Hentikan budaya politik samseng daripada mempengaruhi politik kampus

Baru semalam saya mengeluarkan kenyataan mengutuk percaturan politik dalam pilihan raya kampus di IPTA, hari ini kita digemparkan dengan dakwaan Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto, bahawa beliau telah dibelasah teruk oleh lima samseng yang tidak dikenali di luar rumahnya awal pagi tadi.

Nampaknya budaya politik samseng yang dipupuk oleh sesetengah pihak di luar tembok kampus sudah pun menyusup masuk dan mempengaruhi proksi-proksinya di kalangan mahasiswa.

Tindakan mengancam dan menakut-nakutkan mahasiswa dengan budaya samseng ini bukan sahaja satu penghinaan terhadap nilai-nilai intelektual dan idealisme yang menjadi asas pembinaan jati diri di universiti, malah ia jelas menunjukkan bahawa politik dangkal yang diamalkan pihak-pihak yang tidak mampu berhujah turut diserap oleh pengikut-pengikutnya di peringkat universiti.

Apakah terlalu susah untuk berlawan dengan akal dan hujah sehingga harus memilih jalan kekerasan untuk memaksa kepatuhan dan memastikan kemenangan? Adakah pihak-pihak tertentu yakin boleh memenangi hati pengundi dengan strategi samseng ini?

Saya mengutuk keras kejadian yang berlaku dan mendesak agar siasatan dilakukan secara segera supaya pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan. Budaya politik jahat dan pelampau sebegini mesti dihentikan, baik di kampus mahupun di peringkat politik kebangsaan.

Zairil Khir Johari Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY