Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Pulau Pinang

Terlebih dahulu marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Tuhan atas kesempatan yang diberikan untuk kita sama- sama berkumpul pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2012 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Ucapan setinggi- tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan juga Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff kerana sudi melapangkan masa menghadiri majlis ini dengan penuh rasa muhibah. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan sungguh bermakna dalam menyerikan majlis rumah terbuka kita pada hari ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, rasanya masih belum terlambat untuk saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada semua lapisan masyarakat yang hadir di Padang MPSP, Butterworth.

Para hadirin yang dikasihi sekalian,

Majlis ini dapat memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaafan dan juga mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin. Dalam suasana kemeriahan dan kegembiraan kita menyambut bulan Syawal, jangan kita lupa dengan sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke – 55 yang sedang dijalankan sekarang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami berazam menjadi kerajaan negeri yang berjiwa rakyat dengan pelaksanaan dasar-dasar yang dapat memartabatkan rakyat. Dasar sedemikian mestilah berdasarkan kebebasan, keadilan, kebenaran dan kebajikan kepada rakyat.

Walaupun diserang dengan pelbagai fitnah dan tohmahan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Pulau Pinang sejak 4 tahun yang lalu, kita komited berbakti kerana percaya rakyat sekarang sudah bijak menilai mana yang benar dan mana yang tidak benar. Seperti seorang yang baik dan beriman akan sentiasa difitnah berbanding dengan seorang yang jahat.

Siapa yang mahu fitnah orang yang jahat apabila ia sememangnya sudah jahat. Oleh itu, tanpa terus ambil peduli dengan fitnah- fitnah yang dilontarkan, kita akan teruskan program- program kebajikan yang baru.

Program- program kebajikan tahunan seperti Program Penghargaan RM100 Warga Emas, Program Bantuan OKU, Program Penghargaan Ibu Tunggal, Program Pelajar Emas dan RM200 untuk Program Anak Emas serta bantuan “One-Off” IPTA emas sebanyak RM1000 serta pengurusan jenazah sudah terkenal seluruh Malaysia dan sinonim dengan rakyat Pulau Pinang. Di samping itu lebih perbelanjaan digunakan untuk buat jalan, longkang, taman hijau, lorong basikal dan menaiktaraf pasar serta memberikan bantuan kepada sekolah pelbagai aliran.

Kesemua program-program perubahan ini yang menaikkan kualiti hidup rakyat ini adalah hasil daripada dividen lawan rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Pentadbiran yang bersih selama ini membolehkan Kerajaan Negeri selepas berusaha 4 tahun ini mengumpulkan RM500 juta untuk membina rumah mampu milik yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Sebanyak 18, 000 unit rumah mampu milik dirancang dibina oleh Kerajaan Negeri menerusi PDC di seluruh Pulau Pinang pada masa akan datang di kesemua 5 daerah termasuk di kawasan pulau di mana 12, 000 unit di bandar satelit baru adalah di Batu Kawan. Sebelum ini Kerajaan Negeri menerusi PDC telah membina sebanyak 3421 unit rumah sepanjang 4 tahun yang lepas dan pihak swasta telah membina sebanyak 8175 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah. Ini sekaligus menyangkal tuduhan Kerajaan Negeri tidak pernah membina rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Program terbaru yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang atau Housing Assisted Programme of Penang, YES! (HAPPY!) di mana peruntukan sebanyak RM50 juta disediakan. HAPPY merupakan usaha Kerajaan Negeri yang membolehkan penduduk rumah pangsa Pulau Pinang menggunakan dana Kerajaan Persekutuan RM500 juta menyelenggara rumah pangsa.

Malangnya wang persekutan RM500 juta ini mensyaratkan penghuni rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah menanggung 10% dan 30% masing-masing untuk memperbaiki atau menukar lif, tangki air dan kabel elektrik. Kebanyakan penduduk masing- masing tidak mampu menanggung kos perbelanjaan 10% dan 30%.

Ini menyebabkan dana RM500 juta tidak dapat digunakan. Oleh yang demikian Kerajaan Negeri akan menanggung 10% dan 30% kos rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah dengan dana HAPPY RM50 juta agar dapat menggunakan dana Kerajaan Persekutuan RM500 juta ini.

Dengan ini HAPPY akan digunakan untuk memperbaiki, menaiktaraf dan memulihkan rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah dalam memastikan rakyat Pulau Pinang dapat terus hidup dalam keadaan penuh aman dan selesa.

Kerajaan Negeri juga sedang giat menjalankan pendaftaran program pelajar emas dengan memberikan sumbangan RM100 secara tahunan untuk ibu bapa kepada semua pelajar- pelajar Darjah 1 & 4 serta Tingkatan 1 & 4 di semua sekolah di Pulau Pinang. Ibu bapa yang merupakan pengundi di Pulau Pinang tetapi mempunyai anak- anak yang bersekolah di kawasan sempadan Pulau Pinang dengan negeri Perak dan Kedah juga layak menerima program Pelajar Emas ini.

Sebenarnya Kerajaan Negeri ingin membuat bayaran kepada kira- kira 110, 000 pelajar pada bulan Ogos tetapi tidak dapat berbuat demikian selepas dihalang oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong yang mengeluarkan arahan melarang sekolah-sekolah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

Kini Kerajaan Negeri terpaksa menjalankan pendaftaran terbuka dan tarikh tutup untuk pendaftaran Fasa 1 telahpun dilanjutkan kepada 4 September iaitu hari Selasa jam 12 tengahari. Pembayaran Fasa 1 akan dilakukan pada Hari Malaysia iaitu 16 September 2012.

Akhir kata, sekalung tahniah kepada jawatankuasa pengelola majlis dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam memastikan majlis rumah terbuka petang ini berjalan dengan lancar. Marilah kita bersama- sama berusaha menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang