Cadangan mewujudkan pasukan polis bantuan Kerajaan Selangor untuk memerangi jenayah perlu dipertimbangkan semula

Kerajaan persekutuan harus mempertimbangkan semula cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mewujudkan pasukan polis bantuan (auxiliary police force) di bawah kerajaan Selangor memandangkan keadaan jenayah yang semakin serious di negeri ini.

Kerajaan negeri Selangor pernah mengutarakan cadangan ini pada Februari tahun 2011 tetapi ianya disambut dengan respon sambil lewa oleh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein. Malahan beliau pernah mengguna alasan bahawa kadar jenayah di Selangor kian menurun dan sekaligus menolak tawaran Selangor menyediakan pasukan polis bantuan.

Realitinya, biarpun statistik semakin menurun, rakyat masih tidak merasakan mereka berada dalam keadaan yang lebih selamat dan jenayah masih lagi tinggi di tempat tinggal dan kawasan kerja mereka. Perkara ini terbukti apabila terdapat pekerja-pekerja media yang seringkali menjadi mangsa jenayah, sekaligus menolak dakwaan bahawa keadaan jenayah semakin baik di Selangor.

Daripada terus mempersalahkan media kerana “mensensasikan” berita-berita jenayah, bukankah lebih baik jikalau kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan PBT untuk memerangi masalah jenayah?

Nisbah anggota polis dan rakyat yang disyorkan oleh Interpol adalah 1 anggota polis untuk 250 penduduk. Mengikut statistik 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota, yang mana hanya 30% yang bertugas pada satu sessi. Ini bermakna dalam satu sessi nisbahnya menjadi 1:1,424.

Justeru itu, kerajaan negeri pernah menawar untuk menyediakan pasukan polis bantuan yang telah dicadangkan sejak Julai 2010 untuk mengatasi ketidakseimbangan dalam nisbah polis kepada penduduk ini. Selain itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga mengusulkan perkara ini pada tahun 2009 tetapi masih belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri walaupun kepala peruntukan telahpun disediakan dalam belanjawan 2013.

Buat sementara waktu, MBPJ hanya memperuntukan RM5,000 setahun kepada mana-mana komuniti yang berhasrat untuk mengadakan program Polis Komuniti tetapi program ini perlu dilonjakkan ke satu tahap yang lebih tinggi, iaitu seperti cadangan asal menubuhkan pasukan polis bantuan supaya ianya betul-betul dapat mengurangkan jenayah di Selangor.

Lau Weng San Setiausaha Organisasi Negeri Selangor DAP & ADUN Kawasan Kampung Tunku