Mengapa tiada sebarang respons daripada Najib apabila Ketua Penerangan Umno telah secara terbuka mengakui bahawa rasuah adalah masalah besar dalam UMNO?

Mengapa tiada sebarang respons terbuka daripada Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak apabila Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan secara terbuka mengakui bahawa rasuah adalah masalah besar di dalam UMNO?

Ahmad Maslan membuat pengakuan ketika mengulas terhadap kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Tenku Adnan Mansur yang menyatakan UMNO berdepan cabaran dilihat sebagai korup dalam sebuah temubual sebelumnya, walaupun Ahmad Maslan kemudiannya mengatakan tiada parti politik yang patut bersikap lebih suci daripada yang lain dalam isu rasuah.

Apakah alasan Ahmad Maslan? Rasuah terjadi merentas semua parti dan tuduhan-tuduhan rasuah tidak sepatutnya dibuat terhadap UMNO sahaja.

Beliau berkata: "Gejala rasuah tidak mengenal parti, pangkat, jantina, mahupun kaum..."

"Jangan hanya menuduh rasuah ini hanya orang Umno itu tidak betul kerana rasuah ini merentas semua..."

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengatakan apa yang penting adalah kerajaan serius menangani rasuah.

Sebagai bukti yang kerajaan serius membasmi rasuah, Ahmad Maslan mengatakan membanteras rasuah adalah salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Kata-kata Ahmad Maslan adalah amat ketara, rasuah telah menjadi begitu menjadi-jadi di dalam UMNO menyebabkan beliau tidak lagi menafikannya, tetapi cuba menjustifikasikannya dengan mengatakan perkara itu terjadi dalam semua parti politik, dengan itu tidak sepatutnya hanya UMNO yang diselar.

Ahmad Maslan sebenarnya telah melakukan lebih daripada sekadar mengakui rasuah semakin menjadi-jadi di dalam UMNO memandangkan beliau turut mengakui rasuah semakin menjadi-jadi di dalam parti-parti komponen BN yang lain - yang dikukuhkan lagi dengan tiadanya sebarang penafian atau penolakan daripada parti-parti komponen BN yang lain sejak tiga hari lalu.

Ahmad Maslan boleh bercakap bagi pihak UMNO malahan parti-parti komponen BN yang lain, tetapi beliau tidak ada autoriti atau locus standi untuk mengatakannya bagi pihak parti-parti Pakatan Rakyat.

Rakyat Malaysia tahu, sekiranya ada sedikit pun rasuah yang terhidu di dalam parti-parti Pakatan Rakyat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) akan menyiasat habis-habisan untuk mendakwa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat - seperti yang terjadi dalam siasatan skandal "Kereta dan Lembu" SPRM terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada awal tahun 2009 atau kematian "misteri" dan tidak pernah terungkai seorang pembantu DAP Teoh Beng Hock di Ibupejabat SPRM di Shah Alam pada 16 Julai, 2009.

Sebaliknya, SPRM akan cuba sedaya upaya "menutup" rasuah atau sebarang penyelewengan melibatkan pemimpin UMNO/BN, sebagaimana yang ditunjukkan pada diamnya SPRM sama ada terhadap skandal RM40 juta yang diseludup dan digubah kemudiannya menjadi "sumbangan politik kepada UMNO Sabah" melibatkan ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia, atau pendedahan Bruno Manser Foundation terhadap kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak atau pelbagai lagi kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO/BN.

Respons Ahmad Maslan kepada Tengku Adnan merupakan pengakuan yang sangat kukuh berkenaan menjadi-jadinya rasuah di dalam UMNO dan juga parti-parti komponen BN tang lain.

Persoalannya adalah apakah yang Najib akan lakukan mengenainya sekiranya beliau benar-benar serius dan ikhlas membanteras rasuah dalam GTP dan NKRA.

Adakah beliau akan bangkitkannya dalam Amanat Presiden UMNO akhir bulan ini?

Adakah beliau akan mengumumkan "membanteras rasuah di dalam UMNO" sebagai salah satu NKRA dalam memerangi rasuah?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur