Tan Sri Nor Mohamad Yakcop harus menjelaskan Skandal Bank Negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Mohamad Yakcop harus tampil menjelaskan skandal Bank Negara Forex dan menanggung sepenuhnya kerugian sebanyak RM15.8 billion dari tahun 1992-3 tetapi dianggarkan mencecah RM30 bilion. Menurut laporan kewangan Bank Negara, Bank Negara mencatatkan kerugian sebanyak RM10.1 bilion pada tahun 1992 dan RM5.7 bilion pada tahun 1993.

Walau bagaimanapun, ketika menjawab soalan saya di Parlimen dua minggu lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim hanya mengakui bahawa hanya RM5.7 bilion yang hilang pada tahun 1993. Ini menimbulkan persoalan berhubung kerugian RM10.1 bilion pada tahun 1992 biarpun jumlah kerugian mencecah RM30 bilion seperti yang dianggarkan oleh bekas pegawai kanan Bank Negara Dr Rosli Yakcop yang pernah bekerja di bawah Tan Sri Nor.

Tan Sri Nor telah dikenal pasti sebagai watak utama dalam perniagaan forex untuk Bank Negara dengan pertaruhan besar melibatkan beratus- ratus juta US$ untuk setiap lot pertaruhan. Sehingga kini beliau enggan menjelaskan penglibatan beliau atau mengapa beliau memperjudikan dana negara dengan begitu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia.

Sementara Kerajaan Malaysia mengutuk spekulator pertukaran mata wang forex seperti George Soros, mengapa Kerajaan Malaysia mengamalkan dwi-standard dengan melindungi spekulator mata wang forex Malaysia seperti Tan Sri Nor Mohamad Yakcop? Lebih teruk lagi, Kerajaan Malaysia menghantar mesej yang salah dengan bukan sahaja gagal menghukum mereka yang bertanggungjawab atas kerugian besar atau menuntut kebertanggungjawaban sepenuhnya, tetapi menaikkan pangkat spekulator mata wang forex seperti Tan Sri Nor Mohamad Yakcop kepada jawatan Menteri Kabinet.

Dengan pilihan raya umum yang akan datang, Tan Sri Nor harus tampil menjelaskan sepenuhnya skandal kewangan ini demi kepentingan awam di mana pengundi perlu tahu apa jenis orang atau kerajaan yang rakyat undi apabila kita mengalami kerugian kewangan yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menunjukkan bahawa Kerajaan BN hanya berpura-pura dalam komitmennya terhadap kebertanggungjawaban awam dan ketelusan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan