Di manakah bakal Menteri Besar dan Kabinet Bayangan BN di 4 Negeri PR?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengamalkan apa yang beliau katakan dan jangan berat sebelah dengan mengarahkan BN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor untuk membentangkan EXCO bayangan sekiranya BN bersungguh mahu menawan kembali negeri-negeri tersebut. Maka BN sebenarnya lebih teruk daripada PR kerana BN bukan sahaja tidak mempunyai kabinet bayangan untuk negeri-negeri PR tetapi juga tidak melantik calon Menteri Besar di Selangor, Kelantan dan Kedah.

Sungguhpun BN berbohong bahawa PR tiada bakal Perdana Menteri, PR telah pun bersepakat dan bersetuju bahawa Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. PR juga telah menggunakan pendekatan unik untuk kabinet bayangan dengan melantik 3 orang daripada setiap parti PR (PAS, DAP dan PKR) bagi setiap portfolio kementerian. Ini menunjukkan yang pemimpin PR bukan gilakan kuasa tetapi dahagakan dasar yang bermanfaat buat rakyat. Itu adalah budaya politik baru oleh PR dengan dasar berkesan berpaksikan rakyat berbeza dengan dasar memuja tokoh BN yang mengkayakan kroni.

DAP sesungguhnya tidak bersetuju bahawa penghapusan tol akan menyebabkan kejatuhan Bursa Malaysia kerana kebanyakkan pemegang konsesi adalah syarikat tersenarai awam. Sekali lagi Najib telah mendedahkan secara bawah sedar bahawa beliau lebih bimbangkan tentang nasib sebahagian kecil syarikat tersenarai awam berbanding mata pencarian 28 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri mengancam bahawa penghapusan tol seperti Lebuhraya Utara-Selatan akan menyebabkan kejatuhan Bursa adalah salah sama sekali. Bagaimanakah Bursa mampu jatuh apabila PLUS telah pun diambil swasta tahun lepas dan tidak tersenarai pun di dalam Bursa Malaysia? Jelas ancaman sedemikian bukan sahaja mengarut tetapi juga tidak bertanggung jawab lebih-lebih lagi ia datang daripada seorang Perdana Menteri.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan