Bajet 2013 tidak mesra rakyat tetapi mesra kroni

Walaupun banyak gula-gula diumumkan dalam ucapan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak, bajet ini telah gagal kerana tidak menangani tiga bidang penting yang diperlukan untuk menjamin kesejahteraan jangka panjang negara dan rakyat, iaitu kebijaksanaan fiskal, kemampanan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Pertama, walaupun defisit bajet dianggarkan akan menurun daripada 4.5% pada tahun 2012 kepada "hanya" 4.0% pada 2013, angka ini menyembunyikan prestasi kurang cemerlang kerajaan BN yang seringkali tidak menepati sasaran perbelanjaan. Sebagai contoh, jumlah perbelanjaan bagi Bajet 2012 telah diumumkan sebagai RM232.8b dalam ucapan bajet tahun lepas. Tetapi dalam Laporan Ekonomi 2012/2013 yang diedarkan baru-baru ini, jumlah perbelanjaan bagi tahun 2012 adalah dianggarkan sebagai RM252.4b. Angka ini adalah tambahan sebanyak RM20b ke atas unjuran perbelanjaan yang diumumkan tahun lepas.

Kita bernasib baik kerana unjuran hasil dijangka mencatat RM207b bagi tahun 2012, iaitu RM20b lebih daripada RM186.9b yang dianggarkan tahun lepas. Tanpa hasil cukai "durian runtuh" ini, defisit bajet kita semestinya akan meningkat sehingga 6.7% daripada KDNK berbanding 4.5% yang dianggarkan untuk 2012. Pun begitu, kita tidak boleh mengharapkan bahawa hasil akan terus melebihi anggarannya, terutama sekali dalam keadaan ekonomi sedunia yang kurang merangsangkan. Tambahan pula, hasil daripada cukai minyak dijangka akan menurun akibat daripada perubahan dasar dividen Petronas serta ketidakpastian politik di Sudan Selatan yang mungkin akan menjejaskan hasil Petronas sebanyak USD1 bilion.

Sementara kita tidak membantah pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukannya, namun tidak ada jaminan bahawa kerajaan akan mengurangkan ketirisan dalam program BR1M yang didapati telah diberi kepada seorang Datuk MCA di Pahang. Jumlah RM1.8b yang mula-mula diperuntukkan untuk pemberian BR1M kepada 3.4 juta isi rumah dalam Bajet 2012 telah melambung kepada RM2.6b kepada lebih daripada 5 juta isi rumah. Ini merupakan 80% daripada semua isi rumah di Malaysia walaupun hanya 53% daripada isi rumah Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan.

Sebuah negara yang mempunyai KDNK yang dijangka akan berkembang sebanyak 5% untuk tahun 2012 tidak seharusnya mempunyai begitu banyak isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Pun begitu, penerima BR1M dijangka akan meningkat kepada 4.3 juta isi rumah dengan tambahan 2.7 juta orang yang berpendapatan kurang daripada RM2,000. Tanpa semak dan imbang, RM3b yang diperuntukkan untuk BR1M 2.0 dalam Bajet 2013 boleh meningkat dengan senang kepada RM4b, jika tidak lebih lagi.

Kekurangan kebijaksanaan fiskal yang sama juga boleh dilihat dalam perbelanjaan subsidi. Peruntukan sebanyak RM32.8b telah diberi untuk subsidi dalam Bajet 2012 tetapi perbelanjaan sebenar dianggarkan mencecah RM42.4b, iaitu satu peningkatan RM9.6b atau 29.3% ke atas bajet asal! Jika trend yang sama berkekalan, maka RM37.6b yang diperuntukkan untuk subsidi dalam Bajet 2013 mungkin meningkat kepada hampir RM50b!

Memandangkan prestasi kurang cemerlang BN dalam kebijaksanaan fiskal, sekiranya pilihan raya umum diadakan tahun depan, adalah kemungkinan besar bahawa BN akan mengorek keluar sebanyak-banyak duit rakyat yang mungkin untuk tujuan membeli undi dengan pemberian gula-gula secara tidak bertanggungjawab. Saya tidak akan terkejut sekiranya jumlah perbelanjaan kita akan melebihi bajet sebanyak RM30b dan jika defisit bajet untuk 2013 akan melebihi 5.0%!

Kedua, walaupun Bajet 2013 telah memperuntukkan jumlah yang besar untuk diagihkan kepada rakyat melalui program-program seperti BR1M 2.0, baucar buku untuk pelajar-pelajar IPT, baucar untuk pelajar-pelajar sekolah, rebat telefon bimbit pintar untuk golongan muda, jumlah yang bakal diberi kepada para kroni dan dibazirkan melalui korupsi akan jauh melebihinya.

RM4.2b telah diperuntukkan untuk program-program yang disenaraikan tadi. Namun begitu, biar saya mengingatkan Dewan yang mulia ini bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung sendiri telah mengakui bahawa kerajaan persekutuan telah ketirisan sebanyak RM26b melalui korupsi, ataupun 6 kali ganda jumlah yang diperuntukkan oleh PM Najib kepada rakyat dalam Bajet 2013.

Jelas, Bajet 2013 tidak Mesra Rakyat tetapi Mesra Kroni kerana RM10.9b telah diperuntukkan untuk projek-projek kroni sementara hanya RM4.2b akan diberi terus kepada rakyat. Biar saya memberi beberapa contoh gula-gula yang akan diberi kepada para kroni BN dalam anggaran bajet (lihat Jadual 1 dan 2).

  1. RM400 juta telah diperuntukkan kepada 1MDB di bawah Jabatan Perdana Menteri. Agaknya berapa banyakkah daripada jumlah ini yang akan digunakan untuk menyelamatkan pihak-pihak yang mesra BN daripada kontrak-kontrak sedia ada? Sebagai contoh, pembelian aset tenaga Tanjong yang bernilai RM8.5b dan RM2.3b daripada Genting Sanyen telah dipersoalkan oleh para analis kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Tenaga yang akan luput pada tahun 2016.

  2. RM582 juta telah diperuntukkan dalam bajet ini untuk membayar pampasan kepada pengendali-pengendali tol, di mana RM343 juta merupakan pembayaran biasa sementara RM239 juta merupakan pembayaran "one-off" atau sekali sahaja. Ini bukan sahaja akan memanfaatkan syarikat-syarikat swasta yang mengendalikan tol, tetapi memudaratkan rakyat kerana wang ini boleh digunakan untuk mengambil alih syarikat-syarikat pengendali tol dan menghapuskan tol, iaitu satu janji Pakatan Rakyat apabila kita sampai ke tampuk kuasa.

  3. RM272.5 juta telah diperuntukkan dalam bajet ini di bawah NKRA Jenayah untuk "meningkatkan kepuasan orang ramai terhadap prestasi polis". Daripada membelanjakan wang rakyat untuk menambahbaik PDRM dan mengurangkan jenayah, BN lebih ingin memperuntukkan wang ini untuk tujuan perhubungan awam yang hanya akan memanfaatkan para perunding dan pengiklan yang mempunyai kabel politik. Dengan pemikiran sebegini, lagilah sukar untuk rakyat percaya bahawa kadar jenayah betul-betul menurun.

  4. RM2.5 bilion telah diperuntukkan untuk Kerjasama Awam Swasta. Kebanyakan daripada jumlah ini akan memanfaatkan projek-projek kroni seperti Projek Minyak dan Gas Tanjong Agas dan Taman Perindustrian Maritime yang terletak di Pekan, iaitu kawasan Perdana Menteri Najib sendiri. Sebanyak RM150 juta wang rakyat sudah pun disalurkan kepada projek ini dan PM Najib telah menjanjikan sebanyak RM300 juta lagi walaupun projek ini bersaing dengan Taman Perindustrian Gebeng yang berada di luar Kuantan, hab Minyak dan Gas Kerteh di Terengganu serta projek RAPID di Pengerang, Johor.

  5. RM386 juta telah diperuntukkan untuk menambah 57 lagi kedai KR1M di Sabah dan Sarawak. Peruntukan ini mungkin akan memberi manfaat kepada mereka yang mendapat kontrak untuk menjalankan kedai-kedai ini, iaitu Mydin. Tambahan lagi, kedai KR1M berkemungkinan akan membuatkan peruncit-peruncit tempatan di Sabah dan Sarawak hilang pernigaan. Lebih buruk lagi adalah kos yang melambung untuk mewujudkan kedai KR1M.

    Sebagai contoh, pada tahun 2012 Najib mengumumkan pembangunan 85 kedai KR1M di semenanjung Malaysia dengan peruntukkan RM40 juta. Bermakna RM470,000 untuk setiap kedai. Pada 2013, Najib mengumumkan penubuhan 57 kedai KR1M di Sabah dan Sarawak dengan peruntukkan RM386 juta. Bermakna RM6.7 juta untuk setiap kedai. Ini menunjukkan kenaikkan kos sebanyak 15 kali ganda untuk satu kedai KR1M dalam tempoh satu tahun.

  6. Termasuk dalam bajet ini adalah peruntukkan RM300 juta untuk penswastaan pengurusan sisa pepejal seluruh negara. Kontraknya hanya akan memberi manfaat syarikat yang mempunyai kaitan politik termasuklah Alam Flora, Southern Waste Management & E-Idaman. Setakat ini kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor belum lagi bersetuju kerana bimbang bertambahnya kos berdasarkan kontrak-kontrak penswastaan sebelumnya melibatkan pembersihan dan pungutan sampah.

  7. Dan yang terakhir sekali, bajet ini memberikan insentif cukai untuk pemaju-pemaju yang mahu membina dan syarikat-syarikat yang mahu menempatkan syarikat mereka di Tun Razak Exchange yang dulunya dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) termasuklah pengecualian cukai buat pemaju hartanah, pengecualian cukai pendapatan 10 tahun untuk syarikat berstatus TRX, pengecualian duti stem, elaun bangunan industri dan elaun modal dipercepatkan untuk syarikat berstatus TRX Marquee. Dengan Nilai Pembangunan Kasar RM26 bilion, berserta anggaran kadar cukai 25%, bermakna RM6.5 bilion hasil akan dilepaskan oleh kerajaan.

Ditambah dengan tujuh perkara ini akan memberikan kita RM10.9 bilion, lebih daripada 2 ? kali ganda RM4.2 bilion yang diperuntukkan Najib melalui pelbagai program pemberian dan gula-gula membeli undi.

Dan ini tidak termasuk pembaziran melalui sistem pemerolehan yang lazimnya korup yang tidak dapat mengelak daripada didedahkan Ketua Audit Negara mengeluarkan laporannya dalam masa dua minggu lagi. Kita telah pun boleh nampak contoh-contoh di dalam Bajet 2013 seperti RM90 juta telah diperuntukkan untuk membeli 300,000 pakaian seragam buat anggota RELA yang aktif yang bermakna RM300 bagi sebah pakaian seragam. Dan juga RM20 juta dipertuntukkan untuk 1000 motosikal polis bagi menjalankan rondaan yang bermakna RM20,000 sebuah.

Insentif seperti ini bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, Najib bahawa era "kerajaan mengetahui apa yang terbaik" telah berakhir. Sesungguhnya, menurut Laporan Ekonomi 2012/2013, sector awam dijangka membesar sebanyak 13.3% pada 2012 menjadi punca 25.2% KDNK (naik daripada 23.3% pada 2011). Ini bermakna kerajaan akan memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi berbanding mengurangkan peranannya bagi memberi ruang kepada sektor swasta untuk berkembang dan memacu ekonomi. Dengan memperkenal dan mengusahakan inisiatif-inisiatif ini, Najib juga bercanggah dengan salah satu teras utama Model Ekonomi Baru (NEM) dan pendorong di sebalik Nilai Pembangunan Kasar (ETP).

Ketiga, bajet ini gagal membentangkan penyelesaian jangka panjang untuk masalah kenaikan kos sara hidup, terutamanya di kawasan Bandar.

Jenayah adalah salah satu punca yang menyebabkan kos sara hidup meningkat. Perniagaan terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk keselamatan memindahkan kos tersebut kepada pengguna. Penduduk yang terpaksa membayar untuk keselamatan persendirian berkurangan pendapat boleh guna. Sedih sekali, pendekatan mengurangkan kadar jenayah di dalam Bajet 2013 tidak begitu memuaskan.

Tidak ada sebarang cadangan untuk mengatur semula polis dengan mengatur semula pegawai-pegawai Cawangan Khas yang memiliki jumlah dua kali lebih ramai daripada pegawai penyiasat/detektif Jabatan Siasatan Jenayah (CID). Atau dengan mengatur semula sebahagian daripada 14,000 kakitangan Pasukan Gerakan Am(GOF), sebuah organisasi peninggalan zaman menentang komunis dahulu ke dalam CID dan penentang jenayah barisan hadapan.

Tambahan, tidak kelihatan sebarang usaha yang dicadangkan melibatkan kerajaan negeri dan tempatan untuk membanteras jenayah. Yang disebut hanyalah peruntukan untuk 496 unit CCTV untuk 25 kerajaan tempatan untuk mencegah jenayah jalanan di kawasan-kawasan bandar. Ini bersamaan dengan 20 unit CCTV untuk setiap kerajaan tempatan, satu jumlah yang tidak mencukupi untuk meliputi satu taman, apatah lagi satu kawasan dalam kerajaan tempatan.

Lagi satu contoh yang sama, program yang bercita-cita tinggi untuk membina 100,000 unit perumahan mampu milik tidak akan terjelma sekiranya projek-projek perumahan ini tidak diintegrasikan dengan sistem pengangkutan awam. Projek MRT dan lanjutan LRT tidak boleh meliputi semua kawasan yang mempunyai atau bakal mempunyai perumahan mampu milik, itu pun jika ianya akan dibina. Satu jalan penyelesaian adalah untuk memberi kerajaan tempatan dan negeri kuasa untuk menyediakan perkhidmatan bas. Sebaliknya, kerajaan persekutuan akan memperkembangkan perkhidmatan bas RAPID yang dimiliki kerajaan persekutuan kepada kawasan-kawasan lain, kali ini di Kuantan.

Dengan harga kereta yang masih lagi di tahap yang mahal, khususnya untuk golongan berpendapatan sederhana rendah, isu perumahan mampu milik tidak boleh dilihat secara sendiri daripada isu pengangkutan awam. Malangnya, PM Najib tidak memahami hakikat ini seperti yang boleh dilihat dalam Bajet 2013.

Dalam kata lain, bajet ini adalah contoh bagaimana para kroni BN akan lebih bermanfaat berbanding rakyat Malaysia.

Bajet Pakatan Rakyat pula menunjukkan kebijaksanaan fiskal yang lebih. Anggaran defisit kita iaitu 3.5% daripada KDNK ataupun lebih kurang RM37b bukan sahaja kurang, tetapi anggaran hasil dan perbelanjaan juga lebih berhemat, pada jumlah RM197b dan RM234b masing-masing. Bajet yang lebih berhemat ini akan memberi ruang yang lebih untuk bergerak sekiranya Pakatan mengambil alih kuasa persekutuan dan melaksanakan bajet kita.

Bajet PR juga lebih mampan dari segi ekonomi kerana kita tidak memihak kepada sesetengah sektor atau projek. Sebaliknya, kita akan menghapuskan monopoli, memansuhkan amalan yang tidak adil dan meningkatkan saingan dalam semua sektor ekonomi.

Bajet kita juga memberi lebih tumpuan kepada penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu-isu kos sara hidup seperti penempatan semula dan pengagihan semula kakitangan polis untuk memerangi jenayah, penglibatan kerajaan tempatan dengan lebih mendalam untuk mengurangkan jenayah, kemudahan pengangkutan awam, mengurangkan dan menghapuskan tol untuk meningkatkan wang dalam poket rakyat serta mencari jalan baru untuk menyediakan perumahan mampu milik.

Pilihan untuk rakyat Malaysia adalah jelas. Bajet 2013 Najib adalah penuh dengan gula-gula yang tidak dapat menangai masalah-masalah jangka panjang negara kita iaitu kebijaksanaan fiskal, kemampanan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup. Pakatan, melalui Bajet Alternatif, dan melalui kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, telah membuktikan bahawa kita boleh mentadbir dengan penuh bertanggungjawab dari segi fiskal, dengan dasar-dasar mampan yang menggalakkan saingan dan langkah-langkah yang berjaya meningkatkan wang dalam poket rakyat. Biarlah rakyat Malaysia memilih dengan bijak.

Akhir sekali, gula-gula yang diberi ini sebenarnya menyembunyikan cubaan BN untuk memperkalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranyan mereka diberi lagi satu panggal untuk memerintah selepas pilihan raya umum yang akan datang. Ini jelas kelihatan dalam ucapan PM Najib di mana beliau berkata bahawa "peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia" dan "pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia" serta "Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.

Dalam erti kata lain, bajet ini merupakan lagi satu contoh bagaimana para kroni BN akan lebih bermanfaat berbanding rakyat Malaysia dan jika BN diberi lagi satu penggal, maka kehidupan rakyat kebanyakan yang bukan kroni BN akan disusahkan dan terpaksa dibebani dengan pengenalan cukai GST.

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

Jadual 1: Projek untuk kroni

Kroni Kementerian Jumlah Komen
1 1MDB MoF 400 juta Untuk menyelamatkan syarikat-syarikat, contohnya Genting Sanyen, Tanjung
2 Pengendali Tol JKR 343 juta Pembayaran Biasa
Pengendali Tol JKR 239 juta Pembayaran "One-Off"
3 Meningkatkan Persepsi Keselamatan KDN 272.5 juta Used for consultants and PR agencies
4 Kerjasama Awam Swasta JPM 2,500 juta Projek Permulaan (EPP) Tanjong Agas dan Karambunai
5 KR1M KDN 386 juta Mydin
6 Alam Flora, Southern Waste Management & E-Idaman KPKT 300 juta Penswastaan Sisa Pepejal
7 Tun Razak Exchange JPM 6,500 juta Pelepasan cukai memanfaatkan 1MDB
Jumlah 10,940 juta

Jadual 2: Gula-gula untuk Rakyat

Perkara Jumlah Komen
1 BR1M 3,000 juta BR1M 2.0 untuk isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 (RM500) dan individu berumur di antara 21 dan 30 dan berpendapatan kurang daripada RM2,000 (RM250)
2 Baucar Buku 325 juta RM250 setiap pelajar IPT untuk 1.3 juta pelajar
3 Baucar Sekolah 540 juta RM100 setiap pelajar untuk 5.4 juta pelajar
4 Rebat Telefon Bimbit Pintar 300 juta Rebat RM200 untuk golongan berumur di antara 21 dan 30 dan berpendapatan kurang daripada RM3,000 yang akan memanfaatkan sebanyak 1.5 juta pemuda-pemudi
Jumlah 4,200 juta
Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan