Ucapan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempena Istiadat Mengangkat Sumpah Pelantikan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Pada saat yang bersejarah dan penuh gilang-gemilang ini, saya bagi pihak Kerajaan, Pegawai dan anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang dengan segala hormat dan sukacita menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena lanjutan perkhidmatan Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang bagi kali kelima. Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor Binti Shariff. Sesungguhnya kami berasa amat bersyukur dan gembira kerana Tuan Yang Terutama Tuan dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berdua akan terus menjadi payung kepimpinan kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri ini serta terus melakar sejarah dan kejayaan bagi memakmurkan Negeri yang amat kita cintai ini.

Negeri Pulau Pinang pada keseluruhannya terus aman, maju dan makmur. Perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat berbilang kaum juga terus meningkat. Rakyat kini lebih sedar akan pentingnya keharmonian dan perpaduan kaum demi kemajuan dan pembangunan Negeri Pulau Pinang. Kejayaan dalam usaha kita untuk berada dalam keadaan aman, bersatu padu dan saling bekerjasama adalah sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun kita daripada kaum-kaum yang berlainan keturunan, agama, kebudayaan dan adat resam.

Usaha-usaha Kerajaan untuk terus memantapkan pertumbuhan ekonomi menunjukkan hasil yang menggalakkan di mana ekonomi Negeri diunjurkan berkembang 6.3 peratus dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan sebagai penyumbang utama.

Kerajaan Pulau Pinang adalah yang paling bersih di Malaysia, berikutan pengiktirafan oleh Transparency International serta Laporan Ketua Audit Negara yang telah memuji sistem tender terbuka, lebihan belanjawan tahunan serta pengurangan hutang 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta. Salah satu lagi pencapaian cemerlang adalah kejayaan dalam menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang telah hampir bankrap setelah ketirisan sebanyak RM230 juta sebelum tahun 2008.

Pentadbiran yang berasaskan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus telah membolehkan Pulau Pinang untuk berjaya menarik jumlah pelaburan yang paling besar di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah - bukan sekali tetapi dua kali pada tahun 2010 dan juga 2011. Sepanjang tempoh lima tahun yang lepas iaitu dari tahun 2008-2012, Pulau Pinang telah mencatat pelaburan berjumlah RM36.1 bilion berbanding RM18.7 bilion dalam tempoh lima tahun sebelum itu iaitu dari tahun 2003-2007.

Pulau Pinang kini merupakan negeri paling sesuai didiami di Malaysia dan yang ke-lapan paling sesuai didiami di Asia. Baru-baru ini, Pulau Pinang juga telah terpilih sebagai lokasi ke-empat paling baik di dunia untuk persaraan. Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa Pulau Pinang sudah menjadi Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Kerajaan Negeri percaya bahawa kekayaan harus dikongsi secara saksama dengan rakyat. Untuk sebab itu, Kerajaan Negeri telah mengagihkan lebihan belanjawan tahunan yang dicapai dalam bentuk bantuan tunai kepada sekolah-sekolah dan juga individu seperti warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi baru lahir, penarik beca, pelajar universiti serta pelajar sekolah. Semua program ini telah menelan belanja sebanyak RM150 juta sejak tahun 2008.

Pulau Pinang berjaya mencatat sejarah dengan pelancaran Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang berjumlah RM20 juta untuk menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan dengan memastikan bahawa setiap isi rumah di Pulau Pinang mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan. Mana-mana keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM770 sebulan akan "ditambah nilai" oleh kerajaan negeri sehingga mereka mempunyai RM770.

Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama yang memperuntukkan RM500 juta untuk tujuan pembinaan perumahan mampu milik. Kerajaan Negeri telah pun membina hampir 4,000 unit sejak tahun 2008 sementara sektor swasta telah menyumbang sebanyak 9,000 unit lagi. Untuk masa depan, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina 19,172 unit dengan tambahan 20,000 unit daripada sektor swasta.

Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek RM6.3 bilion untuk meleraikan trafik melalui tiga lebuhraya daripada Tanjung Bunga ke Teluk Bahang; Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu; Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu serta terowong bawah dasar laut yang akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam, Butterworth. Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan anak-anak muda Pulau Pinang untuk membesar dalam generasi kesesakan trafik.

Pulau Pinang kini dalam proses menjadi negeri hijau pertama di Malaysia dengan inisiatif-inisiatif hijau, seperti menjadi satu-satunya negeri yang mengamalkan kempen "Tiada Beg Plastik Percuma" serta mencapai kadar kitar semula yang paling tinggi iaitu 24%. Pulau Pinang juga ingin menjadi negeri basikal pertama di Malaysia dengan laluan basikal 200 kilometer.

Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam hampir tiga kali ganda serta menubuhkan portfolio EXCO untuk hal ehwal agama bukan Islam. Pulau Pinang juga kini menjadi ibu kota kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia dengan Bandar Warisan Dunia UNESCO George Town yang bertaraf antarabangsa serta sambutan tahunan Pesta George Town yang berjaya mengumpulkan para penghibur, artis, penulis serta cendekia dari dalam dan luar negeri.

Secara keseluruhannya dalam konteks pembangunan Negeri Pulau Pinang dan kemajuan sosial serta masyarakat, Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan telah banyak menyumbang kepada program-program kebajikan dan kebudayaan Negeri. Sokongan dan galakan yang disumbangkan oleh Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan amat dihargai dan disanjung tinggi. Sesungguhnya sifat keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan tunjukkan menjadi pemangkin dan pendorong ke arah perpaduan yang lebih erat sesama rakyat. Sekalung penghargaan turut diucapkan kepada anggota pasukan keselamatan Polis, Tentera dan Bomba yang tidak pernah berkompromi dalam usaha menjaga keharmonian dan keamanan Negeri ini di bawah kepimpinan dan pemerintahan Tuan Yang Terutama Tun.

Kerajaan Negeri percaya di bawah bimbingan Tuan Yang Terutama Tun, Pulau Pinang akan menjadi lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

Sempena hari bersejarah dan penuh bermakna ini, saya dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri serta rakyat Negeri Pulau Pinang ingin mengambil peluang menzahirkan ucapan tahniah dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuan Yang Terutama Tun.

Akhir kalam, marilah kita bersama-sama memanjatkan doa semoga Yang Maha Esa melanjutkan usia Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berdua serta sentiasa berada dalam keadaan sihat wal'afiat di bawah lindungan Yang Maha Esa sepanjang masa.

Sekian, terima kasih.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang