Dua pemegang konsesi AES boleh mengaut sehingga RM700 juta setahun

Mengikut laporan-laporan akhbar, sebanyak 63,558 kesalahan trafik telah dicatatkan bagi 8 hari pertama sejak pelancaran Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada 23 September dengan 14 kamera yang dipasang di kawasan-kawasan mudah kemalangan. Pada ketika ini, kamera-kamera tersebut menangkap kesalahan-kesalahan had laju atau lampu isyarat tetapi dalam masa depan ia akan digunakan untuk menangkap kesalahan-kesalahan lain seperti memotong baris dan memotong secara haram.

Malah New Straits Times telah membuat pengiraan dan mendapati bahawa berdasarkan angka yang dicatatkan dalam 8 hari tersebut, sebanyak 170 juta saman akan dikeluarkan setiap tahun apabila 831 kamera (566 untuk had laju dan 265 untuk kesalahan ringan trafik) dipasang di serata negara dalam masa 18 bulan. Dalam erti kata lain, berdasarkan pengiraan New Straits Times, kerajaan Persekutuan dan pemegang konsesi bakal mengutip RM51 bilion sekiranya saman RM300 dikenakan untuk 170 juta saman dalam satu tahun sahaja! Angka 170 juta saman atau RM51 bilion yang dikira oleh New Straits Times ini mungkin tidak munasabah dan angka yang lebih munasabah mungkin RM5 bilion setahun.

Projek yang dicadangkan hampir sedekad lalu ini telah menghadapi tentangan hebat kerana pemegang konsesinya - ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd - mampu mendapatkan balik modal mereka melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar melalui tiga peringkat:

  • Peringkat 1: Untuk 5 juta saman pertama, RM16 setiap saman akan dikutip (RM80 juta).

  • Peringkat 2: RM540 juta kutipan seterusnya dikongsi 50%, iaitu RM270 juta. Kerajaan mendapat jumlah yang sama.

  • Peringkat 3: 7.5% akan dikutip daripada keuntungan seterusnya. Kerajaan akan mengutip yang berlebihan.

Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun, kedua-dua pemegang konsesi akan untung RM80 juta di bawah peringkat pertama, RM270 juta di bawah peringkat kedua dan RM350 juta di bawah peringkat ketiga - jumlah lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun.

Selain daripada keuntungan RM700 setahun, terdapat juga tanda tanya tentang kos besar yang didakwa oleh kedua-dua pemegang konsesi untuk pemasangan 831 kamera. Adakah ia bernilai RM600-800 juta seperti yang didakwa oleh kedua-dua syarikat tersebut untuk pemasangan 831 kamera yang bersamaan dengan RM722,000-RM962,000 setiap kamera? Kementerian Pengangkutan harus menunaikan kebertanggungjawaban umum dengan menjelaskan soalan-soalan ini dan sama ada ia dilakukan melalui tender terbuka. Jika isu-isu ini tidak dijelaskan, pemandu-pemandu Malaysia berhak marah kerana sekali lagi kroni-kroni BN untung sementara rakyat rugi.

DAP menyeru agar pelaksanaan AES digantung dengan serta merta sehingga isu-isu ini dapat diperjelaskan dengan penuh demi kepentingan umum.

Keengganan Najib Tun Razak Untuk Mendedahkan Butir-Butir Sumbangan S$16 Juta Atau RM40 Juta Kepada UMNO Sabah Yang Telah Menyebabkan Penahanan Pedagang Balak Michael Chia Di Hong Kong Atas Dakwaan Menyeludup Mata Wang Singapura Adalah Sama Dengan Keengganan BN Untuk Membuat Pengisytiharan Harta Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Menteri-Menteri Besar Dan Ahli-Ahli EXCO Secara Terbuka.

Keengganan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak untuk mendedahkan butir-butir sumbangan S$16 juta atau RM40 juta kepada UMNO Sabah yang telah menyebabkan penahanan pedagang balak Michael Chia di Hong Kong atas dakwaan menyeludup mata wang Singapura adalah sama dengan keengganan BN untuk membuat pengisytiharan harta Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Menteri-menteri Besar dan Ahli-ahli EXCO. Pada tahun 2008, pedagang balak Michael Chia telah ditahan di Hong Kong kerana percubaan untuk menyeludup RM40 juta dalam mata wang Singapura, yang Michael mendakwa adalah untuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Jawapan bertulis Parlimen Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggugurkan Musa daripada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram kerana wang tersebut merupakan sumbangan kepada UMNO Sabah dan bukan kepada Musa. Semalam, Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak menjadi pemimpin kerajaan terbaru untuk menutup skandal Musagate ini dengan menyatakan bahawa RM40 juta wang tunai yang diseludup itu tidak mendatangkan masalah kerana ia merupakan sumbangan politik.

"Setiap parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan politik," kata Najib yang menambah bahawa sumbangan politik tersebut telah dilakukan dengan kaedah yang betul. Bagaimanakah sumbangan RM40 juta wang tunai yang diseludup daripada Hong Kong boleh dianggap sebagai kaedah yang betul?

Ini jauh berbeza dengan kempen mengutip derma yang dilakukan DAP melalui majlis-majlis makan malam di mana wang yang dikutip akan diumumkan kepada semua pada malam itu lagi. Dan semestinya jumlah yang dikutip adalah jauh daripada RM40 juta. Jika Najib betul-betul percaya bahawa RM40 juta wang tunai yang diseludup merupakan sumbangan politik yang boleh diterima, maka beliau seharusnya bersedia untuk membuka buku kira-kira UMNO kepada umum.

Adalah sukar untuk dipercayai bahawa seorang pedagang balak Cina akan menyokong parti rasis seperti UMNO yang bergantung kepada modal anti-bukan Melayu. Bagaimanakah Najib boleh membuktikan keseriusannya dalam memerangi rasuah apabila beliau enggan menjelaskan sumber, tujuan dan syarat-syarat yang berkenaan dengan sumbangan tersebut. Lebih teruk lagi, beliau sanggup mengatakan bahawa wang tunai yang diseludup itu merupakan sumbangan yang dibuat dengan kaedah betul. Lantas soalan ditimbulkan sama ada terdapat lebih lagi transaksi RM40 juta yang serupa untuk UMNO Sabah dan UMNO Malaysia?

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan