Mengapa Menteri Dalam Negeri begitu memikirkan tentang persepsi terhadap jenayah sedangkan sepatutnya kita mengambil berat terhadap pencegahannya?

Saya benar-benar tidak percaya apabila membaca satu laporan berita yang memetik Datuk Seri Hishamuddin sebagai berkata,”kerajaan mengalih tumpuan kepada menguruskan persepsi umum dalam fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kebimbangan rakyat.”

Saya terpaksa menonton laporan berita di TV supaya dapat mengesahkan dengan telinga saya sendiri beliau mengatakan:

“Isunya sekarang bukan indeks. Itu kita cukup yakin. Isunya bukan dari segi sasaran jenayah jalanan tetapi ‘goal post’nya telah berubah kerana tuntutan semasa. Ini semua akan dibincangkan dan diumumkan dalam fasa kedua NKRA kita,” jelas Hishamuddin pada sidang media selepas menutup satu mesyuarat khas di Maktab Polis Di Raja Malaysia.

Selepas kontroversi berkaitan isu “jenayah indeks” dan “jenayah bukan indeks” yang jelas menunjukkan statistik jenayah telah dimanipulasi. dengan cara mengklasifikasikan semula kejadian jenayah kepada “jenayah bukan indeks” yang tidak disiarkan bertujuan menampakkan penurunan “jenayah indeks”. Hanyalah melalui respon polis kepada tuduhan seorang ‘whistleblower’ kita mengetahui yang di saat “jenayah indeks” telah menurun sebanyak 24.7% daripada 2007 sehingga 2011, satu pencapaian yang “harus dipuji”, “jenayah bukan indeks” pula meningkat sebanyak 68.7% dalam tempoh yang sama.

Angka-angka itu memberikan bukti jelas terhadap manipulasi statistik oleh pihak berkuasa untuk mencerminkan pencapaian yang lebih baik berbanding realiti dihadapi rakyat di luar sana.

Dengan itu, tidak salah dakwaan Menteri Dalam Negeri bahawa “isunya bukanlah indeks”. Sudah tentulah bukan isu kerana ia telah dimanipulasi untuk menampakkan peningkatan pencapaian keselamatan. Isunya adalah berkaitan jenayah “bukan indeks” yang telah dimanipulasi dan dikaburkan hingga menyembunyikan keadaan sebenar.

Jika jenayah bukan lagi isu yang rakyat Malaysia perlu bimbangkan, sudah tentu kedua-dua “jenayah indeks” dan “jenayah bukan indeks”, telah sama-sama turun kadarnya pada tempoh yang sama.

Yang mengejutkan dan sukar dipercayai adalah apabila Menteri Dalam Negeri memperuntukkan RM272 juta khusus untuk memperbaiki “indeks persepsi jenayah” di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Saya akui saya betul-betul tidak tahu bagaimana mahu memahamkan Menteri Dalam Negeri bahawa sekiranya indeks jenayah telah bertambah baik dan risiko jenayah telah menurun, persepsi terhadap jenayah tentulah secara automatik bertambah baik! Persepsi tentang risiko jenayah datang daripada kejadian sebenar dan kemungkinan besar pengalaman menjadi mangsa jenayah.

Tidak kira berapa banyak duit yang ditaburkan Kerajaan untuk memperbaiki “persepsi” jenayah baik melalui iklan atau strategi pemasaran oleh perunding persepsi atau melalui cubaan ‘brainwash’, hasilnya tidak akan berubah melainkan jenayah sebenar menurun, bukannya statistik yang dimanipulasi.

Jenayah dan keselamatan adalah perkara yang sangat penting buat rakyat Malaysia dan rakyat berhak memperoleh pembuat dasar yang lebih baik untuk memastikan kadar jenayah benar-benar turun. Seorang doktor tidak akan menyembuhkan kanser dengan memberikan ubat tahan sakit tetapi bertindak terus ke atas sel tersebut. Datuk Seri Hishamuddin Hussein sepatutnya menumpukan usaha kementeriannya terhadap pencegahan jenayah dan bukannya persepsi rakyat yang hanya merupakan simtom-simtom.

Tony Pua Kiam Wee Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara