Bantuan biasiswa kecil negeri kepada pelajar-pelajar miskin sekolah menengah dinaikkan

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai kerajaan berjiwa rakyat telah membuat keputusan untuk menaikkan Bantuan Biasiswa Kecil kepada pelajar-pelajar miskin di sekolah menengah sebanyak RM 120 setahun daripada RM 480 kepada RM 600 untuk Tingkatan 1 hingga 3 dan daripada RM 720 kepada RM 840 untuk Tingkatan 4 dan 5 untuk 2013. Kenaikkan ini akan menyebabkan perbelanjaan tahunan ini oleh kerajaan negeri naik kepada RM 2 juta pada 2013.

Kenaikkan ini adalah untuk menampung keperluan pembelajaran pelajar miskin untuk membeli buku-buku kerja dan rujukan serta keperluan harian yang kian meningkat kosnya dari tahun ke tahun. Demi memastikan kuasa beli dapat dikekalkan bagi pelajar miskin, kerajaan negeri mengambil keputusan menaikkan RM 120 setahun atau di antara kenaikan 17% hingga 25%. Pembayaran RM600 dan RM840 setahun ini kepada pelajar-pelajar miskin di sekolah menengah adalah paling tinggi di antara semua negeri di Malaysia.

Kerajaan negeri PR hanya berkemampuan menaikkan bayaran kerana mendapat lebihan Bajet Negeri setiap tahun sejak 2008. Kejayaan Bajet surplus ini dicapai sungguhpun perbelanjaan telahpun bertambah di bawah PR sebanyak 55% berbanding dengan kerajaan lama. Ini menyangkal tuduhan liar pihak tertentu bahawa Bajet surplus dicapai hanya kerana kerajaan negeri kurangkan perbelanjaan.

Surplus naik sebanyak 312% pada 2011 kepada RM138 juta berbanding dengan 2010 kerana urustadbir CAT yang memberikan penekanan kepada tender terbuka kompetitif, pengistyiharaan asset pemimpin kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri kepada orang awam, mendedahkan isikandungan kontrak kerajaan dengan syarikat swasta dan memastikan kesederhanaan baik dalam perbelanjaan secara berjimat dan berhemah ataupun kehidupan tidak mewah tetapi sederhana pemimpin dan pegawai kerajaan negeri.

Lagipun surplus ini dikongsi dengan rakyat menerusi pelbagai program bantuan emas seperti warga emas, anak emas, mahasiswa emas dan pelajar emas. Di samping itu, kerajaan negeri telahpun melaksanakan Agenda Ekonomi Saksama(AES) di mana Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama membasmi kemiskinan di Malaysia pada 2013 dengan mewujudkan mekanisma untuk menjamin setiap keluarga memperolehi sekurang-kurangnya RM770 sebulan. Mana-mana keluarga yang mempunyai pendapatan kurang RM770 sebulan akan ditambah nilai atau "top-up" oleh kerajaan negeri setiap bulan hingga cukup genap RM770.

Seramai 2,567 pelajar daripada 123 buah sekolah di Pulau Piang akan mendapat faedah daripada kenaikan kepada Bantuan Biasiswa Kecil Negeri ini. Pemilihan penerima adalah diproses melalui system computer online oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berasaskan merit, kedudukan kewangan keluarga dan kegiatan ko-kurikulum. Pejabat Pelajaran Pulau Pinang akan memperakukan senarai nama pelajar yang layak menerima bantuan ini kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

Mana-mana keluarga di Pulau Pinang yang anak mereka tercicir daripada senarai ini boleh menghubungi Pejabat Daerah atau ADUN PR untuk dipertimbangkan.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang