Mengajurkan BN supaya akur untuk melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan bagi MPPP dan MPSP

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan selain membawa Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Pilihan Raya ke Mahkamah Persekutuan untuk mendesak pemulihan undi ketiga Dan pilihanraya kerajaan tempatan untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Peguam terkemuka Tommy Thomas akan menjadi peguam Kerajaan Negeri untuk memfailkan saman tersebut di Mahkamah Persekutuan dalam masa dua minggu lagi.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengajurkan BN supaya akur untuk melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk mengelakkan Pulau Pinang daripada mengikuti jejak langkah negeri-negeri Pakatan Rakyat yang telah menyaman Kerajaan Persekutuan demi memelihara dan menggalakkan demokrasi dan hak asasi rakyat. Tindakan menyaman akan menjadikan Pulau Pinang negeri ketiga yang menyaman Kerajaan Persekutuan BN selepas Kelantan dan Selangor.

Mengembalikan undi ketiga adalah tuntutan asas dan menjadi komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak pilihanraya 2008. Aspirasi untuk memberikan warga Pulau Pinang hak utnuk bukan sahaja memilih Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Menteri seharusnya dilanjutkan untuk pemilihan ahli majlis dan Datuk Bandar. Pilihanraya kerajaan tempatan telah dimansuhkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 1.3.1965 dan BN telah gagal menepati janjinya untuk mengembalikan pilihanraya tersebut.

Untuk merealisasikan komitmen ini Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinangtelah meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 pada 9 Mei 2012. Persetujuan telah pun diberikan oleh Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada 15 Jun 2012 menepati Perkara 26 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Apabila kerajaan baru Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran dan menyatakan hasrat untuk mengembalikan undi ketiga, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menolak permintaan Kerajaan Negeri dengan alasan bahawa tidak ada undang-undang yang memperuntukkan perlaksanaan pilihanraya sedemikian. Ketika Enakmen tersebut diluluskan di peringkat DUN, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperlecehkan usaha Kerajaan Negeri sebegai melanggar Perlembagaan dan enggan bekerjasama dan bersetuju dengan permintaan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri berpendirian bahawa pilihanraya kerajaan tempatan adalah satu perkara kelolaan Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, dan bahawa Dewan Undangan Negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan peruntukan bagi mengadakan pilihan raya tempatan di bawah Jadual Kesembilan dan Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa Enakmen tersebut akan berkuat kuasa di Pulau Pinang pada 31 Januari 2013, walau bagaimanapun Kerajaan Negeri telah gagal mendapatkan sebarang komitmen dari Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan pilihan raya bagi MPPP dan MPSP selaras dengan Enakmen tersebut.

Selaras dengan komitmen untuk mengembalikan undi ketiga, Kerajaan Negeri kini telah mengarahkan peguamnya untuk memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk memberi keizinan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (sebuah undang-undang persekutuan yang digubal oleh Parlimen), yang memansuhkan pilihanraya kerajaan tempatan di seluruh Malaysia, adalah tidak sah atau tidak berkuat kuasa di Pulau Pinang; dan bahawa Enakmen 2012 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai sah dan memperuntukkan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri akan bersama Encik P Ramakrishnan dalam saman ini, seorang warganegara malaysia, dan seorang pengundi berdaftar yang telah mengundi dalam pilihan raya negeri dan persekutuan sejak 1964 dan juga bekas presiden Aliran, yang mahu mengundi dalam pilihan raya kerajaan tempatan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan bekas Presiden Aliran saudara Ramakrishnan akan menjadi dua plaintif dalam saman yang bersejarah ini terhadap kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Persekutuan.

LATAR BELAKANG

  • Pada 14 Julai 2009, YB Chow Kon Yeow, EXCO Negeri bagi Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, telah menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan untuk meminta pilihan raya kerajaan tempatan untuk dimasukkan dalam agenda Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan, tetapi permintaan ini adalah ditolak.

  • Pada 11 Ogos 2009, Dewan Undangan Negeri telah meluluskan resolusi menyeru pihak Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan bagi mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi resolusi ini sekali lagi ditolak.

  • Pada 4 Mac 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi meminta untuk dijalankan pilihanraya kerajaan tempatan untuk MPPP dan MPSP di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan berbuat demikian.

  • Pada 18 Januari 2012, Kerajaan Negeri yang mengecualikan kedua-dua MPPP dan MPSP dari seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang telah memansuhkan semua peruntukan undang-undang berkaitan pilihanraya kerajaan tempatan.

  • Pada 9 Mei 2012, Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012, memperuntukkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan.

  • Pada 18 Disember 2012, Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan bahawa Enakmen tersebut akan berkuatkuasa mulai 31 Januari 2013.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang