Tan Sri Nor Mohamad Yakcop harus menjelaskan mengapa agensi kerajaan pusat tidak membina rumah kos rendah atau mampu milik untuk tujuan awam

Kerajaan negeri Pulau Pinang merasa kesal bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamad Yakcop berniat jahat dan tidak bertanggunjawab dengan mengikut rentak pemimpin UMNO negeri yang bercakap bohong. Pemimpin UMNO telah menunjukkan mereka suka buat fitnah dan tidak cakap serupa bikin bila sebelum ini mendakwa kerajaan negeri menghalau orang Melayu daripada tanah mereka.

Sebenarnya Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi UMNO Bahagian Bukti Glugor Datuk Omar Faudzar yang buat demikian dengan mengaut keuntungan peribadi sebanyak RM5 juta sebagai broker tanah dalam tempoh tiga bulan sahaja hasil jualan 10 ekar tanah milik 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Adalah tidak benar sekali bahawa kerajaan negeri tidak meluluskan projek agensi kerajaan pusat atau menetapkan syarat tidak munasabah untuk membina projek rumah kos rendah. Sebenarnya hanya kerana kerajaan negeri bertindak tegas barulah agensi kerajaan pusat terpaksa untuk menjalankan tugas membina rumah kos rendah dan kos sederhana rendah seperti yang diamanahkan.

Tanah yang dimiliki oleh agensi kerajaan pusat di Pulau Pinang kebanyakan diperolehi dengan harga murah kerana dibuat secara pengambilan daripada milikan orangramai untuk tujuan awam bina rumah kos rendah. Sungguhpun kos pengambilan murah, tidak semua rumah yang dicadangkan dibina adalah rumah kos rendah atau kos sederhana rendah. Ada juga projek hotel dicadangkan dan ini pun dipertimbangkan dengan syarat rumah kos rendah dibina.

Oleh itu, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop tidak harus cakap bohong tetapi harus menjelaskan mengapa agensi kerajaan pusat tidak menjalankan tanggungjawab sepenuhnya membina rumah kos rendah bila mendapat tanah murah menerusi pengambilan tanah untuk tujuan awam. Kerajaan negeri telah mengarahkan pegawai kerajaan negeri untuk menyegerakan semua permohonan pembinaan rumah kos rendah tertakluk kepada spesifikasi teknikal yang ditetapkan. Pada masa yang sama, tanah yang diperolehi oleh agensi kerajaan pusat dengan harga murah mestilah ditumpukan untuk membina rumah kos rendah.

Adalah tidak adil agensi kerajaan pusat angkat tanah orangramai dengan harga murah tetapi buat projek yang lain daripada rumah kos rendah. Itulah sebabnya kerajaan negeri mensyaratkan agensi kerajaan membina lebih banyak rumah kos rendah. Pegawai kerajaan negeri di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, MPPP dan MPSP akan mengumpulkan maklumat untuk status semua projek agensi kerajaan pusat untuk mendedahkan kisah benar pada minggu depan.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang