Star dan Chua Soi Lek harus tunjuk bukti

MCA merupakan Utusan Malaysia versi Cina yang bergantung kepada fitnah, ketakutan dan kebencian untuk terus hidup. Kelakuan MCA adalah ibarat orang curang yang mendakwa diri bermoral dan lurus. Dalam fitnah terbaru, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek mendakwa bahawa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghasut lelaki Islam untuk merogol wanita bukan Islam kerana mereka tidak memakai pakaian yang menutup aurat. Ini sama seperti fitnah Utusan Malaysia yang mengatakan saya ini anti-Melayu dan anti-Islam kerana Nik Aziz tidak pernah sekali pun bercakap begitu.

Lagi satu fitnah adalah bantahan MCA terhadap penggelaran Malaysia sebagai negara Islam apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu wartawan semalam bahawa MCA tidak pernah membantah semasa Malaysia digelar "negara Islam". Pada 29 September 2001 Perdana Menteri keempat negara telah secara sendiri menggelarkan Malaysia sebagai negara Islam dalam ucapannya di persidangan kebangsaan Parti Gerakan. Chua merupakan ahli EXCO Johor pada masa itu. MCA dan Gerakan tidak membantah bahkan telah menyokong apa yang dikatakan oleh Mahathir.

Fitnah terbaru Chua adalah bahawa Kerajaan Pulau Pinang merampas peluang lebih 100,000 keluarga tempatan untuk membeli rumah di kawasan pulau akibat harga hartanah yang melambung dalam tempoh setahun dengan kenaikan harga kondominium/pangsapuri sebanyak 411%, rumah pangsa 339%, rumah kos rendah 157% dan rumah berasingan 103%. Ini merupakan fitnah yang tidak masuk akal kerana bagaimanalah harga kondo boleh naik sebanyak 411% dalam tempoh setahun?

Sekiranya benar, Pulau Pinang sedang mengalami "property boom" yang terbesar di dunia, namun hakikatnya semua orang tahu bahawa harga hartanah di KL dan Johor Baru adalah lebih tinggi. Bolehkah Chua tunjuk bukti dakwaan kenaikan harga yang tidak masuk akal ini? Berdasarkan statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, harga median sebuah rumah banglo di Pulau Pinang telah menurun daripada RM469,000 dalam suku pertama 2011 kepada RM415,000 pada suku pertama 2012. Di manakah kenaikan 103% bagi rumah berasingan?

The Star tidak berbeza dengan Chua dengan menerbitkan fitnah bahawa harga rumah berasingan telah meningkat daripada RM1.72 juta pada suku pertama tahun lepas kepada RM3.5 juta dalam tempoh setahun. Chua telah membongkarkan diri sebagai orang yang tiada kredibiliti moral dan pengaruh politik di kalangan rakyat Malaysia, sama ada Cina atau bukan Cina. Beliau tidak patut memperkuatkan hakikat itu dengan fakta-fakta dan angka-angka palsu.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang