Belanjawan 2013 menandakan berakhirnya era belanjawan rekod dengan kelembapan hasil Kerajaan

Beberapa tahun lalu, Kerajaan telah berjaya meningkatkan belanjawannya dengan luar biasa sekali untuk mencapai belanjawan rekod setiap tahun. Ini telah membantu Kerajaan menampung ekonomi di saat kita menghadapi cabaran untuk menarik pelaburan swasta serta mengalami penurunan dalam sumbangan perdagangan.

Walau bagaimanapun, Belanjawan itu telah mengunjurkan peningkatan hanya 0.7% (2012: 11.8%; 2011: 16.1%) dalam hasil terunjur daripada RM207.2 bilion kepada RM208.6 bilion pada 2013. Ini merupakan peningkatan pengunjuran paling perlahan sejak 1999, selain ketika krisis kewangan pada tahun 2009.

Oleh yang demikian kerajaan terpaksa membentangkan belanjawan yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Mencadangkan perbelanjaan operasi dikurangkan kepada 0.3% daripada RM202.6 bilion hingga RM201.9 bilion sementara perbelanjaan pembangunan turut dikurangkan daripada RM46.9 bilion hingga RM46.7 bilion atau 0.4%.

Penurunan ketara dalam pertumbuhan hasil akan memberikan kesan yang signifikan kepada kemampuan Kerajaan untuk memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui fiskal. Hakikat bahawa kita belum mampu untuk mengurangkan defisit belanjawan di bawah 4% selama beberapa tahun mencerminkan peluang yang dibazirkan bertahun-tahun lamanya. Kita telah gagal mengawal perbelanjaan melalui pengurangan pembaziran, penyalahgunaan dan korupsi.

Penurunan Konsisten pada Perbelanjaan Pembangunan

Turut menjadi kebimbangan adalah bagaimana Kerajaan telah mengurangkan penekanannya terhadap Perbelanjaan Pembangunan secara konsisten dan ia akan mencipta kesan yang lebih dasyat ke atas ekonomi kita.

Peratusan perbelanjaan belanjawan untuk Perbelanjaan Pembangunan telah menurun daripada 31.5% pada 2003 kepada 27.1% pada 2007 kepada 21.3% pada 2012. Trend yang membimbangkan itu berterusan pada 2013 apabila kadar tersebut dikurangkan lagi kepada hanya 18.6%, tahap paling rendah dalam sejarah Malaysia.

Ini merupakan pelaburan lebih rendah oleh Kerajaan berdasarkan hasilnya sekarang dan akan mengakibatkan pulangan rendah buat ekonomi pada masa akan datang.

Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat dengan bahaya kepada RM502 bilion

Hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat dengan mendadak daripada RM242 bilion pada 2004 kepada RM363 bilion pada 2009 dan RM456 bilion pada 2011. Untuk 2012, telah diunjurkan bahawa hutang kerajaan akan mencecah RM502 bilion. Menunjukkan peningkatan ketara 107.4% hutang sejak 8 tahun lalu.

Lebih membimbangkan, hutang itu meningkatkan komitmen pembiayaan hutang berstruktur dengan begitu signifikan. Kadar komitmen bayaran khidmat hutang bertambah dan akan mengekang perbelanjaan pembangunan dan operasi di masa akan datang. Semua ini an diikuti dengan kadar pertumbuhan hasil kerajaan yang perlahan seperti mana ditunjukkan dalam belanjawan 2013. Semua itu akan meninggalkan impak dasyat ke atas ekonomi kita, melihatkan kebergantungan Kerajaan terhadap perbelanjaan awam dan pelaburan.

Daripada tahun 2003 sehingga 2008, tanggungan bayaran khidmat hutang kita telah meningkat 21.9% daripada RM10.5 bilion kepada RM12.8 bilion. Walau bagaimanapun, dalam masa 5 tahun daripada 2008 sehingga 2013, komitmen tahunan telah meningkat dengan luar biasa kepada 73.4%!

Hutang rasmi kerajaan persekutuan dijangka turut meningkat memandangkan peratusan KDNK daripada 51.8% kepada 53.7%, kekal di bawah 55% had hutang kerajaan persekutuan yang dibenarkan undang-undang. Namun, 53.7% itu bukanlah angka sebenar kerana ia gagal mengambil kira liabiliti luar jangka dan hutang tersembunyi Kerajaan yang berjumlah RM117 bilion pada Disember 2011.

Apa yang menakutkan adalah liabiliti luar jangka Kerajaan dianggarkan meningkat dengan pesat pada 2013 disebabkan oleh perbelanjaan RM53 bilion projek MRT dan juga projek-projek mega lain. Perbelanjaan dengan hutang ini langsung tiada di dalam kunci kira-kira atau tidak dikira sebagai hutang rasmi Kerajaan Persekutuan walaupun dibiayai Kerajaan.

Di Eropah, Spanyol yang sedang berdepan masalah kewangan yang teruk dan memerlukan jaminan keluar berbilion-bilion mempunyai nisbah hutang “rasmi” kepada KDNK 68.5%. Tetapi disebabkan pelbagai liabiliti luar jangka dan jaminan keluar bank, nisbah “sebenar” yang jauh lebih tinggi telah menyebabkan ekonominya hampir lumpuh dalam krisis yang masih berterusan.

Kita tidak sepatutnya membiarkan negara kita terjerut dengan krisis yang serupa.

Defisit belanjawan akan menjadi 6.7%; sasaran defisit 2.5% pada 2015 pasti gagal

Berdasarkan Laporan Ekonomi, Kerajaan berjaya memastikan defisit pada tahun 2012 di bawah 5% iaitu 4.7% kerana peningkatan hasil sebanyak RM21 bilion. Jika bukan disebabkan itu, berdasarkan pada perbelanjaan Kerajaan pada 2012, defisit negara sudah tentu meningkat kepada 6.7%.

Kerajaan telah mengumumkan perancangan untuk mengekalkan defisit pada 4.0% ketika belanjawan 2013. Namun telah jelas bahawa matlamat asal Kerajaan untuk menurunkan defisit kepada 2.5% menjelang 2015 tidak akan tercapai. Penurunan pertumbuhan dalan hasil kerajaan menjadikan tugas itu semakin sukar.

Tiada kehendak politik

Belanjawan kerajaan menunjukkan tiada kehendak politik pada pihak Kerajaan Persekutuan untuk melakukan perubahan struktur yang diperlukan dalam menguruskan belanjawan. Kita melihat penurunan dalam peratusan dana yang dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan. Kita juga tidak nampak usaha serius untuk menangani hutang kerajaan persekutuan baik yang “rasmi” atau yang “tersembunyi”.

Belanjawan 2013 tidak ubah seperti pengulangan belanjawan tahun-tahun sebelumnya. Menggunakan formula yang sama tanpa mempertimbangkan perubahan keadaan dan meningkatnya cabaran ekonomi yang kita hadapi hari ini.

Tony Pua Kiam Wee Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara