Kong Cho Ha harus menunaikan tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan

Datuk Seri Kong Cho Ha harus menunaikan tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan dan melawat dua projek parah iaitu projek RM250 juta untuk naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan projek RM43 juta Tanjung City Marina serta projek bermasalah Swettenham Pier yang bernilai RM65 juta. Kerajaan negeri Pulau Pinang amat terkejut dengan dakwaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bahawa kerja-kerja ubah suai dan naik taraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sudah "banyak yang siap".

Mana-mana penumpang yang menggunakan prasarana Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pasti tahu bahawa kenyataan ini adalah palsu. Bagaimanakah boleh MAHB mengenepikan kepentingan awam dengan kenyataan bahawa projek naik taraf tersebut sudah "banyak yang siap" apabila bumbung belum habis dipasang, air masih lagi bocor apabila hujan, tandas-tandas berada dalam keadaan kotor dan seluruh tempat itu kelihatan seperti tapak pembinaan dengan bunyi dan habuk. Hanya orang yang mempunyai mata yang rabun, telinga yang pekak dan otak yang tidak boleh berfikir sahaja akan bersetuju dengan penipuan MAHB bahawa projek RM250 juta tersebut itu sudah "banyak yang siap".

Daripada melindungi kontraktor-kontraktor dan pegawai pemantauan, MAHB harus bersikap jujur dan memberi sebab-sebab kenapa kerja naik taraf tersebut tidak mematuhi masa. Masa sudah pun dilanjutkan 2 kali untuk kontraktor tersebut, di mana lanjutan terakhir telah tamat pada 24 November 2012. Bolehkah Kong menyatakan apakah tarikh siap baru dan apakah penalti yang akan dikenakan kepada kontraktor kerana gagal menyiapkan dalam tempoh masa yang sepatutnya?

Kong harus datang dan memeriksa sendiri dan tidak membenarkan MAHB untuk menjadikan Malaysia sebagai bahan lawak antarabangsa dengan pengumuman bahawa lapangan terbang tersebut sudah "banyak yang siap" apabila jelas banyak lagi yang belum siap. Sekiranya projek yang tidak siap boleh dikatakan sebagai "banyak yang siap" selepas perbelanjaan RM250 juta, maka ini adalah satu kes yang membabitkan bukan sahaja salah urus kewangan tetapi penyelewengan amanah awam.

Kong juga harus memeriksa projek RM43 juta Tanjung City Marina yang terbengkalai. Walaupun disiapkan pada tahun 2007 pada harga RM43 juta, ia kini berada dalam keadaan reput dengan tanjakan yang separuh tenggelam dan barisan-barisan pontun konkrit yang terapung serta membahayakan kapal-kapal persiaran dan feri serta membawa risiko keselamatan akibat lampu-lampu yang rosak. Marina tersebut mempunyai kapasiti untuk menampung 140 buah kapal layar dan bot dengan 102 kawasan berlabuh, tetapi tiada satu pun kapal layar atau bot yang kelihatan.

Pihak pengurusan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menepiskan tanggungjawab bagi kegagalan projek tersebut dengan kenyataan dalam akhbar hari ini bahawa prasarana pelabuhan yang direka dan dibina oleh Penang Port Commission (PPC) telah rosak akibat kecacatan reka bentuk. Untuk mengatasi kecacatan reka bentuk, PPSB berkata bahawa RM10 juta diperlukan untuk kerja pembaikan. PPSB menambah bahawa Pengerusi PPC terdahulu Tan Cheng Liang telah berjanji untuk menyediakan RM10 juta untuk kerja pembaikan tetapi sampai sekarang janji tidak ditepati.

Jelas Pengerusi PPC kini Datuk Seri Chua Soi Lek telah gagal dalam tanggungjawabnya bukan sahaja untuk menaikkan taraf malah untuk menyelenggara prasarana PPC. Untuk sebab ini, Kong harus campur tangan dan mencari penyelesaian dengan lekas. Kalau tidak, projek RM43 juta Tanjung City Marina yang terbengkalai ini akan menjadi peringatan kepada semua tentang salah urus oleh pihak pengurusan PPC yang dikawal BN.

Kong juga harus memeriksa Swettenhem Pier yang bernilai RM65 juta untuk mengelak daripada nasib yang sama. Aduan telah diterima daripada kapal-kapal persiaran yang penting kepada sektor pelancongan Pulau Pinang bahawa perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan tidak memuaskan.

Ketiga-tiga projek ini adalah di bawah naungan Kementerian Pengangkutan dan berjumlah RM358 juta. RM358 juta ini akan menjadi pembaziran yang besar dan penyelewengan amanah awam sekiranya Kong tidak mengambil langkah segera untuk mengelakkan kegagalan dalam pengurusan projek serta menyelamatkan projek-projek yang parah ini. Daripada membazirkan masa dengan nombor pendaftaran kereta dan pemasangan 831 kamera 1Malaysia di bawah Sistem Pengkuatkuasaan Automatik atau AES, Kong harus datang segera ke Pulau Pinang dan menyelamatkan keadaan.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang