Setiausaha Agung PBB perlu menjelaskan adakah puji-pujian Dmitri Vlassis kepada kempen anti-rasuah kerajaan Malaysia mencerminkan pendirian rasmi badan dunia itu dan UNODC

Beberapa hari lalu, saya telah menerima reaksi negative rakyat Malaysia berkenaan Persidangan ke-6 dan mesyuarat agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) di Kuala Lumpur. Terutamanya puji-pujian yang diberikan oleh wakil-wakil tertinggi daripada agensi anti-rasuah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada kempen anti-rasuah kerajaan Malaysia.

Sewaktu Persidangan IAACA di Kuala Lumpur hujung minggu lepas, Ketua Cawangan Ekonomi dan Jenayah, Bahagian Perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Dimitri Vlassis memuji usaha serius kerajaan Malaysia membasmi rasuah.

Ini menggerunkan mereka yang berkempen menentang rasuah di Malaysia kerana mereka menganggap ini satu tamparan hebat daripada agensi anti-rasuah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggugat usaha mereka untuk memastikan pentadbiran Najib supaya mempunyai kesungguhan politik untuk benar-benar buat seperti apa dikata untuk membanteras rasuah. Terutamanya "Rasuah Besar" melibatkan VVIP-VVIP terutamanya personaliti politik dan awam.

Tambahan lagi, mereka kebingungan bagaimana usaha membanteras rasuah kerajaan Malaysia layak dipuji apabila dalam tempoh 17 tahun menunjukkan kedudukan dan mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2011 mencatat rekod paling rendah - yakni kedudukan nombor 60 dan mata 4.3 sedangkan pada 1995 Malaysia berada pada kedudukan nombor 23 dan mata 5.23 pada 1996.

Dalam erti kata lain, CPI TI 2011 menekan hakikat menakutkan yang rasuah di Malaysia semakin buruk dan tak terkawal di bawah Perdana Menteri Najib Razak berbanding mana-mana pemimpin sebelumnya. Baik lima tahun di bawah Tun Abdullah atau 22 tahun di bawah Tun Mahathir.

Memburukkan lagi keadaan, Vlassis juga menggunakan Persidangan IACAA untuk merosakkan wibawa dan kebergunaan CPI TI, menolaknya sebagai "lapuk", "tidak produktif" dan "tidak dapat digunakan sesiapa pun".

Kesannya, Vlassis telah menghantar mesej kepada semua rakyat Malaysia bahawa mereka tidak perlu bimbang dengan jatuhnya kedudukan Malaysia ke tempat 60 dan mata terendah 4.3 dalam tempoh 17 tahun CPI TI.

Terdapat kelemahan di dalam CPI TI tahunan, tetapi adakah Vlassis mempunyai alternatif yang lebih baik untuk membantu negara-negara mengawasi kemajuan atau kemerosotan kempen anti-rasuah - tujuh tahun selepas Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu menentang Rasuah (UNCAC) berkuatkuasa pada 2005?

Aktivis-aktivis anti-rasuah di Malaysia ingin tahu mengapa Vlassis membiarkan atau cuba "menutup" kegagalan kempen anti-rasuah di Malaysia terutamanya dalam 42 bulan pemerintahan Najib walaupun pelbagai gembar-gembur tentang Program Transformasi Kerajaan dan NKRA dalam membanteras rasuah.

Sudah tentu kata-kata Vlassis akan dipetik berulang kali oleh pentadbiran Najib baik di Parlimen atau di luar Parlimen, sebagai testimoni kejayaan perang ke atas rasuah. Walhal ia bukan sahaja mempunyai rekod buruk tetapi paling teruk lebih-lebih lagi melibatkan VVIP baik Ketua Menteri Sarawak dan Sabah atau Peguam Negara.

Disebabkan inilah Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon perlu menjelaskan adakah puji-pujian Dmitri Vlassis kepada kempen anti-rasuah kerajaan Malaysia mencerminkan pendirian rasmi badan dunia itu dan UNODC, sebelum UNODC dan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dipetik sewenang-wenangnya di dalam dan di luar Parlimen sebagai tanda lulus kepada kempen anti-rasuah pentadbiran Najib oleh pertubuhan antarabangsa.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur