Datuk Seri Najib Tun Razak mesti membuktikan komitmen beliau memerangi rasuah

Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak mesti membuktikan komitmen beliau membanteras rasuah dengan sama ada menuntut Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud supaya meletakkan jawatan; atau memansuhkan sahaja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini berikutan komen mengejutkan Abdul Taib bahawa, “SPRM tidak layak mendapat kerjasama saya kerana mereka nakal dan telah tidak jujur”.

Ketua Menteri Sarawak tersebut turut menyifatkan siasatan rasuah SPRM terhadapnya menjadikan beliau sabagai mangsa; Abdul Taib mesti mendatangkan bukti terhadap ‘pemangsaan’ oleh SPRM itu. Umum berpendapat bahawa Ketua Menteri Sarawak telah dilindungi oleh SPRM dan bukannya dijadikan mangsa dengan diberikan layanan istimewa.

Tindakan seorang Ketua Menteri untuk enggan bekerjasama dengan pihak SPRM dalam sebuah tuduhan rasuah terhadapnya adalah sebuah pelanggaran tatakelola dan tuntutan undang-undang yang serius. Di bawah Seksyen 47 dan 48 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, keengganan untuk bekerjasama dengan pihak SPRM apabila seseorang disiasat boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda maksima RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Apa yang lebih teruk ialah sifat bongkak Taib Mahmud sebagai seorang Ketua Menteri yang merasakan dirinya mengatasi undang-undang. Penentangan secara terbuka beliau terhadap nilai-nilai etika yang dituntut ke atas seorang Ketua Menteri, yang sepatutnya mengangkat tinggi undang-undang dan bukan melanggarnya, serta menjadi contoh etika dan integrity dan bukan berkelakuan seperti seorang pemerintah yang rakus adalah sangat-sangat tidak boleh diterima.

Rakyat Malaysia sedang menanti untuk melihat sama ada Najib berani untuk bertindak ke atas Taib disebabkan kenyataannya yang memalukan itu.

Datuk Seri Najib mesti menuntut supaya Taib meletakkan jawatan jika benar Najib komited dengan kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti dan membanteras rasuah memandangkan ia bukan sahaja memalukan BN tetapi juga negeri Sarawak dan negara Malaysia. Jika Tan Sri Abdul Taib tidak meletakkan jawatan, ini jelas memperlihatkan bahawa wujudnya ‘double-standard’ apabila Ketua Menteri Sarawak menikmati kekebalan undang-undang dari apa sahaja kesalahan yang boleh dikenakan ke atas rakyat biasa.

Bulan lepas, badan pemerhati korupsi antarabangsa Global Witness telah mendedahkan sebuah video yang memaparkan aktiviti rasuah dalam industry pembalakan di Sarawak dengan mengupah seoarang pelakon untuk berlagak sebagai seorang pelabur balak dari luar negara. Ketua Menteri telah disyaki dalam program tersebut sebagai penerima suapan jutaan ringgit daripada penjualan tanah yang telah menggondolkan negeri Sarawak.

Bukan sahaja tidak bekerjasama dan menjawab tuduhan-tuduhan ini, Taib telah memilih untuk menyerang SPRM. Jika Taib tidak meletakkan jawatan atau bebas dari sebarang hukuman dengan kenyataan yang memalukan itu, maka lebih baik Najib memansuhkan SPRM memandangkan SPRM tidak diciptakan untuk membanteras rasuah sebaliknya melindungi perasuah.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP