MCA sangat terdesak sehingga ingin mempertikaikan pentadbiran PR Pulau Pinang yang cekap dan bersih

MCA dan Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sangat terdesak untuk mempertikaikan pentadbiran PR Pulau Pinang yang cekap dan bersih sehingga pengiktirafan laporan Ketua Audit Negara mengenai hutang kerajaan negeri Pulau Pinang pada akhir tahun 2011 pun tidak dipercayai. Chua telah mempertikaikan kejayaan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam mengurangkan hutang negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta pada bulan Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir tahun 2011.

Saya telah mengatakan bahawa kejayaan Pulau Pinang dalam mengurangkan hutang negeri adalah berpunca daripada kejayaan kami untuk mencapai perjanjian penstrukturan semula aset air dengan kerajaan persekutuan yang boleh diterima oleh kerajaan negeri. Walaupun saya telah memberi penjelasan, Chua telah mengungkitkan isu yang sama semasa debat umum kita pada 8 Julai 2012 dan saya telah menjawab bahawa PR Pulau Pinang telah bertindak tegas dengan tuntutan kami demi melindungi kepentingan negeri, satu hakikat yang tidak dapat dibuat oleh kerajaan negeri lama. Kerajaan persekutuan tidak mengambil hutang air secara percuma kerana kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyerahkan aset air.

Pengurangan hutang negeri Pulau Pinang sebanyak 95% merupakan rekod tertinggi di Malaysia. Tidak ada negeri-negeri lain yang telah berjaya mencapai perjanjian yang sama dengan kerajaan persekutuan. Pengurangan hutang negeri serta pencatatan bajet lebihan setiap tahun adalah bukti jelas bahawa pengurusan kewangan PR yang bijaksana dan cekap telah mengukuhkan tahap kewangan negeri Pulau Pinang. Jika MCA tidak setuju, adakah MCA mencadangkan bahawa Pulau Pinang harus mengikut tunjuk ajar kerajaan persekutuan dan meningkatkan lagi hutang?

Pada akhir tahun 2007, hutang kerajaan persekutuan adalah RM266 bilion. Pada akhir tahun 2012, hutang kerajaan persekutuan sudah meningkat 89% kepada RM502.4 bilion. Ini bersamaan dengan RM18,000 setiap seorang rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta. Peningkatan hutang kerajaan persekutuan sebanyak 89% ini jauh berbeza dengan pengurangan hutang negeri Pulau Pinang sebanyak 95%.

Hutang kerajaan persekutuan adalah lebih tinggi sekiranya kita mengambil kira liabiliti kontinjen, iaitu pinjaman yang dijamin oleh kerajaan persekutuan kepada pihak ketiga, termasuk pihak swasta. Contoh yang paling jelas adalah seperti surat jaminan yang diberi oleh Menteri Pengangkutan dalam skandal Port Klang Free Zone yang membabitkan RM13 bilion.

Dalam jawapan Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) pada 28 Mac 2012, Menteri Kewangan telah menyatakan bahawa jumlah liabiliti kontinjen pada tahun 2011 adalah RM117 bilion. Dalam erti kata lain, jika liabiliti kontinjen termasuk sekali, maka hutang Malaysia sudah melebihi RM620 bilion. Nasib baik, Pulau Pinang tidak mempunyai liabiliti kontinjen kerana kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menjamin pinjaman.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang