Surat kepada Teng Chang Yeow, Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang

Encik Teng Chang Yeow,
Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang,
d/a Bilik Gerakan Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang,
Jalan Datok Keramat,
10150 Pulau Pinang.

4 SEPTEMBER 2012

Encik Teng,

Kesediaan Menerima Tawaran Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang Membeli Tanah Kerajaan Negeri Seluas 1.1 Ekar Dengan Harga RM450 Sekaki Persegi di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin Untuk Tujuan Projek Perumahan Rakyat (PPR)

Dengan segala hormatnya, saya telah diarahkan oleh Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang untuk merujuk perkara tersebut di atas, di mana anda menyatakan kesediaan BN Pulau Pinang membeli tanah di atas dengan harga RM450 sekaki persegi untuk membina PPR tetapi perlu menunggu surat rasmi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

2. Seperti yang sedia maklum, tanah tersebut tidak pernah dinyatakan dalam pelan daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bahawa kerajaan BN lama telah memperuntukkannya untuk membina PPR. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri baru PR telah menimbangnya untuk membina rumah mampu milik tetapi menganggap ia terlalu kecil kerana tidak memenuhi saiz minima dua ekar yang ditetapkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Seri Chor Chee Heung. Sebaliknya, sebagai gantian, Kerajaan Negeri telah meminta MPPP memperuntukkan 11 ekar di Jalan S.P. Chelliah untuk membina rumah mampu milik.

3. Maka, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan pada tahun 2009 untuk menjual tanah 1.1 ekar ini secara tender terbuka bagi membina hospital swasta agar mempromosikan pelancongan perubatan, suatu bidang kritikal ekonomi Pulau Pinang. Tidak ada sebarang bantahan dibuat oleh sesiapa pun apabila tender terbuka dijalankan pada 2009 untuk pembinaan hospital swasta.

4. Tender tertinggi sebanyak RM 232 sekaki persegi dipilih, yang melebihi harga yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di bawah Kementerian Kewangan. Akan tetapi BN Pulau Pinang telah mendakwa harga sebenarnya adalah RM 450 sekaki persegi dan bersedia membelinya dengan harga ini untuk membina PPR. Sebulan sudah lepas tanpa sebarang tindakan susulan oleh pihak tuan. Kini pula anda menyatakan perlu tunggu surat tawaran rasmi oleh Kerajaan Negeri.

5. Sungguhpun pihak tuan tidak pernah menyatakan syarat perlu menunggu surat tawaran rasmi daripada pihak kami, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia menerima tawaran daripada Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang untuk membeli tanah kerajaan negeri seluas 1.1 ekar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin dengan harga RM450 sekaki persegi untuk tujuan PPR.

6. Wang yang diterima ini akan digunakan untuk membina rumah mampu milik di Jalan S.P. Chelliah. Adalah diharapkan wang berdasarkan RM 450 sekaki persegi boleh dibayar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang secepat mungkin sebelum pilihan raya umum agar ia bukanlah suatu sandiwara politik oleh BN untuk mencari publisiti murahan dan menunjukkan keikhlasan pihak BN Pulau Pinang untuk membina PPR seperti yang diwar-warkan oleh BN dalam suratkhabar kebelakangan ini.

Sekian, terima kasih.

“Berkhidmat untuk Negara”
“Cekap, Akauntabiliti & Telus”

Yang Benar,

Y.B. NG WEI AIK
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

Ng Wei Aik Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang