Najib tidak patut mengelak daripada berdebat dengan Anwar dan setuju melakukannya dalam masa dua minggu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat dua kenyataan yang luar biasa pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan hari ini, iaitu:

  • Buku Jingga Pakatan lebih rendah nilainya daripada kertas yang digunakan;

  • Pakatan Rakyat bukanlah alternatif kepada Barisan Nasional yang boleh dipercayai.

Kedua-dua kenyataan itu mudah sekali ditepis:

Pertama, jika Buku Jingga Pakatan lebih rendah nilainya daripada kertas yang digunakan maka mengapa Najib sentiasa mengelak daripada berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan itu akan memberikannya peluang untuk menghancurkan Anwar dan Buku Jingga PR?

Kedua, sekiranya Pakatan Rakyat bukanlah alternatif yang boleh dipercayai maka mengapa beliau terus menangguh daripada mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-13, menyebabkan negara berada dalam suasana kempen paling lama berbanding di bawah mana-mana Perdana Menteri Malaysia sebelumnya - malah sehingga mencipta rekod menjadi Perdana Menteri tanpa mandat pilihan rayanya sendiri paling lama berbanding Tunku Abdul Rahman, bapa beliau Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Tun Abdullah?

Saya pasti Najib sedar rekod buruk sedemikian dan sekiranya diberikan peluang, tidak mahu ia tercatat di dalam vitae kurikulumnya bahawa beliau adalah PM paling lama tanpa mandatnya sendiri.

Akan tetapi yang paling beliau takuti sebenarnya bukanlah menjadi Perdana Menteri tanpa mandatnya sendiri dalam tempoh paling lama. Yang ditakuti adalah menjadi Perdana Menteri UMNO yang terakhir di Malaysia!

Akibatnya, naluri untuk terus bertakhta menguasai beliau dan beliau terus terseksa untuk membuat keputusan bilakah waktu terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13, walaupun telah mengumumkan dua belanjawan pilihan raya, dua pembayaran BR1M dan terus bercakap besar menyelar PR sebagai alternatif kepada BN yang tidak boleh dipercayai dan Buku Jingga PR lebih rendah nilainya daripada kertas yang digunakan.

Kata-kata Najib tidak boleh dipercayai melainkan beliau bersedia untuk berhenti mengelakkan diri daripada debat umum dengan Anwar dan setuju melakukannya dalam masa dua minggu, juga dengan serta-merta membubarkan Parlimen dan mengumumkan Pilihan Raya ke-13 untuk memperoleh mandatnya sebagai Perdana Menteri.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur