Isu #Listen - Jadi manifestasi kegagalan kerajaan BN dan simbol keruntuhan budaya intelektual

Berhubung dengan isu terbaru yang memaparkan babak 'dialog' antara peserta dan panelis dalam sebuah forum Di Universiti Utara Malaysia pada bulan Disember tahun lalu, telah menjadi perbualan hangat dilaman-laman sosial, internet.

Isu yang bermula sebagai dialog dalam sebuah majlis ilmu telah bertukar menjadi perang mulut antara panelis Sharifah Zohra dan peserta forum saudari KS Bawani ini, sungguh memalukan institusi yang menjadi gedung ilmu (universiti) dan juga kepada tokoh jemputan seperti Sharifah Zohra.

Kita percaya bahawa tragedi yang memalukan institusi pendidikan tertinggi negara seperti ini adalah manifestasi kegagalan kerajaan menerusi pentadbiran universiti yang telah gagal memainkan peranan sebagai gedung ilmu untuk golongan mahasiswa dalam konteks mengembang tahap intelek, budaya keilmuan dan merai kepelbagaian pendapat.

Tindakan Sharifah Zohra juga secara tidak sedar adalah cerminan sikap pemimpin Barisan Nasional yang angkuh dalam menerima perbezaan pandangan mahupun kritikan secara terbuka dari pelbagai pihak khususnya dikalangan orang muda yang terpelajar. Lebih malang, sifat keterbukaan itu bukan saja gagal diamalkan sebaliknya sifat ini bertukar menjadi kaedah pendekatan indoktrinasi ke atas minda mahasiswa.

Beliau yang seharusnya menjadi pembimbing harus memperagakan nilai intelektual dan terbuka, baik sebagai fasilitator atau penceramah mahupun pensyarah tidak terjadi sama sekali dalam peristiwa ini. Sebaliknya, sikap seperti beliau ini adalah representasi hagemoni akedemia yang selama ini dipayungi dengan undang-undang AUKU.

Sejak AUKU diperkenal pada tahun 1971 lagi, budaya tidak boleh bertanya, tidak boleh soal atau tidak boleh mempertikai kepada pensyarah, telah berkembang menjadi satu budaya dikalangan pendidik di institusi pendidikan di Negara ini.

AUKU bukan sahaja membelengu pelajar dalam aktiviti keilmuan, politik dan perihal kebudayaan malah akarnya jauh membenam ke dalam budaya intelektual dikalangan pensyarah, tokoh awam dan ahli politik Barisan Nasional.

Malah akta AUKU yang baru sahaja dimansuhkan tahun lalu, kini telah semakin menunjukan natijah dan kegagalannya apabila, soalan yang dilontar oleh anak muda seperti KS Bawani dilihat sebagai 'gangguan' dan ancaman kepada beliau. Ini merupakan tragedi yang menyedihkan dalam budaya intelektual dalam kampus universiti.

Saya menyeru agar anak-anak muda dan juga golongan mahasiswa untuk bangkit menukar budaya jelek ini kepada satu budaya intelektual yang baru, bebas, terbuka dan sederhana. Tiada jalan lain lagi kecuali menukar kerajaan yang nyata telah gagal menyediakan ruang budaya ilmu yang subur di kalangan pendidik dan mahasiswa.

Jika keadaan ini berterusan, budaya intelektual dalam universiti akan terus lenyap dan akhirnya mahasiswa yang lahir hanya akan menjadi alat kepada parti politik tertentu.

Mazir Ibrahim Setiausaha Eksekutif Biro Pendidikan Politik DAP & Ketua Biro Pakatan Rakyat DAPSY