Rakyat Malaysia akan memilih perubahan untuk kerajaan baru

DAP mencabar Perdana Menteri Najib Abdul Razak untuk membuktikan bagaimana BN telah menyampaikan perubahan yang ketara dan kemajuan dalam perjuangan menentang korupsi, menguasai teknologi dan inovasi serta menyongsangkan penghijrahan keluar modal insan. Tiada maknanya Najib bercakap tentang perubahan yang tulen, sistematik dan terancang apabila beliau tidak menunaikannya.

Dimanakah slogan "Janji Ditepati" apabila:

  • Rasuah semakin teruk di Malaysia, dengan penurunan kedudukan indeks persepsi rasuah daripada No. 37 pada tahun 2003 kepada No. 60 pada tahun ini. Contohnya skandal RM250 juta "lembu dan kondo" yang membabitkan keluarga Ketua Wanita UMNO serta pendakwaan orang yang meniup wisel iaitu Rafizi Ramli daripada PKR kerana mendedahkan maklumat sulit;

  • Daya saing Malaysia menurun daripada tangga ke-21 tahun lepas kepada 25 tahun ini dalam Indeks Daya Saing Global tahun ini disebabkan kekurangan ketersediaan teknologi dan kegagalan untuk menguasai teknologi dan inovasi. Malah Jakarta pun sedang memasang wifi percuma di jalanraya-jalanraya utamanya dan juga lebuhraya, kenapakah kita tidak boleh mengikuti contoh Pulau Pinang dan memasang wifi percuma di semua tempat awam di seluruh Malaysia; dan

  • Kegagalan inisiatif-inisiatif separuh hati BN untuk menyongsangkan penghijrahan keluar modal insan bukan sahaja dalam menarik balik 2 juta rakyat Malaysia yang telah berhijrah keluar sejak 1957 tetapi juga dalam mengekalkan anak-anak muda kita yang cerdik dan bijak. Masa sudah tiba untuk memberi tumpuan kepada eko-sistem yang menggalakkan budaya kecemerlangan.

Sebaliknya, BN di bawah Najib telah meneruskan retorik pelampau perkauman dan agama serta taktik penipuan, politik wang dan ugutan untuk memenangi undi dalam pilihan raya umum yang akan datang. Walaupun Najib bercakap tentang 1Malaysia, pada masa yang sama beliau menyokong badan-badan pelampau seperti Perkasa yang menggunakan kebencian dan keganasan. Taktik yang bahaya dan memecah belahkan ini bertujuan untuk mengalih perhatian daripada kegagalan BN untuk menentang rasuah, serta kekurangan kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran.

Untuk memenangi pilihan raya umum, DAP harus menghilangkan 3 mitos dan menafikan 3 fitnah. Fitnah pertama adalah Malaysia akan menjadi bankrap jika PR berjaya kerana kita tidak mampu menyampaikan janji-janji. Prestasi kita yang cekap dalam 4 negeri PR jelas membuktikan ini adalah satu fitnah semata-mata kerana tiada satu pun negeri PR yang menjadi bankrap, malah mencatat surplus yang besar.

Fitnah kedua adalah dakwaan MCA kepada kaum Cina bahawa kejayaan PR akan membawa kepada Negara Islam ala PAS, sementara UMNO menipu kaum Melayu bahawa Malaysia akan dijadikan Negara Kristian ala DAP. Fitnah-fitnah ini bercanggah sesama sendiri. Tangkisan yang paling jelas adalah bahawa tidak tersebut pun tentang Negara Islam atau Kristian dalam Dasar Bersama PR.

Fitnah ketiga adalah akan terjadinya lagi satu rusuhan 13 Mei jika ada pertukaran kerajaan. Ugutan begitu bertujuan untuk menakutkan rakyat bukan Melayu walaupun BN dan UMNO juga tahu bahawa pertukaran kerajaan hanya boleh berlaku jika pengundi Melayu menginginkan perubahan kerana rakyat Melayu merupakan pengundi majoriti. Pilihan raya umum 2008 telah membuktikan bahawa pengundi Malaysia adalah matang dan tidak ada satu pun insiden perkauman yang tercetus walaupun berlaku pertukaran kerajaan apabila PR memenangi 5 negeri. Sepertimana yang dibuktikan dalam ketiga-tiga perhimpunan Bersih yang lalu, keinginan untuk pilihan raya yang bersih disokong penuh oleh rakyat Melayu yang merupakan peserta majoriti dalam perhimpunan-perhimpunan aman tersebut.

DAP percaya bahawa pergantungan BN pada sentimen pelampau perkauman dan agama akan ditolak oleh rakyat Malaysia. Dua peristiwa memberi harapan. Pertamanya adalah Shila Amzah, seorang penyanyi Melayu yang berjaya menewaskan penyanyi-penyanyi dari merata Asia dan memenangi pertandingan nyanyian Asian Wave 2012 di Shanghai, dengan menyanyikan sebuah lagu bahasa Cina di hadapan penonton Cina. Ini menunjukkan daya upaya masyarakat Melayu untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Peristiwa yang kedua adalah kemenangan yang tidak dijangka dalam pemilihan Gabenor dan Timbalan Gabenor Jakarta, iaitu Joko "Jokowi" Widodo dan calon pasangannya Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama. Apa yang luar biasa adalah Basuki merupakan seorang Cina yang beragama Kristian. Beliau telah berjaya walaupun lawannya telah menggunakan kempen kotor dan berunsur perkauman terhadapnya. Jelas rakyat Indonesia mengabaikan serangan perkauman itu dan telah mengundi berdasarkan prestasi.

Jika negara yang dikatakan kurang maju seperti Indonesia boleh mengenepikan sentimen perkauman dan memilih prestasi untuk meningkatkan taraf hidup, rakyat Malaysia seharusnya boleh juga. Saya percaya bahawa rakyat Malaysia akan memilih kerajaan baru yang dapat menyampaikan prestasi ekonomi, kesejahteraan untuk semua dan menyongsangkan penghijrahan keluar modal insan serta menolak kerajaan yang mengeksploitasikan sentimen pelampau agama dan perkauman untuk menyembunyikan korupsi dan kronisme.

Untuk berjaya, kita harus menghilangkan 3 mitos yang disebarkan BN. Satu, pemimpin-pemimpin PR tidak boleh bekerjasama apabila berkuasa kelak. Kedua, PR tidak berupaya untuk mentadbir kerajaan dan ketiga, PR tidak menjaga kepentingan rakyat dan hanya gila kuasa.

Kita harus menghilangkan 3 mitos ini jika PR ingin berjaya di Perak dan Putrajaya. Untuk sebab ini, PR harus menegaskan kepimpinan yang berintegriti dan bersih, tadbir urus yang cekap dan ketersediaan pemimpin-pemimpin yang berkemampuan seperti yang nyata dalam prestasi kerajaan-kerajaan negeri PR. Kita harus menginstitusikan tender terbuka dan mengisytiharkan harta kita secara terbuka untuk menunjukkan bahawa kita tidak ada apa-apa untuk disembunyikan sepertimana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PR di Pulau Pinang.

Ini adalah bertentangan dengan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan Menteri-menteri Besar BN yang enggan melakukan demikian, sehingga NGO-NGO antarabangsa mendakwa bahawa Ketua Menteri Sarawak merupakan billionaire dengan aset berjumlah USD 15 bilion. Kenapakah pemimpin-pemimpin BN takut untuk mengisytiharkan harta mereka melainkan mereka mempunyai terlalu banyak harta untuk diisytihar? BN hanya boleh membersihkan nama dengan pengisytiharan secara terbuka yang disahkan oleh firma audit antarabangsa seperti yang dilakukan di Pulau Pinang.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan