Laporan polis terhadap Dr Puad Zarkashi dan tiga akhbar kawalan UMNO

Bagi pihak DAP, saya telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi serta akhbar-akhbar kawalan UMNO iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times atas dakwaan berunsur fitnah yang disiarkan dalam suratkhabar-suratkhabar tersebut pada 8 Januari 2013.

Dalam laporan berita yang bertajuk “DAP rancang edar 100,000 Bible percuma?”, Utusan Malaysia telah menyiarkan dakwaan liar bahawa DAP mempunyai rancangan untuk “mencetak 100,000 naskhah Bible versi bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah dan kemudiannya diedarkan secara percuma di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.”

Laporan Berita Harian yang bertajuk “DAP didakwa mahu edar 100,000 Bible Melayu” pula telah mengulangi dakwaan tersebut, serta melaporkan bahawa Dr Mohd Puad Zarkashi telah “mendakwa menerima maklumat itu daripada sumber sahih tapi enggan mendedahkannya.”

Dalam laporan New Straits Times yang bertajuk “Bible move a ploy to win votes”, Dr Mohd Puad telah dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar di Putrajaya bahawa “The opposition party is planning to print at least 100,000 copies of the Holy Book and will be distributing it for free in several states, including Kedah and Kelantan.” (Terjemahan: Parti pembangkang (DAP) bercadang untuk mencetak sekurang-kurangnya 100,000 naskhah Bible dan mengedarkannya secara percuma di beberapa negeri, termasuk Kedah dan Kelantan.)

Dakwaan Dr Mohd Puad Zarkashi yang disiarkan dalam ketiga-tiga akhbar tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Ia merupakan fitnah jahat yang bertujuan untuk menghasut sentimen perkauman dan agama, serta untuk membangkitkan kebencian terhadap DAP di kalangan rakyat yang beragama Islam.

Sepertimana yang sudah ditekankan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya semalam, DAP bukan parti yang berkait dengan mana-mana agama. Pendirian parti menganggap agama itu adalah hal peribadi dan tidak harus dipergunakan atau dipolitikkan. Tambahan pula, DAP tidak mempunyai sumber kewangan ataupun keupayaan untuk mencetak dan mengedar 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia seperti yang didakwa.

Memandangkan Dr Mohd Puad serta akhbar-akhbar tersebut tidak menarik balik dakwaan liar mereka atau menyiarkan penjelasan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP semalam, maka tindakan untuk membuat laporan polis telah diambil. Justeru, kami berharap dan memohon agar pihak polis mengambil tindakn siasatan segera ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam penaburan fitnah yang bahaya ini.

Zairil Khir Johari Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP