Najib yang sepatutnya menjawab dakwaan serius Deepak pada Perhimpunan Agung UMNO esok bukannya Zahid

Menteri Pertahanan dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengatakan bahawa beliau akan menjawab dakwaan yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan terhadap keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turut melibatkan kes pembunuhan berprofil tinggi seorang warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Bukan Zahid tetapi Najib sendiri yang sepatutnya menjawab dakwaan itu di dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 esok atas tiga sebab.

Pertama, dakwaan Deepak melibatkan keluarga Najib, yang mana dia telah membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan untuk campurtangan Perdana Menteri bagi membolehkannya menjadi satu pihak dalam satu projek Kementerian Pertahanan pada 2005 yang bernilai RM100 juta sewaktu Najib merupakan Menteri Pertahanan – membuat perjanjian dengan syarikat ketua Wanita UMNO Selangor yang membolehkannya menyertai sebagai pihak ketiga. Memandangkan Najib bukan sahaja hadir tetapi juga mengepalai UMNO, beliau sepatutnya menjawab kerana apa sahaja yang dikatakan Zahid tidak lebih sekadar khabar angin dan tidak mempunyai kewibawaan dan legitimasi.

Kedua, hubungkait Deepak dengan kes pembunuhan berprofil tinggi warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. Deepek telah meluahkan kekesalan melibatkan diri dalam rancangan membuatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam membuat Pengakuan Bersumpah kedua, menarik balik Pengakuan Bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya. Di dalam satu wawancara Deepak mengatakan yang beliau terlibat dalam kes Bala bagi membantu “keluarga Perdana Menteri”. Sekali lagi, jawapan Zahid terhadap dakwaan Deepak tidak akan memuaskan kerana hanya Najib yang sesuai menjawab dengan berwibawa semua dakwaan itu.

Ketiga, ini merupakan batu uji kepada Ucapan Dasar Presiden UMNO semalam yang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak sepatutnya diberikan peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 memandangkan UMNO/Barisan Nasional mampu membawa kejayaan besar memerintah Malaysia sejak lima dekad lalu – salah satunya adalah “keampuhan institusi negara”.

Keburukan skandal Deepak/Bala/Altantuya adalah pengakuan memalukan, bukan kepada kejayaan tetapi korupsi dan memusnahkan “keampuhan institusi negara” memandangkan Malaysia tidak mungkin akan terjerumus ke keadaan buruk dalam kes pembunuhan Altantuya sekiranya pelbagai institusi negara, sama ada polis, badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan akhbar Malaysia memelihara dan menegakkan integriti, kebebasan dan profesionalisme mereka.

Adakah Najib bersedia menyangkal tuduhan-tuduhan terhadapnya, kerajaannya dan negara dengan menyerahkan dirinya untuk satu siasatan awam yang menyeluruh dan bebas terhadap skandal Deepak/Bala/Altantuya dan mengumumkannya pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO esok?

Sekiranya Najib bersedia menyerahkan dirinya untuks satu siasatan awam yang menyeluruh dan bebas ke atas skandal Deepak/Bala/Altantuya, maka permohonan maafnya di dalam Ucapan Dasarnya bagi pihak kepimpinan UMNO atas sebarang “kesalahan” atau “kekhilafan” adalah jujur. Jika tidak, permohonan maafnya tidak lebih daripada sekadar retorik.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur