Keyakinan UMNO dengan Formula 3-3-3-1 adalah disebabkan pak turut di dalam SPR, kawalan media perdana dan sikap cepat berpuas hati di kalangan PR

Keyakinan Menteri Pertahanan dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan kejayaan formula "3-3-3-1" UMNO untuk menawan semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang adalah disebabkan oleh pak turut di dalam SPR, pengawalan media perdana untuk menyebarkan pembohongan terhadap PR dan sikap cepat berpuas hati di kalangan parti-parti PR. Formula UMNO termasuklah tambahan tiga kerusi kepada sebelas kerusi dewan undangan negeri yang sedia ada buat Umno, MCA dan Gerakan dan satu kerusi untuk MIC. Matlamatnya adalah untuk menang dengan hanya satu majoriti yakni 21 daripada 40 kerusi dewan undangan negeri.

Tindakan BN menggunakan SPR untuk kepentingan politik mereka terjaga dengan baik sehinggalah terdapat pendedahan terkini bahawa ada pegawai tinggi di dalam SPR merupakan ahli UMNO. Kawalan BN ke atas media telah menyebabkan bukan sahaja kejayaan-kejayaan pentadbiran PR tidak ditonjolkan, malah serangan-serangan peribadi berterusan ke atas pemimpin PR Pulau Pinang berdasarkan sikap perkauman, pembohongan tentang rasuah dan salah laku seksual.

Lebih teruk lagi apabila media perdana mengulang-ulang penipuan yang memualkan walaupun dibuat oleh orang-orang bawahan BN malah mereka mendapat lebih liputan berbanding Ketua Menteri. Liputan yang terhad diberikan kepada jawapan balas daripada PR atau kadangkala tidak disiarkan langsung. Jelas UMNO percaya kepada seni tipu daya kerana kebenaran hanya akan diketahui selepas pilihan raya umum, apabila semuanya telah terlambat dan penipu-penipu BN hanya perlu membayar ganti rugi fitnah 200,000 di mahkamah.

Disebabkan ini juga UMNO mula menyatakan penerimaan semula pengundi Cina, India dan Melayu kerana terdapatnya sedikit tegahan liputan terhadap pemimpin PR daripada semua media perdana, yang mana akan menjadi tegahan liputan sepenuhnya apabila tiba pilihan raya. Sebagai contoh, ketika saya mendedahkan perjanjian penyewaan bagi tujuan ketelusan, sesetengah akhbar tidak mahu menerbitkannya atau pun menerbitkan permintaan kami supaya pemimpin BN mendedahkan perjanjian penyewaan atau pembelian rumah mewah mereka.

UMNO juga berkeyakinan kerana mereka merasakan sikap cepat berpuas hati di kalangan PR. Sudah tiba masanya PR memandang serius ancaman 3-3-3-1 UMNO. Dalam hal ini mungkin UMNO benar memandangkan PR Pulau Pinang belum berada dalam mod penuh pilihan raya. Saya akan meminta semua parti PR untuk menghantar laporan penuh persediaan pilihan raya mereka dan bersiap sedia untuk kemungkinan pilihan raya pada November. Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan besar akan memanggil pilihan raya tahun depan.

Lim Guan Eng Pengerusi Pakatan Rakyat Pulau Pinang & Ketua Menteri Pulau Pinang