Ng Yen Yen perlu tampil dan menjelaskan kenyataan Kementerian Pelancongan yang mencurigakan

Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Pelancongan untuk menjawab pertanyaan Ahli Parlimen kawasan Seputeh YB Teresa Kok, DAPSY Negeri Pulau Pinang mengesyaki bahawa terdapat unsur-unsur penipuan dan ketidakcekapan Kementerian Pelancongan di bawah naungan YB Dato Seri Dr. Ng Yen Yen.

Mengikut jawapan bertulis tersebut, Kementerian Pelancongan telah menyatakan bahawa dalam masa 2 tahun Ng Yen Yen menjawat jawatan Menteri Pelancongan, beliau telah menjalankan lawatan rasmi ke 11 negara untuk tujuan promosi pelancongan negara. Jawapan bertulis tersebut juga menyatakan bahawa lawatan rasmi beliau telah meyumbangkan jumlah kedatangan pelancong dan pendapatan pelancongan negara meningkat. Berikutan dengan itu, Malaysia juga berada di tangga ke-9 bagi negara yang paling banyak menerima pelancong mengikut maklumat yang dikemukakan oleh Persatuan Perlancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations World Tourism Organization, UNWTO).

Namun mengikut siasatan dan penyelidikan yang dijalankan oleh DAPSY Negeri Pulau Pinang, banyak fakta dan angka yang dikemukakan itu adalah amat mencurigakan dan bercanggahan dengan fakta.

Peranan sebagai "penghalau" dan bukan penarikan pelancong

Jawapan bertulis yang penuh dengan gambar rajah Kementerian Pelancongan ini hanya menjelaskan maklumat lawatan rasmi Ng Yen Yen dengan 2 perenggan sahaja. Tetapi maklumat ini telah mendedahkan kegagalan lawatan rasmi khasnya dalam usaha penarikan pelancong asing ke negara kita.

Menurut statistik Kementerian Pelancongan, lawatan rasmi Ng Yen Yen ke 8 buah negara pada tahun 2011 hanya berjaya menarik 160 ribu pelancong asing untuk melawat ke Malaysia. Namun, pelancong-pelancong asing yang berasal dari negara yang pernah dilawat oleh Ng Yen Yen telah berkurangan sehingga hampir 500 ribu pelancong telah memilih untuk tidak melawat ke Malaysia berbanding dengan tahun 2010.

Antara yang paling serius adalah pelancong asing dari Negara Indonesia dimana 370 ribu pelancong dari negara tersebut memilih untuk tidak melancong ke Malaysia berbanding dengan tahun sebelumnya. Jumlah besar kehilangan pelancong ini merupakan 2% bagi jumlah pelancong asing yang melawat ke Malaysia pada tahun 2011.

Jumlah pendapatan pelancongan berkurangan sebanyak 17 juta dolar AS

Mengikut jawapan Kementerian Pelancongan, jumlah pendapatan pelancongan Malaysia mencatat RM534 billion dan RM565 billion masing-masing bagi tahun 2010 dan 2011. Tetapi angka ini hanya menaik selepas jumlah sebenar dalam Dolar Amerika ditukarkan kepada Ringgit Malaysia. Mengikut angka yang dibekalkan oleh UNWTO, jumlah sebenar pendapatan pelancongan Malaysia adalah USD 182.76 billion pada tahun 2010. Mengikut kadar 1 Dolar Amerika kepada RM 3.09, ini berpatutan dengan angka yang dikemukakan oleh Kementerian Pelancongan. Tetapi hakikatnya, pendapatan pelancongan Malaysia telah menurun sehingga USD 182.59 billion pada tahun 2011. Walaupun angka ini nampak cantik selepas ditukarkan ke Ringgit Malaysia pada kadar 1 Dolar Amerika kepada RM 3.195, namun faktanya adalah sektor pelancongan Malaysia telah kehilangan keuntungan sebanyak 17 juta dolar AS pada tahun 2011!

Negara Thai mencatat keputusan yang jauh lebih baik berbanding dengan Malaysia

Seperti yang sedia maklum, tahun 2011 merupakan tahun yang tidak baik buat Negara Thai. Selain daripada banjir kilat yang melanda Bangkok pada tahun lepas, Negara Thai juga menyaksikan Pilihanraya Umum dan juga insiden-insiden keganasan yang kerap berlaku. Namun mengikut angka UNWTO, pencapaian pelancongan Negara Thai bagi keseluruhan tahun 2011 adalah jauh lebih baik berbanding dengan Malaysia yang aman damai.

Jika dibandingkan statistik pada tahun 2010 dan 2011, Negara Malaysia hanya berjaya meningkatkan jumlah pelancong sebanyak 137 ribu pelancong asing iaitu prestasi yang paling teruk diantara negara Asia Tenggara (peningkatan sebanyak 0.6% sahaja). Thailand pada masa yang sama telah mengalami peningkatan jumlah pelancong sebanyak 19.8% walaupun jumlahnya hanya 19.1 juta (kekurangan sebanyak 5.6 juta pelancong berbanding dengan Malaysia).

Akan tetapi, jumlah pendapatan pelancongan yang dicatat oleh Negara Thai mencecah USD 262 billion dan dengan kadar penukaran matawang asing yang sama, jumlah pendapatan pelancongan Negara Thai mencatat sebanyak RM 838 billion iaitu melebih pendapatan Malaysia sebanyak RM 255 billion dengan jumlah pelancong yang lebih kurang.

Negara Thai yang dilanda dengan pelbagai insiden telah membuktikan prestasinya jauh lebih baik berbanding dengan Malaysia. Sektor pelancongan negara kita berada di tahap yang amat membimbangkan dibawah naungan Ng Yen Yen.

Memalsukan rekod kedatangan pelancong asing dari Brunei?

Kerja penyelidikan yang dijalankan oleh DAPSY Negeri Pulau Pinang juga telah membongkar angka-angka yang tidak munasabah Kementerian Pelancongan yang bermungkinan besar merupakan dalang pemalsuan angka bagi mengekalkan status Malaysia sebagai negara pelancongan pada tangga ke-9 seluruh dunia.

Menurut statistik Kementerian Pelancongan, jumlah pelancong asing yang berasal dari Brunei Darul Salam yang melawat ke Malaysia mencatat jumlah 210 ribu pelancong pada tahun 2003 tetapi pada tahun seterusnya, jumlah tersebut meningkat sehingga mencecah 450 ribu pelancong, iaitu peningkatan sebanyak 110.4%!

Jika dari segi angka pengiraan, sememangnya angka ini tidak mempunyai masalah. Tetapi apa yang mencurigakan adalah jumlah populasi bagi negara Brunei hanya mencatat 350 ribu orang pada tahun 2004, mana datangnya jumlah pelancong yang mencatat 450 ribu orang?

Jika rujuk balik pada angka-angka pada tahun 2011, jumlah populasi bagi Brunei mencatat 400 ribu orang mengikut kajian oleh CIA. Namun pada tahun yang sama, sebanyak 1.23 juta warganegara Brunei telah melawat ke Malaysia! Angka ini juga tidak munasabah jika kita mengambil kira kemasukan lebih dari sekali (multiple entry) kerana jika benar angka yang dikemukankan oleh Kementerian Pelancongan, seluruh warganegara Brunei telah melawat ke Malaysia sebanyak 3 kali setiap orang. Ini adalah sesuatu yang amat mencurigakan. Jika terbukti angka ini salah, ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai negara pelancongan di Asia Tenggara malah menjejaskan tangga keseluruhan Malaysia di sedunia.

DAPSY Negeri Pulau Pinang berharap agar Ng Yen Yen dapat tampil dan memberikan penjelasan tentang angka-angka yang dibekalkan oleh kementerian beliau. DAPSY Negeri Pulau Pinang juga mengesyaki bahawa jika angka palsu boleh dibekalkan oleh kementerian, angka pengundi hantu juga tidak menjadi masalah bagi Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya yang akan datang.

DAPSY Negeri Pulau Pinang juga dengan sekeras-kerasnya membidas Ng Yen Yen kerana angka ini bukan sahaja menipu rakyat Malaysia malah mungkin menipu UNWTO untuk mencatat kedudukan tinggi. Selaku Pengerusi MCA Pulau Pinang, Ng Yen Yen mungkin risau tentang status MCA di Pulau Pinang tetapi DAPSY Pulau Pinang juga menyeru beliau untuk fokus kepada jawatan menterinya daripada hal-hal lain. Sekiranya beliau tidak mampu untuk mengendalikan tanggungjawab sebagai menteri, sila letak jawatan.

Daniel Gooi Setiausaha Eksekutif DAPSY Negeri Pulau Pinang