Surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail oleh Timbalan Ketua Menteri Pertama Pulau Pinang

14 September 2012

YBhg. Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara
Jabatan Peguam Negara
No.45, Persiaran Perdana
Presint 4
62100 PUTRAJAYA

YBhg. Tan Sri,

KEGAGALAN BERTINDAK KE ATAS AHLI-AHLI PERKASA YANG MEMIJAK, MENGOYAK DAN MEMBAKAR GAMBAR YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG YANG MENUNJUKKAN PILIH KASIH ATAU DOUBLE STANDARD DALAM MENANGANI ISU GAMBAR YAB PERDANA MENTERI DIPIJAK

Dengan segala hormatnya, saya menulis bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, memohon perhatian YBhg. Tan Sri kepada perkara tersebut di atas.

2. Sebagaimana YBhg. Tan Sri sedia maklum, isu gambar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Razak dipijak semasa Sambutan Ambang Merdeka ketika Perhimpunan Janji Bersih iaitu pada 30 Ogos 2012 telah banyak digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Ada yang menyuarakan bahawa perlu adanya campur tangan pihak berkuasa secara serius termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara dalam menangani isu berkenaan. Difahamkan juga beberapa orang telah ditahan dan disoal siasat oleh pihak PDRM.

3. Insiden yang sama turut berlaku kepada YAB Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng sehingga ada insiden yang mengancam nyawa beliau serta menimbulkan kacau-ganggu ketenteraman rakyat dan Negeri Pulau Pinang oleh kumpulan-kumpulan dari golongan yang tidak bertanggungjawab. Malangnya tindakan keras yang dikenakan ke atas mereka yang memijak gambar YAB Perdana Menteri, tidak pula dikenakan ke atas ahli Perkasa yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang tidak kurang biadapnya terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.

4. Untuk pengetahuan YBhg. Tan Sri, mereka bukan sahaja memijak, mengoyak dan membakar gambar YAB Ketua Menteri, malah mereka melakukan beberapa demontrasi ganas. Lebih dahsyat, ada di kalangan mereka ini melakukan upacara kematian ke atas beliau mengikut adat agama Hindu di hadapan pintu kediaman YAB Ketua Menteri, sewaktu demontrasi pada 10 Mei 2012.

5. Beliau juga dihadiahkan dengan kek berbentuk tahi dan keranda oleh individu yang datang daripada kumpulan-kumpulan dari golongan yang tidak bertanggungjawab berkenaan. Laporan polis telah dibuat dengan adanya saksi dan gambar insiden-insiden yang berlaku. Namun, tetap tiada tindakan tegas diambil oleh PDRM ke atas mereka ini.

6. Malah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Assisten Komisioner Mazlan Kesah dalam kenyataannya di akhbar The Star bertarikh 8 September 2012 menyatakan bahawa pihak polis tidak mempunyai bukti yang mencukupi semasa siasatan mereka ke atas kes-kes di mana poster dan patung YAB Ketua Menteri Pulau Pinang dibakar serta upacara kematian ke atas beliau mengikut adat agama Hindu dibuat. Jawapan ini susah untuk diterima bila ada saksi, gambar dan pengakuan oleh mereka yang terlibat. Sehubungan itu, bersama-sama ini dilampirkan bukti keganasan mereka yang tidak bertanggungjawab ini untuk perhatian dan rujukan YBhg. Tan Sri.

7. Seharusnya, demi mendaulatkan undang-undang tanpa pilih kasih atau double standard, YBhg. Tan Sri harus mengambil tindakan tegas ke atas Perkasa. Adalah diharapkan juga bahawa elemen pilih kasih tidak diamalkan di sini di mana hanya satu pihak sahaja boleh mendapat pembelaan sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

(DATO’ MANSOR BIN HAJI OTHMAN)
Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang

Dato' Mansor Bin Haji Othman Timbalan Ketua Menteri Pertama Pulau Pinang