Ke mana pergi Wasatiyyah dan 1Malaysia? Najib cuba cetus api perkauman dengan fitnah DAP menindas Islam

Saya berasa amat kecewa dan kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak baru-baru ini. Mengikut laporan The Star, beliau telah dipetik sebagai berkata bahawa, “Undi untuk PKR akan merosakkan aqidah sementara undi untuk PAS akan memecah belahkan umat Islam.” (A vote for PKR will destroy the aqidah while a vote for PAS will only result in disunity among Muslims).

Kemudian, beliau juga menambah, “untuk DAP pula, undi untuk mereka akan mengakibatkan penindasan Islam. (As for DAP, a vote for them will see Islam being oppressed.)

Beliau telah dilaporkan membuat kenyataan tersebut di Kuala Terengganu semasa pelancaran program Jelajah Janji Ditepati peringkat Terengganu.

Ke manakah perginya sifat Wasatiyyah atau kesederhanaan yang diuar-uarkan oleh Dato’ Sri Najib sendiri? Jelas slogan-slogan yang dilaungkan seperti Wasatiyyah dan 1Malaysia hanyalah slogan kosong dan tidak dituruti oleh Dato’ Sri Najib sendiri, apabila beliau sanggup membuat dakwaan yang begitu jahat dan tidak berasas tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Hakikatnya, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali dipersoalkan oleh DAP. Malah, ia telah disemadikan dalam perlembagaan parti dan juga Deklarasi Shah Alam yang termeterai dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 8 Januari 2012.

Pada masa yang sama, pengalaman kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sepanjang lima tahun yang lepas telah membuktikan bahawa agama Islam bukan sahaja tidak ditindas, malah lebih dimartabatkan.

Peruntukan hal ehwal agama Islam bukan sahaja ditingkatkan berkali-kali ganda berbanding kerajaan dahulu, tanah bernilai hampir RM80 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan ibu pejabat Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat untuk menggantikan bangunan lama dua tingkat. Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengusahakan industri halal, melakukan pengambilan tanah untuk pembesaran perkuburan Islam, meningkatkan elaun bulanan tok siak dan bilal sebanyak 80 peratus, mengiktiraf para huffaz dan untuk kali pertama memberi peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat.

Tambahan pula, Mahkamah Tinggi telah mengesahkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bukan seorang yang anti-Islam atau anti-Melayu sebagaimana yang difitnah oleh Utusan Malaysia. Akhbar tersebut telah didapati bersalah kerana memfitnah Guan Eng dan telah diarahkan untuk membayar RM200,000 sebagai ganti rugi.

Adalah jelas bahawa dakwaan Dato’ Sri Najib itu berniat jahat dan bertujuan untuk menghasut sentimen perkauman dan agama di kalangan masyarakat Islam terhadap Pakatan Rakyat dan khususnya DAP. Bagi mengelak sebarang kekeliruan dan persengketaan, saya bagi pihak DAP telah pun membuat laporan polis terhadap Dato’ Sri Najib atas dakwaan fitnah yang berbahaya tersebut.

Zairil Khir Johari Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP