Negeri ini dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dengan ahli-ahli lain seperti Y.B. Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah UPEN dan Pengarah Kerja Raya Negeri. Lanjutan dari keputusan tersebut, surat tawaran telah dikeluarkan oleh UPEN kepada pihak syarikat KLIDC bertarikh 23 Julai 2010 dengan syarat pihak syarikat dikehendaki mengemukakan wang cagaran projek dalam bentuk Jaminan Bank berjumlah RM577,610.40 iaitu 5% daripada jumlah harga tender.

Perunding yang terlibat bagi rekabentuk pembinaan hospital tersebut adalah di bawah bidang kuasa pembida tersebut iaitu KLIDC dan bukan di bawah Kerajaan Negeri. KLIDC akan melantik perunding mereka memandangkan KLIDC mempunyai pengalaman luas dalam pembinaan pusat pakar semenjak tahun 1998. Antara projek yang telah dilaksanakan adalah Colombia Asia Hospital Shah Alam, Selangor (RM8 juta) pada tahun 1998, Colombia Asia Hospital Seremban (RM8 juta) pada Jun 2000, Colombia Asia Hospital Puchong, Kuala Lumpur (RM28 juta) pada Oktober 2006, Colombia Asia Hospital Taiping (RM28 juta) pada 2008 dan Colombia Asia Hospital Seremban Nusajaya, Johor (RM31 juta) pada 2009.

Jumlah kos yang terlibat untuk mengiklankan tender menerusi surat khabar tempatan seperti di atas adalah berjumlah RM15,234.24. Jumlah ini meliputi bayaran pengiklanan bagi tender pertama (NSTP dan The Star) pada 10 Ogos 2009 berjumlah RM8,459.64 dan bayaran pengiklanan kali kedua (The Star dan Sinar Harian) pada 16 Februari 2012 berjumlah RM6,774.60.

Lot 305 - 309, 311 - 314, 964 dan 1155, Seksyen 16, Bandar Georgetown, Daerah Timur Laut merupakan bekas tapak kuarters Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah memohon kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina satu (1) blok 18 tingkat (320 unit) Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa dalam projek RMK-8 - iaitu projek PPR Taman Manggis yang kini telah didirikan.

Pelan Merancang JPB/PM/3500 dan JBP/KM/2506/A dan Pelan Bangunan No. 40198 untuk projek PPR Taman Manggis telah diluluskan oleh pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 25 Februari 2002. Tanah bersebelahan PPR Taman Manggis iaitu Lot 305, 306, 313 & 314, Seksyen 16, Bandar Georgetown, Daerah Timur Laut adalah ditandakan sebagai kawasan lapang untuk pembangunan masa hadapan dan Lot 964, Seksyen 16, Bandar Georgetown, Daerah Timur Laut ditandakan sebagai kawasan lapang.

Tiada sebarang Pelan Merancang/ Pelan Pembangunan diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang atas Lot 305, 306, 313 & 314, Seksyen 16, Bandar Georgetown, Daerah Timur Laut dari tahun 2002 hingga 2008.

Kerajaan Negeri sememangnya menimbang untuk membina rumah mampu milik dalam tapak tersebut, sungguhpun ianya ditandakan sebagai tanah lapang. Akan tetapi, Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan rumah mampu milik atas tanah 1 ekar ini atas alasan ianya terlalu kecil kerana syarat keluasan tanah minima untuk rumah mampu milik atau PPR yang dinyatakan oleh YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung adalah 2 ekar. Jelas sekali itulah sebabnya pihak Kerajaan Persekutuan tidak berminat membina rumah PPR atau mampu milik di tapak ini kerana ianya terlalu kecil. Sebaliknya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan 11 ekar tanah di Jalan S.P. Chelliah untuk tujuan pembinaan rumah mampu milik, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Adalah sungguh luar biasa di mana pihak Barisan Nasional (BN) tetap menyatakan bahawa mereka telah memperuntukkan tanah tersebut untuk perumahan mampu milik atau PPR sejak tahun 2003. Timbullah persoalan sekiranya benar, mengapa pihak BN semasa menjadi Kerajaan tidak pula meneruskan pembinaan rumah mampu milik atau PPR di antara tahun 2003 hingga Mac 2008 tetapi sebaik sahaja menjadi pembangkang, baru timbul keinginan dan minat untuk membina rumah?

Tanah Taman Manggis dijual secara tender terbuka untuk membina hospital swasta dengan harga tawaran tertinggi iaitu sebanyak RM232.00 sekaki persegi di mana ianya lebih tinggi daripada harga yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta di bawah Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM212.00 sekaki persegi pada 27 Ogos 2009.

Isu debenture diucapkan dengan sendiri oleh YAB Ketua Menteri.

Projek Taman Makmur Jaya Lot 1470 mempunyai lot kedai, rumah dan tempat letak kereta. Car Park adalah common property patut diserahkan kepada penduduk. Mengapa tempat letak kereta tersebut boleh dijual dan dibuat sub pembahagian? Tanah tersebut dijual dan dibuat tapak pasar malam.

Pemaju bagi projek Taman Makmor Jaya ialah Tetuan Heap Hoe Seng. Lot asal ialah lot 8470 Mukim 12 Daerah Barat Daya. Lot ini telah dipecah sempadan kepada 11 lot baru iaitu lot 8765 hingga 8775. Kesemua lot kedudukannya adalah berdampingan di antara satu sama lain kecuali lot 8775. Kedudukan lot 8775 adalah terasing , dimana ianya dipisahkan oleh jalan laluan dengan lot-lot yang lain. Permohonan hakmilik strata telah pertama kali di kemukakan oleh pemohon pada tahun 1996 tetapi permohonan tersebut di tolak kerana tidak memenuhi syarat untuk kelulusan. Syarat kelulusan ialah bangunan hendak lah didirikan di dalam satu sempadan lot. Dalam kes ini bangunan telah didirikan di dalam 10 lot berasingan iaitu lot 8765 hingga 8774. Bagi membolehkan pengeluaran hakmilik strata tuan tanah telah mengambil tindakan mencantumkan lot-lot tanah yang terlibat, Lot-lot yang di cantumkan ialah lot-lot 876 hingga 8774 menjadi lot baru iaitu lot 17081. Lot 8775 tidak terlibat di dalam cantuman ini memandangkan lot tersebut telah di pisahkan oleh jalan laluan. Selepas selesai proses cantuman pemohon telah mengemukakan permohonan strata kali kedua pada 7.10.2010, dan telah di luluskan pada 7.2.2011. Hakmilik strata telah di daftarkan pada 14.11.2011 dan telah di serahkan kepada pemaju pada 19.12.2011. Lot 8775 tidak menjadi sebahagian daripada skim strata berkenaan. Kemungkinannya lot tersebut di gunakan oleh penduduk skim strata berkenaan untuk tempat letak kereta. Di tegaskan di sini lot berkenaan tidak pada bila-bila masa menjadi harta bersama skim strata berkenaan. Pemaju telah menjual lot 8775 kepada individu lain. Penjualan tersebut tidak menyalahi undang-undang dan peraturan tanah kerana status tanah ada lah first grade dan tidak ada apa-apa sekatan penjualan yang tercatit di dalam suratan hakmilik.

YB ADUN SEBERANG JAYA menimbulkan persoalan mengenai projek penswastaan di Batu Kawan yang didakwa bernilai RM 70 juta untuk Design Automotive Lighting. Adakah tender dibuat secara rundingan terus?

Automotive Lighting Malaysia (ALMA) yang lebih dikenali sebagai MAL merupakan sebuah syarikat MNC yang sedang beroperasi di sebuah fasiliti bersaiz 19,000 meter persegi (204,514 k.p.) yang disewa dari Robert Bosch di Bayan Lepas Fasa 4. Syarikat ini yang beroperasi mulai tahun 1988 dimiliki 80% oleh Automotive Lighting Reutlingen GmbH (yang juga memiliki 100% Magneti Marelli, Italy sebuah syarikat antarabangsa terkenal industri automotif) dan 20% oleh syarikat tempatan Regalview (M) Sdn Bhd. Pada masa ini, ALMA mengeluarkan lampu-lampu kereta seperti "head lamp" "rear lamp" dan "fog lamp" serta produk aksesori automotif kereta yang berkaitan di Pulau Pinang. Syarikat tersebut mempunyai hubungan bisnes secara global dengan syarikat-syarikat automotif terkenal seperti Mercedes, Mazda, BMW, Ford, Audi, Toyota, Proton dan lain-lain lagi. Bagi tempoh tiga tahun (2009-2011) nilai pelaburan MAL berjumlah RM80.8 juta dengan jumlah pekerja sebanyak 913 orang.

Pada 11 Oktober 2011, MAL telah mengemukakan permohonan untuk membeli Plot 306 seluas lebih kurang 14.023 ekar di Batu Kawan Industrial Park (BKIP) dan PDC telah mengemukakan tawaran rasmi kepada MAL. Walau bagaimanapun, melalui surat bertarikh 13 Januari 2012, MAL telah memberi maklumbalas kepada PDC bahawa pihaknya tidak berminat untuk membeli secara terus Plot 306 tersebut seperti yang ditawarkan, sebaliknya MAL mengemukakan cadangan supaya projek berkenaan dibangunkan secara "build & lease" melalui pihak ketiga dimana syarikat Daya CMT Sdn Bhd (DCMT) dilantik untuk membina fasiliti dan Zen Projects Sdn Bhd (yang diwujudkan khas sebagai "Special Purpose Vehicle" untuk projek ini) akan memasuki perjanjian pajakan dengan MAL untuk kilang baru yang akan dibina di BKIP untuk tempoh selama 20 tahun. Kedua-dua syarikat iaitu DCMT dan Zen Projects (ZP) merupakan anak syarikat Daya Land & Development Sdn Bhd (DLD) yang dimiliki penuh oleh Daya Materials Berhad (DMD iaitu sebuah syarikat yang tersenarai di KLSE).

Pihak MAL telah memaklumkan kepada PDC bahawa memiliki hartanah industri bukan merupakan sebahagian dari polisi korporatnya. MAL hanya berminat menyewa kilang iaitu dengan pakej "build and lease" oleh pihak ketiga. Untuk tujuan tersebut, MAL telah mengenalpasti dan membuat penilaian terperinci untuk memilih syarikat syarikat swasta yang bersesuaian untuk membina kilang seluas 286,000 kaki persegi di BKIP bagi bagi tujuan memasuki kontrak "build & lease" bagi kilang pengeluarannya yang baru. Senarai tersebut telah diperolehi dari MIDA dan investPenang.

Antara syarikat-syarikat yang dinilai untuk dipilih adalah :-

i) MTT Properties & Development Sdn Bhd

ii) JAYA 33 Sdn Bhd

iii) Rimbaco + QUILL Sdn Bhd

iv) Kumpulan Hamodal Sdn Bhd

v) Hock Keng Nanometric Sdn Bhd

vi) Hock Keng Nanometrics Sdn Bhd (2)

vii) Daya CMT Sdn Bhd

viii) ALAM Langkawi Sdn Bhd

ix) Maju Holdings Sdn Bhd

Daripada kajian perbandingan terperinci yang dikendalikan ke atas 9 syarikat swasta di atas, DCMT telah dipilih untuk mengendalikan pembinaan kilang MAL terutamanya kerana jaminan DCMT untuk menyiapkan pembinaan kilang sebelum bulan Disember 2012. Jaminan ini cukup penting kerana selepas tempoh tersebut, MAL diwajibkan untuk mengosongkan premis yang disewa dari Robert Bosch di Bayan Lepas Fasa 4 dan seterusnya berpindah sebahagian operasinya ke BKIP iaitu selewat-lewatnya pada Februari 2013. PDC telah dimaklumkan keseluruhan operasi MAL dijangka dipindahkan ke kilang MAL di BKIP pada bulan September 2013 dengan penglibatan jumlah kos perpindahan sebanyak RM18 juta.

Dalam kes projek MAL, PDC hanya dapat terlibat dalam pajakan (tanah dan bangunan) dan memenuhi kehendak MAL untuk aktiviti pembinaan kilang disebabkan :-

i) Tempoh masa pembinaan yang singkat dan perlu disegerakan iaitu dalam jangkamasa 10 bulan (Mac 2012 hingga Disember 2012).

ii) DCMT telah dipilih berdasarkan kriteria dan analisa perbandingan kos yang cukup telus dan terbuka.

iii) Segala perbincangan dan persiapan untuk tujuan pembinaan telah dibuat dari awal-awal lagi oleh MAL dengan DCMT disebabkan projek ini amat kritikal kepada MAL.

iv) DCMT mempunyai reputasi baik dan kepakaran yang tinggi dalam mengendalikan projek-projek pembinaan.Syarikat tersebut mempunyai pengalaman luas dalam pembinaan kilang termasuk di Pulau Pinang. DCMT juga mempunyai daya jaringan pengetahuan tempatan (local networks) yang meluas.

v) Selain dari itu, kekuatan utama syarikat ini adalah ianya mempunyai tahap keyakinan tinggi untuk memenuhi syarat pencapaian kontrak tersebut seperti memenuhi tempoh pembinaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan MAL iaitu sebelum akhir Disember 2012.

Oleh yang demikian, satu perjanjian "tri-partite" dimana PDC-MAL- DCMT dimeterai dimana DMCT menjadi "turnkey" kontraktor untuk membina kilang MAL bagi pihak PDC. Seterusnya, PDC pula mengambilalih peranan sebagai tuan punya kilang untuk menyewa kepada MAL selepas pembinaan tersebut. Walau pun PDC terlibat dengan aspek pajakan kilang MAL, namun didapati ianya menguntungkan dari segi pulangan yang ditetapkan oleh polisi PDC.

Penglibatan PDC dalam projek "build & lease" MAL diluluskan berdasarkan sebab-sebab berikut :-

  1. Cadangan ini dilihat mampu memberikan pulanganjangka panjang kepada PDC dalam pelaburan hartanah akibat dari pajakan kilang dan tanah kepada MAL.

  2. Meningkatkan galakan serta insentif kepada perkembangan pelaburan FDI yang memberangsangkan di Pulau Pinang.

  3. Memperkukuhkan kedudukan "land bank" PDC kerana tanah dan kilang tersebut masih dimiliki oleh PDC.

PENANG INSTITUTE

Menjawab kepada dakwaan yang dilemparkan oleh Y.B Adun Bayan Lepas mengenai Penang Institute mengatakan bahawa kebanyakan editor Penang Monthly adalah mereka yang berbangsa cina. Disini saya ingin menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa CEO Penang Institute adalah seorang yang berbangsa melayu dan beliau ialah En Zairil Khir Johari. Saya amat kesal beliau masih main sentimen perkauman dalam pengambilan penjawat awam kerajaan negeri yang kian meningkat dengan bilangan orang Melayu.

PENUTUP

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Bajet AES- Agenda Ekonomi Saksama akan membolehkan warga Pulau Pinang yang yakin, berdaya saing dan berpeluang menikmati hidup bermaruah dalam sebuah negeri tanpa rasuah dan tidak akan menjadi bankrup.

Yang pasti, usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan kestabilan ekonomi dan suasana harmoni dalam negeri Pulau Pinang harus dipuji kerana sesungguhnya Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan usaha-usaha untuk menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Bajet 2013 Kerajaan Negeri adalah merupakan bajet yang holistik dan komprehensif yang menjadi teras dalam usaha-usaha murni Kerajaan Negeri memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Dalam menghadapi persekitaran yang semakin mancabar ini, Kerajaan Negeri akan melakukan anjakan paradigma dan lonjakan mega selari dengan mandat yang telah diberikan selama ini. Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat negeri Pulau Pinang untuk sama-sama menyumbang ke arah memastikan kelestarian pucuk pimpinan akan dapat diteruskan pada masa hadapan. Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu, di mana kita berjaya mengharungi setiap krisis dengan semangat bersatu padu dan kerjasama yang erat.

