Ucapan Tony Pua Kiam Wee dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Tuan Pengerusi,

Perkara 010200 Pentadbiran Tenaga

Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) telah ditugaskan untuk menguruskan perlaksanaan mekanisme “Feed-in Tariff” (FiT) bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011.

Pada awal tahun ini, quota sebanyak 139MW tenaga solar telah ditawarkan kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam kategori antara 1MW-5MW. Syarikat-syarikat ini diberikan hak untuk menjual tenaga yang dijana kepada Tenaga Nasional.

Syarikat-syarikat ini telah dihadkan kepada 5MW sahaja oleh KeTTHA supaya tidak ada mana-mana pihak akan “memonopolikan quota tenaga boleh baharu”.

Akan tetapi, seperti yang dibongkarkan sebelum ini, 32.4% daripada jumlah 139MW telah diperuntukkan kepada 12 syarikat yang dimiliki oleh Suzi Suliana bt Mohd Sidek dan suaminya Todd Michael Morath, dan dua lagi pemilik saham bersama.

Suzi Suliana (99.999%) dan Todd Morath (0.001%) bersama memiliki 100% saham Sun Energy Ventures Sdn Bhd. Sun Energy Ventures pula memiliki 98% 3 buah syarikat – Hundred Tech Sdn Bhd, Indo Eagle Sdn Bhd and Sharp Crest Sdn Bhd, yang memegang 51% saham dalam 9 buah syarikat yang berjaya memperolehi jumlah quota 32.6MW.

Mengikut rekod SSM, dua orang pemilik saham bersama dalam 3 buah syarikat tersebut, Lim Boon Huay dan Yap Kian Mun pula memiliki 100% saham syarikat Semangat Sarjana Sdn Bhd, Kenari Pasik Sdn Bhd dan Tiara Insight Sdn Bhd, yang seterusnya memiliki 99.99% 3 buah syarikat – Ambang Fiesta Sdn Bhd, Gaya Dunia Sdn Bhd dan Rentak Raya Sdn Bhd, yang berjaya memperolehi 13.3MW quota tenaga solar.

Keempat-empat pemilik saham tersebut mendapat quota sebanyak 45.9MW ataupun 32.4% daripada jumlah quota yang ditawarkan, jauh lebih besar daripada syarikat terkemuka seperti Cypark dan Petronas Power.

Apatah lagi, 8 daripada 12 syarikat yang berjaya tersebut hanya ditubuhkan 3 minggu sebelum tarikh quota dibuka untuk ditender pada 2nd Disember 2011. Tambahan pula, hampir kesemua syarikat ini hanya mempunyai paid-up capital RM100 sahaja.

Ini hanya membuktikan bahawa syarikat-syarikat ini tidak mempunyai sebarang pengalaman atau track record dalam bidang penjanakuasa tenaga solar, tetapi masih boleh diberikan quota yang terbesar.

Jawapan dari Menteri kepada YB Kuantan pada 4 Oktober masih menegaskan bahawa sistem pemberian quota tersebut adalah telus. YB Menteri berkata:

“This is the first time dengan izin, yang berlaku di Malaysia di mana kita gunakan satu sistem yang cukup telus, yang cukup terbuka untuk sesiapa yang hendak menyertai skim ini iaitu mereka perlu bid online… Semua ini tidak ada mekanisme di mana saya atau CEO SEDA ini campur tangan atau pengerusi SEDA ini campur tangan untuk memilih siapa yang boleh diagihkan. So, it is hands off bukan, kita tidak boleh campur tangan siapa yang diagihkan.”

Akan tetapi YB Menteri tidak memberikan gambaran yang sepenuhnya.

Dalam jawapan oleh Menteri sendiri kepada saya bertarikh 10 Oktober, YB Menteri mengaku bahawa pemohon “perlu membuktikan kemampuan kewangan berjumlah sekurang-kurangnya 20% daripada kos pelaburan projek seperti yang dinyatakan dalam borang permohonan. Walaubagaimanapun, syarat tersebut telah dilonggarkan memandangkan hampir kesemua syarikat… tidak dapat memenuhi syarat tersebut.”

Jawapan Menteri jelas menunjukkan bahawa pihak pengurusan SEDA telah campur tangan dalam proses penawaran yang membolehkan syarikat-syarikat kosong yang dimiliki oleh Suzi Suliana dapat quota yang begitu besar.

Jika SEDA telus, syarat tersebut patut dibatalkan sebelum tender dipanggil supaya semua pihak adalah dalam mukasurat yang sama. Keputusan untuk melonggarkan syarat tersebut selepas permohonan diterima oleh SEDA jelas menyebabkan “distortion” dalam penawaran quota tersebut.

Menteri juga menjawab bahawa “kebanyakan syarikat yang memohon untuk mendapatkan kuota Tenaga Boleh Bahar... telah menubuhkan syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) untuk melaksanakan projek-projek berkenaan. Oleh yang demikian, pada masa permohonan, syarikat-syarikat SPV ini tidak dapat mengemukakan penyata bank dengan nilai kredit minima 20%.”

Alasan yang diberi oleh Menteri langsung tidak boleh diterima kerana, walaupun syarikat SPV baru, penganjur SPV tersebut masih boleh mengemukakan jumlah wang yang diperlukan. Bukti kemampuan dari segi kewangan bukan sahaja boleh ditunjukkan melalui akaun bank syarikat SPV. Dan kalau pun tawaran dibuat sebelum kemampuan dibuktikan, syarikat SPV boleh disyaratkan untuk membuktikan kemampuan dalam jangaka masa 30 hari. Akan tetapi kesemua ini tidak dilakukan oleh kementerian.

Akibat tindakan yang diambil oleh pihak SEDA dan Kementerian, banyak syarikat yang tidak layak telah diberikan quota dan sehingga hari ini, mengikut jadual yang diterbitkan di laman web SEDA – hanya 3MW daripada 30.78MW quota tenaga solar yang ditawarkan untuk setengah tahun pertama 2012 telah dikomisien.

Seperti yang dimaklum oleh Menteri dalam jawapan kepada saya, 69 Notice of Intention to Revoke telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang tidak memenuhi milestones yang telah ditetapkan.

Majoriti daripada syarikat-syarikat ini, sehingga hari ini masih belum mendapat lesen daripada Suruhanjaya Tenaga, yang memerlukan syarikat-syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya RM100,000 dari segi paid-up capital. Saya juga ingin tahu kenapa Kementerian mengambil masa begitu lama untuk menamatkan kelulusan FiA kepada syarikat tersebut sedangkan sudah berbulan-bulan mereka tidak dapat mematuhi syarat.

Saya meminta Menteri memberikan keterangan mengapakan tiada tindakan keras diambil walaupun tiada satupun daripada syarikat-syarikat Suzi Suliana berjaya mematuhi syarat yang diberikan.

Saya juga ingin supaya pihak Menteri memberikan update terkini untuk quota yang telah diluluskan untuk setengah tahun hujung tahun 2012, iaitu berapa MW daripada 30.24MW yang telah diluluskan akan dikomisien dalam jangka masa yang ditetapkan.

Terima kasih.

Tony Pua Kiam Wee Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara