Ng Yen Yen jangan jadi Menteri jaga “streamer” muka Najib

Saya merujuk kepada laporan di Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/news/220590) di mana Menteri Perlancongan dan Naib Presiden MCA Ng Yen Yen mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memohon maaf atas tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menurunkan “streamer” Barisan Nasional yang mempunyai gambar Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Saya berasa Ng bukan sahaja menghina kebijaksanaan rakyat terutamanya rakyat Pulau Pinang malah menghina kakitangan MPSP yang menjalankan tugas mereka.

Sebagai seorang Menteri, Ng patut lebih tahu bahawa undang-undang perlu dipatuhi. MPSP menurunkan “streamer” tersebut yang mengandungi gambar Perdana Menteri kerana ia tidak mempunyai permit daripada pihak berkuasa tempatan. Adakah Ng mengatakan bahawa pegawai-pegawai MPSP yang melaksanakan tugas mereka berdasarkan peruntukkan undang-undang itu salah? Beliaulah yang patut memohon maaf kepada MPSP dan kakitangan MPSP kerana mengeluarkan kenyataan yang begitu menghina tugas rasmi MPSP!

Sebenarnya Ng Yen Yen dan MCA patut berterima kasih kepada MPSP kerana telah menutup malu Perdana Menteri selepas Barisan Nasional melanggar undang-undang dengan memasang “streamer” tanpa permit.

Kita tidak menyalahkan Barisan Nasional kerana selama ini, mereka mengamalkan dasar “double standard”, tetapi Ng Yen Yen perlu ingat, di negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan Pakatan Rakyat mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT). Justeru, siapa yang buat salah, tak kira sama ada Menteri atau Perdana Menteri, tindakan akan diambil.

Daripada menjadi Menteri menjaga “streamer” muka Najib, lebih baik Ng menjaga kebajikan rakyat di kawasan beliau di Raub dan juga di kawasan jiran di Gebeng kerana rakyat di sana sedang menderita akibat keracunan alam sekitar disebabkan oleh dasar kerajaan Barisan Nasional.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan & Setiausaha Publisiti DAPSY Negeri Pulau Pinang