Sebesar mana dan setinggi mana badai melanda dalam arus perjuangan Kerajaan Negeri, akan kita hadapi dengan persiapan rapi. Benteng pertahanan kita wajar menjadi semakin mantap dengan sokongan padu dan akrab daripada seluruh lapisan rakyat. Marilah kita menggalas amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan ini saya ingin membangkitkan satu isu yang telah lama diperdebatkan iaitu bekenaan pembinaan semula kuil Hindu berdekatan Terminal Kargo Terbesar di Perai. Dalam hal ini saya percaya Ahli-ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat ada membangkitkan mengenai isu ini. Namun penjelasan yang diberikan oleh YB ADUN TELUK BAHANG amat mengecewakan. Memetik kata-kata atau laporan yang dimuatkan dalam akhbar The Star bertarikh 23 April 2012 yang lalu, Pengerusi PPSB iaitu Dr. Hilmi yang merangkap ADUN TELUK BAHANG telah berjanji untuk membina kuil itu semula di atas tanah seluas 6.1 meter x 6.1 meter. Tetapi sehingga kini masih tidak nampak sebarang bentuk binaan sekalipun untuk kuil tersebut. Menurut ADUN TELUK BAHANG lagi beliau akan mencari tanah yang sesuai untuk menggantikan tanah yang telah dibina kuil Hindu tersebut. Seingat saya, dalam mesyuarat DUN yang lepas ADUN TELUK BAHANG ada berjanji untuk membina semula kuil tersebut dalam masa seminggu. Tetapi sehingga sekarang janji tinggal janji sedangkan penduduk-penduduk di sekitar kawasan tersebut sudah muak dengan sandiwara yang dibuat oleh pihak pembangkang.

Manakala Negara China manjalankan proses peralihan kepimpinan baru dengan pengakuan terbuka bahawa amalan rasuah adalah ancaman terbesar kepada ekonomi Negara, sehingga Perdana Menteri Wen Jia Bao sedia disiasat tentang dakwaan akhbar asing berkenaan dengan hartanah peribadinya. Langkah tegas akan diambil ke atas semua tanpa mengira pangkat dan kedudukan yang melakukan jenayah termasuk pembunuhan ke atas warga asing. Pemimpin tertinggi Bo Xi Lai dan isteri kini menghadapi pendakwaan atas penyalahgunaan kuasa dan pembunuhan. Semoga Malaysia juga boleh turut sama memastikan keadilan di semua peringkat. Semoga ini dapat dilakukan di Malaysia.

BN telah gagal dalam 6 ujian anti-rasuah iaitu pengisytiharan harta secara terbuka, pelaksanaan tender tebuka, melarang ahli keluarga daripada urusan perniagaan dengan kerajaan, menggugurkan pemimpin BN yang hidup mewah, melindungi peniup wisel yang tulen dan berterus terang tentang sumbangan politik.

DAP mencadangkan 6 langkah untuk membanteras rasuah.

Pertama, pengisytiharan harta secara terbuka hendaklah diinstitusikan. Ini telah dilakukan di Pulau Pinang di mana Ketua Menteri dan seluruh barisan EXCO negeri telah mengisytiharkan harta secara terbuka, malah diiktiraf oleh firma akauntan antarabangsa. Jika Pulau Pinang boleh melakukannya, kenapa Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan atau Ketua Menteri Sarawak dan barisan EXCOnya tidak boleh buat yang sama?

Kedua, pemimpin-pemimpin BN yang hidup mewah dengan memiliki rumah-rumah mewah, kereta, akaun bank peribadi yang besar di luar negeri harus digugurkan.

Ketiga, ahli keluarga harus dilarang daripada urusan perniagaan dengan kerajaan untuk mengelak lagi satu skandal RM250 juta "lembu dan kondo".

Keempat, peniup wisel tulen yang membongkarkan kes rasuah yang mengakibatkan dakwaan mahkamah harus dilindungi dan bukan dianiaya.

Kelima, BN harus berterus terang tentang sumbangan politik seperti sumbangan RM40 juta kepada UMNO Sabah.

Akhirnya, tender terbuka harus dilaksanakan. Tanpa tender terbuka, projek-projek awam dirunding terus dan dianugerahkan kepada para kroni, lantas menyebabkan kerugian dana awam seperti jualan murah tanah Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi.

Tetapi Pulau Pinang telah mengambil Jangan lupa di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri PR, Pulau Pinang menjadi lebih bersih, hijau dan selamat. Pastikanlah PR dikekalkan kalau mahu Pulau Pinang lagi bersih, lagi hijau dan lagi selamat.

Sekian, YB Dato' Speaker, saya mohon menyokong.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang