Malaysia Timur KR1M RM386 juta perbelanjaan yang tidak munasabah

Dalam bajet 2013, Malaysia Timur akan membuka 57 lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dengan kos sebanyak RM386 juta di mana hampir RM670,000 diperuntukkan bagi setiap kedai. Jumlah yang diperuntukkan ini sebenarnya adalah jauh lebih tinggi daripada kedai-kedai KR1M sebelumnya yang telah diumumkan dalam Bajet 2012 untuk 85 buah kedai KR1M yang akan ditubuhkan di Semenanjung dengan peruntukan sebanyak RM40 juta yang diperuntukan sebanyak RM470,000 bagi setiap kedai KR1M tersebut.

Ini adalah tidak munasabah dan KR1M adalah pesaing langsung untuk memonopoli perniagaan dan pendapatan perniagaan kecil dan kedai runcit. KR1M mempunyai sokongan kewangan yang kukuh dari kerajaan disamping mempunyai sokongan modal. Ini menyebabkan barangan yang terdapat di KR1M dijual pada harga yang pastinya akan "menyembelih" perniagaan kecil-kecilan seperti Kedai Runcit yang biasa. Jika ini berlaku bagaimana Kedai Runcit boleh hidup? Ini juga akan menjejaskan perniagaan pasar raya juga.

Pokoknya adalah jika kerajaan mempunyai niat untuk membantu rakyat untuk menjimatkan wang, mereka harus memikirkan selaras untuk memberi subsidi dan untuk mengurangkan harga komoditi penting seperti gula, beras, tepung, susu tepung, minyak masak, dan lain-lain keperluan harian yang penting. Kos hidup di Sabah dan Sarawak semakin meningkat dengan cepat, dan ini telah menyumbang kepada kesusahan di kalangan rakyat. Purata pendapatan tidak lagi dapat menampung kos hidup yang tinggi. Inflasi di negeri ini akan wujud dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan, tetapi pendapatan tetap kekal pada kadar yang rendah. Apa yang akan lakukan oleh pihak kerajaan, atau sebaliknya kerajaan tidak berdaya dan berputus asa dalam menguruskan inflasi dan menaikan ekonomi negeri ini?

Tidak banyak yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk menangani masalah ini disamping memperjuangkan kesejahteraan rakyat, dan ini jelas sekali dapat dilihat dimana kenaikan harga komoditi dan barangan penting di Sabah begitu ketara. Satu contoh yang tidak dapat dinafikan ialah kenaikan harga bahan api dan minyak masak. Walaupun kita menghasilkan minyak mentah dalam kuantiti yang besar dan minyak sawit mentah, kita terpaksa juga membayar harga yang tinggi pada minyak bahan api dan minyak masak. Kerajaan negeri sepatutnya lebih arif dalam memperjuang dan meminta subsidi yang lebih tinggi bagi Sabah daripada kerajaan persekutuan untuk membolehkan rakyat Sabah menikmati faedah yang sepatutnya menjadi hak mereka.

Penyelesaian jangka panjang untuk menyelesaikan jurang harga yang sedia ada di antara timur dan barat mesti ditangani oleh kerajaan negeri Sabah. Mereka tidak seharusnya terus berdiam diri mengenai isu ini dan rakyat Sabah terus membayar harga yang tinggi. Seorang suri rumah memberitahu saya bahawa apabila dia pergi membeli-belah, dia tidak boleh berbelanja banyak dengan RM200 pada masa kini.Ini menunjukkan bagaimana mahalnya harga barang-barang keperluan harian.

Kerajaan yang memerintah mempunyai kuasa dalam mengawal harga barang-barang dan bukan dengan membelanjakan sejumlah besar wang pembayar cukai untuk membuka kedai-kedai KR1M untuk "membunuh" perniagaan kecil dan Kedai Runcit. Adakah ini untuk kepentingan rakyat, atau menjadikan orang-orang tertentu menjadi kaya-raya?

Hiew King Cheu Ahli Parlimen Kawasan Kota Kinabalu