Pilihan raya umum ke-13 harus menjadi persaingan antara idea dan dasar

DAP amat kecewa dengan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak yang mengambil pendirian pelampau Perkasa dengan pengisytiharannya kepada ahli-ahli UMNO Pekan bahawa PRU Ke-13 bukan sekadar pilihan raya biasa tetapi akan menentukan survival masyarakat Melayu. Najib telah menolak politik kesederhanaan dan inklusif serta meninggalkan falsafah 1Malaysianya dengan memilih untuk mengambil pendirian yang eksklusif dan bersifat perkauman ini.

Pilihan Raya Umum ke-13 harus menjadi persaingan antara idea dan dasar siapakah yang mampu membawa manfaat dan kejayaan sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dan memastikan survival semua rakyat Malaysia dalam persaingan global. Ia bukan hanya sekadar survival masyarakat Melayu atau survival masyarakat bukan Melayu secara eksklusif tetapi survival kesemua rakyat Malaysia.

Najib juga mengulangi fitnah Perkasa bahawa DAP adalah anti-Melayu dengan mengatakan bahawa DAP tidak pernah suka menerima kedudukan Melayu dan orang Islam. Sentimen kononnya DAP adalah anti-Melayu merupakan permainan yang bahaya kerana dengan menjadikan perkauman dan agama sebagai asas kempen pilihan raya, rakyat Malaysia akan kehilangan peluang untuk berdebat tentang dasar dan idea yang dapat memajukan Malaysia.

DAP ingin mengingatkan Dato' Sri Najib bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dan bukan hanya satu masyarakat. Sekiranya UMNO berjaya dalam politik perkauman dan pelampaunya dan menimbulkan sengketa antara Melayu dan bukan Melayu, Islam dengan bukan Islam, maka negara akan menjadi lebih rapuh dan pecah belah pasca pilihan raya umum nanti.

DAP berasa kesal dengan cubaan untuk menggunakan label perkauman oleh UMNO, dan Najib harus menarik balik kenyataannya yang bersifat menghasut untuk membuktikan bahawa 1Malaysia belum dikuburkan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan