24 Jam untuk Sim Tong Him menarik diri atau berhadapan tanggungjawab jika BN menang di kedua-dua kerusi DUN Kota Laksamana dan kerusi Parlimen Kota Melaka

Calon Parlimen DAP untuk Kota Melaka, Sim Tong Him diberikan 24 jam untuk menarik diri dan menyokong penuh calon DAP untuk Kota Laksamana Lai Keun Ban atau beliau mesti bertanggungjawab sekiranya BN menang di kedua-dua kerusi DUN Kota Laksamana dan Parlimen Kota Melaka. Kepimpinan nasional DAP telah menerima banyak soalan tentang bagaimana untuk mengundi berikutan keputusan mengejut Sim utnuk bertanding atas tiket DAP di Parlimen Kota Melaka dan bertanding sebagai calon bebas di DUN Kota Laksamana. Sim sedang "menggunakan sebelah kaki untuk menaiki dua sampan" pada masa yang sama.

Ramai orang merasa tidak senang dengan tindakan tidak jujur oleh Sim menipu parti untuk mendapatkan watikah bagi bertanding di Parlimen Kota Melaka tetapi tidak pula memaklumkan kepimpinan nasional DAP tentang niatnya untuk bertanding di kerusi DUN Kota Laksamana sebagai calon bebas. Jika saya tahu yang Sim sebenarnya mahu bertanding di Kota Laksamana sebagai calon bebas saya tidak akan tandatangan watikah tersebut sebagai Setiausaha Agung dan melantik Sim menjadi calon DAP di kerusi Parlimen Kota Melaka.

Sim juga begitu bongkak dalam ceramahnya di ibu pejabat DAP Melaka di Lorong Pandan semalam dengan slogannya untuk PRU kali ini iaitu Sim=DAP dan DAP=Sim. Saya memberi amaran kepada Sim bahawa tiada sesiapa yang lebih besar daripada parti. Saya sendiri pun, sebagai Setiausaha Agung DAP tidak pernah mengatakan bahawa Lim Guan Eng = DAP dan DAP = Lim Guan Eng. Malah sekarang Sim bukannya ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, badan tertinggi yang membuat keputusan parti.

Kepentingan parti mesti sentiasa diletakkan mendahului kepentingan peribadi. Kesilapan besar bagi Sim ialah menyangkakan bahawa beliau adalah lebih besar daripada DAP. Malangnya sangkaan tersebut menyebabkan kerosakan besar terhadap DAP sehingga membahayakan kedua-dua kerusi Parlimen Kota Melaka dan DUN Kota Laksamana. Ramai kawan-kawan saya, terutamanya yang Melayu, menyangkakan jika Sim telah dibeli dan mengingatkan saya bahawa DAP tidak akan mendapat undi orang Melayu jika Sim tidak boleh membuktikan integritinya kepada umum. Pengundi Melayu akan beralih arah kepada BN jika mereka fikir bahawa calon Pakatan Rakyat telah dikompromi.

Saya menyeru Sim untuk kembali berfikir secara waras dan meninggalkan slogan Sim=DAP dan DAP=Sim itu. Beliau mempunyai satu lagi peluang terakhir untuk menang semual di Kota Melaka dan mengembalikan integritinya dengan menarik diri secara terbuka daripada bertanding di Kota Laksamana.

Kegagalan Sim untuk menghormati perjanjiannya dengan saudara Lim Kit Siang bahawa Lai akan menjadi calon DAP Kota Laksamana telah membawa malu yang tidak sepatutnya kepada saudara Kit Siang pada saat-saat genting beliau sedang berjuang untuk kerjaya politiknya di Gelang Patah. Tidak ada sesiapa pun dari kepimpinan tertinggi DAP yang dimaklumkan atau menerima panggilan tak terjawab daripada Sim tentang niatnya untuk bertanding sebagai calon bebas di Kota Laksamana. Parti berasa sedih kerana di saat setiap pemimpin DAP sedang berjuang menentang taktik kotor BN untuk menghalang DAP daripada menggunakan simbol Roket, Sim telah membuat keputusan untuk berjuang menggunakan simbolnya sendiri.

Saya menyeru pengundi Kota Laksamana untuk terus menyokong simbol Roket DAP. Bagi penyokong DAP di Kota Melaka, kepimpinan DAP akan menanti keputusan Sim sebelum membuat apa-apa pengumuman.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP