Rakyat tidak mempercayai SPRM

Semalam, kerajaan BN bangga mengumumkan pembebasan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman daripada skandal wang tunai S$16 juta (RM40 juta) ekoran tindakan SPRM untuk menggugurkannya daripada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram. Adakah SPRM telah membuat siasatan penuh termasuk mengambil kenyataan Datuk Seri Musa?

Mengikut jawapan bertulis Parlimen Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Pejabat Ketua Peguam Negara tidak menjumpai apa-apa elemen rasuah dalam kes seorang ahli peniaga Sabah yang ditahan di Hong Kong kerana menyeludup wang berjumlah RM40 juta dalam mata wang Singapura. Nazri berkata bahawa siasatan menunjukkan duit itu sebenarnya merupakan sumbangan politik kepada UMNO Sabah dan bukan kepada Musa.

Adakah BN ingat bahawa rakyat Malaysia senang tertipu dengan cerita sebegini dan menerima bahawa tidak ada masalah kerana duit yang diseludup itu adalah untuk UMNO Sabah dan bukan untuk Musa? Apakah syarat-syarat di sebalik sumbangan RM40 juta itu dan kenapakah ia dilakukan dengan mata wang Singapura? Sekali lagi SPRM cuba untuk menutup skandal politik wang oleh BN.

Skandal penyeludupan RM40 juta wang tunai ini menyusul selepas dua lagi skandal yang melibatkan dua orang lagi ketua menteri BN. Baru-baru ini, sebuah NGO Switzerland telah mendakwa bahawa kekayaan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dianggarkan mencecah RM46 bilion, lantas menobatkannya sebagai orang terkaya di Malaysia. Betapa besarnya kekayaan keluarga Taib ini telah dibuktikan dalam kes perceraian anaknya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, di mana bekas isterinya telah mendedahkan bahawa beliau mempunyai kekayaan bernilai sekurang-kurangnya RM1 bilion, dengan akaun-akaun peribadi di serata dunia.

Lepas itu, kita berhadapan dengan majlis kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam, di mana 130,000 orang tetamu telah dijamu dalam sambutan yang memecah rekod. Sehingga hari ini, Ali Rustam masih lagi gagal menjelaskan bagaimana beliau mampu menanggung kenduri yang begitu mewah. Ali Rustam mendakwa kosnya hanya RM600,000 dan beliau tidak membayar kerana mendapat tajaan. Bukankah ini dinamakan politik wang apabila Ali Rustam menerima "tajaan" untuk kenduri anak beliau? Di masa depan, mana-mana pasangan yang ingin kahwin harus minta tajaan daripada Ali Rustam kerana beliau pandai mendapat tajaan untuk anaknya.

Rakyat Malaysia sudah tidak boleh tahan dengan keangkuhan pemimpin-pemimpin BN yang bukan sahaja mengaut kekayaan yang luarbiasa tetapi juga menonjolkannya di khalayak umum. Rakyat Malaysia tidak mempercayai SPRM untuk mengendalikan siasatan bebas ke atas majlis kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang memecah rekod dengan kehadiran 130,000 tetamu dan dakwaan kekayaan luarbiasa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud apabila tiada tindakan diambil dalam kes RM40 juta wang tunai yang diberi kepada UMNO Sabah.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan