Satu-satunya cara untuk memulihkan keyakinan umum adalah dengan menubuhkan IPCMC dan melaksanakan cadangan-cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja Dzaiddin 2005

Keyakinan umum dalam Polis Diraja Malaysia makin terhakis dalam beberapa tahun yang lepas. Skandal besar ang terbaru membabitkan seorang pekerja restoran Indonesia yang telah dikatakan dirogol oleh tiga orang pegawai polis. Minggu lepas, seorang korporal dan dua konstabel telah didakwa untuk jenayah tersebut.

Bagaimana rakyat Malaysia boleh yakin dengan pihak polis apabila pegawai yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan awam boleh didakwa kerana melakukan jenayah yang begitu keji, dan lebih teruknya di dalam balai polis! Sehingga masanya rakyat mempunyai keyakinan teguh bahawa pihak polis akan melindungi pihak awam dan tidak berkelakuan seperti penjenayah, peruntukan berbilion-bilion yang dibelanjakan setiap tahun oleh Kerajaan Persekutuan tidak akan meningkatkan citra pihak polis sebagai pelindung keselamatan awam yang bertanggungjawab.

Insiden ini adalah ekoran kes-kes yang lain, seperti kematian penjual perabut Cheah Chin Lee di bawah tahanan polis, kematian A. Kugan serta anak muda berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah yang telah ditembak mati dengan begitu kejam. Perogolan pekerja Indonesia dalam balai polis ini adalah begitu serius sehingga ia telah menjejaskan imej polis bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di khalayak antarabangsa.

Satu-satunya cara untuk memulihkan keyakinan umum dan membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan kepada integriti, keluhuran undang-undang dan keselamatan awam, adalah untuk menubuhkan dengan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta melaksanakan tanpa syarat 125 cadangan Suruhanjaya Diraja Penambahaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang diterajui oleh mantan Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin.

IPCMC merupakan cadangan asas Suruhanjaya Diraja Dzaiddin, di mana deraf rang undang-undang telah pun disertakan bersama Laporan Suruhanjaya Diraja 2005 tersebut. IPCMC juga akan membantu mengurangkan persepsi awam bahawa pihak polis adalah alat politik yang digunakan oleh BN untuk menindas parti-parti lawan. Tambahan lagi, IPCMC akan membantu memprofesionalkan pasukan polis dengan memastikan mereka menjalankan tanggungjawab untuk matlamat melindungi rakyat dengan menentang kegiatan-kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan awam.

Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC selepas 7 tahun sejak ia dicadangkan bukan sahaja telah mendedahkan keengganan dan ketidakikhlasan dalam menangani masalah salah guna kuasa polis dan korupsi, tetapi juga mengakibatkan penurunan persepsi awam terhadap pihak polis. Penubuhan IPCMC bukan sahaja dapat membuka peluang bagi aduan awam, tetapi akan memastikan pihak polis akan berjaga-jaga supaya salah laku dan salah guna kuasa tidak akan berlaku.

Justeru, DAP menuntut pelaksanaan penuh dan tanpa suarat 125 cadangan Suruhanjaya Diraja 2005, termasuk cadangan yang pling penting iaitu penubuhan IPCMC.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan