Ucapan oleh Lim Guan Eng di Hong Kong Foreign Correspondents Club (FCC) di Hong Kong atas tajuk Titik Perubahan Malaysia

Dalam karya tahun 2000 Malcolm Gladwell yang sangat berpengaruh, beliau menerangkan detik apabila perubahan berlaku itu sebagai titik perubahan yang beliau mendefinasikan sebagai "massa kritikal, ambang atau takat didih". Gladwell menyenaraikan tiga ajen perubahan iaitu:

  • Hukum "Law of the Few" ataupun Prinsip Pareto 80/20 iaitu 80% kerja dilakukan oleh 20% peserta di mana kejayaan perubahan itu bergantung kepada penglibatan orang yang mempunyai kemahiran sosial yang istimewa;

  • Faktor kelekitan untuk memastikan pengekalan isi kandungan dan impak yang efektif;

  • Kuasa konteks di mana kelakuan manusia adalah sensitif kepada dan senang dipengaruhi oleh persekitaran.

Saya menghujahkan bahawa ketiga-tiga ajen perubahan ini sedang berlaku di Malaysia, lantas Malaysia berada di titik perubahan untuk kerajaan baru di Malaysia menjelang pilihan raya umum yang akan datang. Empat faktor penting membentuk titik perubahan yang progresif manakala satu faktor mampu menyebabkan kemerosotan untuk Malaysia.

Faktor pertama adalah rakyat Malaysia sudah jijik dengan rasuah dan korupsi yang sudah pun berakar umbi dan berleluasa, dan percaya bahawa hanya perubahan kerajaan boleh membanteras rasuah. Rakyat Malaysia yakin bahawa walaupun kerajaan-kerajaan negeri PR ada kekurangannya, kerajaan PR tetap lebih berprestasi kerana kita bersih dan mempunyai kepimpinan yang boleh dipercayai seperti yang dibuktikan melalui tender terbuka, enakmen kebebasan maklumat, pendedahan penuh kontrak-kontrak kerajaan serta pengisytiharan harta secara terbuka yang diiktiraf oleh firma akauntan antarabangsa.

Kedua, rakyat Malaysia mendahagakan perubahan daripada rejim yang tidak cekap, suka menindas dan mendera rakyat kepada kerajaan yang cekap, demokratik dan melindungi hak asasi manusia. Dahulu, perubahan mustahil berlaku kerana tiada alternatif kepada BN yang berbilang kaum. Kini, kita mempunyai alternatif yang kredibel dan yang terdiri daripada rakyat Malaysia berbilang bangsa dan kaum dengan hampir 5 tahun pengalaman dalam pentadbiran yang cekap dan jujur serta diketuai oleh pemimpin yang diterima semua iaitu Anwar Ibrahim.

Ketiga, senjata politik ketakutan, ugutan dan penipuan tidak lagi seefektif berbanding masa lalu. Ketakutan rusuhan kaum seperti yang berlaku pada Mei 13 1969 sudah pun kurang kerana perubahan kerajaan hanya boleh berlaku apabila masyarakat Melayu sendiri menginginkan perubahan kerana merekalah majoriti pengundi. Jika BN kalah, ia bukan kerana Melayu lawan bukan Melayu tetapi Melayu yang ingin perubahan melawan mereka yang tidak. Perhimpunan Bersih telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia berbilang kaum boleh bekerjasama untuk keadilan dan pilihan raya yang bersih.

Rakyat Malaysia boleh membuat keputusan yang wajar dengan adanya Internet tanpa bergantung kepada media yang dimonopoli oleh kerajaan. Revolusi teknologi ini membawa impak yang global dalam revolusi politik, ekonomi dan sosial. Keinginan untuk perubahan pula diperkuatkan lagi dengan revolusi-revolusi yang sedang berlaku di serata dunia.

Keempat, Malaysia Timur dan pengundi luar bandar yang dilihat sebagai deposit tetap untuk BN sudah tidak lagi selamat. Pembelotan 4 wakil BN Sabah kepada PR dan kekalahan dalam pilihan raya kecil Sibu di Sarawak serta kehadiran orang ramai yang bersesak-sesak di perhimpunan-perhimpunan PR menunjukkan bahawa Tsunami Politik yang melanda Semenanjung Malaysia sudah pun sampai ke Malaysia Timur.

Terdapat juga kebimbangan untuk pengundi luar bandar apabila harga komoditi makin menjunam. Selagi Perdana Menteri Dato' Sri Najib terus melengahkan pilihan raya, maka lagi susahlah beliau kerana tidak kelihatan prospek untuk pemulihan harga dalam bulan-bulan yang akan datang.

Harga minyak sawit sudah menurun sebanyak 32% tahun ini kepada RM2,813 satu tan daripada RM3,930 pada tahun 2008.

  • Harga minyak sawit mentah (CPO) pada 3, Jan 2012 - RM3215 satu tan

  • CPO pada 8, Oct 2012 - RM2183 per ton

  • Kejatuhan harga = RM1,032 satu tan atau 32%

Untuk getah pula, harganya merudum sebanyak 41 sen atau 6% tahun ini kepada 630 sen, jauh daripada 1,045 sen pada April 2011.

  • Purata Jan 2012 - 671 sen / kg

  • Purata Oct 2012 - 630 sen / kg

  • Kejatuhan harga = 41 sen / kg or 6%

Malah penyenaraian Felda Golden Ventures Holdings (FGV) pun sudah kehilangan kilaunya. Keterujaaan awal penyenaraian FGV sudah pun hilang. Saham FGV telah jatuh kepada RM4.57 pada bulan September 2011, hampir dengan harga penyenaraiannya iaitu RM4.55. Ia sudah meningkat balik kepada RM4.75 setakat hari ini (9 Oktober 2012).

Mengikut laporan The Star, keuntungan FGV telah jatuh 87% kepada RM192.2 juta untuk Q1 2012. Ini akan memberi kesan kepada peneroka Felda yang dianggap sebagai penyokong tegar BN dan UMNO.

Namun begitu, setelah bercakap tentang 4 titik perubahan yang positif, terdapat satu titik perubahan yang menyebelahi BN. Titik perubahan yang kelima adalah penipuan pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun membuktikan diri sebagai tidak adil, bebas atau bersih. SPR sudah terkenal sebagai alat parti pemerintah di mana pemimpin-pemimpin tertingginya merupakan ahli-ahli UMNO. Jika BN berjaya menanamkan undi hantu, BN mampu menipu untuk mencapai kejayaan.

Secara kesimpulan, keputusan akhir pilihan raya akan bergantung kepada Najib. Persoalannya adalah sama ada Najib ingin memilih reformasi atau transformasi untuk perubahan atau menjadi ayam yang berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi. Semua usaha-usaha reformasi yang dilakukannya sekadar kosmetik sehingga rakyat Malaysia berasa tertipu.

Rakyat Malaysia mencari harapan baru yang penuh kebebasan, keadilan, kebenaran, demokrasi dan integriti kepimpinan. Sekiranya najib tidak mengambil tindakan ke atas kekayaan luarbiasa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud atau kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka yang memecah rekod dengan 130,000 orang tetamu, maka Malaysia sudah pun mencapai titik perubahannya.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan