Kerajaan Malaysia harus mewujudkan lebih banyak taman asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak bertauliah di bawah kerajaan

Kerajaan Malaysia harus mengambil ikhtibar daripada insiden Mohamed Haneez Mohd. Zamri untuk mewujudkan lebih banyak taman asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak bertauliah di bawah kerajaan untuk membantu kaum ibu bekerja yang mempunyai kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Rakyat Malaysia terkejut dan gempa dengan insiden yang Mohamed Haneez Mohd. Zamri, seorang bayi lelaki berusia empat bulan di Kuantan yang menjadi mangsa dera seorang pembantu rumah di Kuantan, Pahang, baru-baru ini amat mengejutkan semua pihak.

Bayi berkenaan yang dilambung sehingga lebam kaki dan tangannya oleh pembantu rumah warga Indonesia itu diketahui menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang disaksikan oleh ibunya, Nina Suraya Sulaiman, 24 tahun.

Nina Suraya Sulaiman pernah memberitahu media bahawa beliau dan suaminya sekarang sudah trauma untuk menggunakan perkhidmatan pembantu rumah.

Saya percaya sebab utama Nina Suraya Sulaiman mengambil pembantu rumah tangga adalah untuk meringankan bebanya sebagai wanita bekerja sementara menjaga anaknya yang masih kecil.

Barangkali ini berlaku kerana tiada pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak bertauliah dan sesuai di tempat kerja Nina Suraya sehingga beliau terpaksa menggunakan perkhidmatan pembantu rumah tangga asing.

Sudah sampai masanya untuk kerajaan melakukan sesuatu untuk membantu kaum inu bekerja kerana masalah ini merupakan masalah besar untuk kaum ibu dan juga keluarga orang muda. Kebanyakkan kaum ibu bekerja terpaksa berhenti bekerja untuk menjaga bayi dan anak mereka.

Mengikut satu kajian yang pernah dilapor dalam media, produktiviti kaum wanita Malaysia berada pada tahap 46% pada masa sekarang. Jika dibandingkan dengan 53.2% di Indonesia, 62.9% di Singapura dan 74.2 di Kanada, tahap ini adalah sangat rendah di Malaysia. Ini juga bermakna lebih separuh daripada populasi wanita di Malaysia tidak menyumbangkan sebarang produktiviti kepada pembangunan negara biarpun tahap pendidikan wanita semakin meningkat.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada fenomena ini. Salah satu daripadanya ialah kekurangan pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak bertauliah dengan bayaran yang mampu dibiayai di Malaysia sementara perkhidmatan taska atau tadika yang dibekalkan oleh pihak kerajaan hanya dikhususkan di tempat-tempat tertentu sahaja.

Perkara ini seharusnya diberi perhatian serious oleh kerajaan. Malangnya, fokus parti pemerintah selama ini hanya memberi fokus kepada pembangunan fizikal semata-mata telah melalaikan aspek ini. Sudah sampainya masa untuk kaum ibu bersama-sama untuk menuntut sesuatu yang lebih baik untuk diri sendiri dan anak-anak kita.

Lau Weng San Setiausaha Organisasi Negeri Selangor DAP & ADUN Kawasan Kg Tunku