BN telah gagal dalam 6 ujian anti-rasuah

BN telah gagal dalam 6 ujian anti-rasuah iaitu pengisytiharan harta secara terbuka, pelaksanaan tender tebuka, melarang ahli keluarga daripada urusan perniagaan dengan kerajaan, menggugurkan pemimpin BN yang hidup mewah, melindungi peniup wisel yang tulen dan berterus terang tentang sumbangan politik.

Rakyat Malaysia kecewa kerana Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak menganggap sumbangan RM40 juta kepada UMNO Sabah itu dibuat dengan cara yang betul dan juga menolak dakwaan kekayaan luarbiasa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud. Bekas menantu Taib, Shahnaz Abdul Majid, telah mendedahkan bahawa anak Taib telah menggunakan kredit sebanyak RM782,520.55 dalam hanya satu kad kredit untuk enam bulan pertama tahun ini. Shahnaz sekarang menuntut RM400 juta sebagai penyelesaian kes cerai di mahkamah Syariah kerana suaminya dikatakan bernilai RM1 bilion dengan deposit berjumlah RM700 juta di 111 akaun bank di dalam dan luar negara.

Cara BN menggalakkan skandal swasta boleh dilihat dengan keengganan untuk menjelaskan sumbangan RM40 juta yang asalnya untuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman tetapi sekarang dikatakan untuk UMNO Sabah. Bekas Ahli Parlimen BN Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing telah mendakwa bahawa RM40 juta itu telah diremit ke dalam akaun peribadi seorang pemimpin UMNO sementara bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO dan kini Ahli Parlimen bebas Lajim Ukin mendakwa bahawa pemimpin-pemimpin parti negeri tidak pernah tahu bahawa RM40 juta itu telah diberi kepada UMNO Sabah.

Lagi satu kes adalah kehidupan luarbiasa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di mana seramai 130,000 orang tetamu telah dijamu dalam kenduri kahwin yang memecahkan rekod. Sehingga hari ini, Ali Rustam gagal menjelaskan siapa yang menaja kenduri mega tersebut, yang Ali Rustam mengatakan hanya menelan belanja RM600,000.

DAP mencadangkan 6 langkah untuk membanteras rasuah. Pertama, pengisytiharan harta secara terbuka hendaklah diinstitusikan. Ini telah dilakukan di Pulau Pinang di mana Ketua Menteri dan seluruh barisan EXCO negeri telah mengisytiharkan harta secara terbuka, malah diiktiraf oleh firma akauntan antarabangsa. Jika Pulau Pinang boleh melakukannya, kenapa Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan atau Ketua Menteri Sarawak dan barisan EXCOnya tidak boleh buat yang sama?

Kedua, pemimpin-pemimpin BN yang hidup mewah dengan memiliki rumah-rumah mewah, kereta, akaun bank peribadi yang besar di luar negeri harus digugurkan. Ketiga, ahli keluarga harus dilarang daripada urusan perniagaan dengan kerajaan untuk mengelak lagi satu skandal RM250 juta "lembu dan kondo". Keempat, peniup wisel tulen yang membongkarkan kes rasuah yang mengakibatkan dakwaan mahkamah harus dilindungi dan bukan dianiaya.

Kelima, BN harus berterus terang tentang sumbangan politik seperti sumbangan RM40 juta kepada UMNO Sabah. Akhirnya, tender terbuka harus dilaksanakan. Tanpa tender terbuka, projek-projek awam dirunding terus dan dianugerahkan kepada para kroni, lantas menyebabkan kerugian dana awam seperti jualan murah tanah Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi. Ataupun RM240 juta yang dibelanja untuk lapangan terbang Melaka yang tidak digunakan oleh kapal terbang tetapi untuk bermain layang-layang. Barangkali ia boleh digunakan untuk menternak lembu juga. Adakah peruntukan RM386 juta untuk 57 kedai KR1M di Sabah dan Sarawak atau RM6.7 juta boleh diwajarkan? Dengan harga RM6.7 juta setiap kedai, adakah kedai KR1M ini menjual barangan harian seperti gula, garam dan beras ataupun barangan mewah seperti barang kemas dan beg tangan berjenama?

Di Pulau Pinang, tender terbuka telah dilaksanakan sejurus selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2008 dan sejak itu kerajaan negeri berjaya mencatat bajet lebihan setiap tahun. Wang yang dijimat pula diberi balik kepada rakyat setiap tahun melalui "dividen anti-rasuah".

Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung sendiri telah mengakui bahawa rasuah di Malaysia merugikan rakyat sebanyak RM26 bilion setiap tahun. Lagi teruk adalah laporan Global Financial Integrity yang berpusat di Washington yang menganggar bahawa lebih RM1,077 juta wang haram telah dialirkan keluar daripada Malaysia dari tahun 2000-9.

PR telah menunjukkan bahawa kita mampu mentadbir dengan baik. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011, Pulau Pinang mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 47% atau RM192 juta daripada RM411 juta pada tahun 2010 kepada RM603 pada tahun 2011. Secara perbandingan, pendapatan negeri Melaka telah menurun sebanyak 24% atau RM84 juta kepada RM272 juta.

Lebihan Pulau Pinang meningkat 312% daripada RM33 juta pada tahun 2010 kepada RM138 juta pada tahun 2011. Sementara itu Melaka telah menurun 95% atau RM5 juta daripada RM5.03 juta pada tahun 2010 kepada hanya RM0.26 juta pada tahun 2011. Hutang Pulau Pinang telah dikurangkan sebanyak 95% manakala hutang Melaka telah meningkat 15% atau RM134 juta kepada RM866 juta. Jelas PR boleh mengurus ekonomi dengan lebih baik berbanding dengan Melaka.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan