Semua 28 juta Rakyat Malaysia merupakan rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi

Akhbar New Straits Times sekali lagi mendedahkan diri bukan sahaja sebagai lidah BN yang diupah khususnya untuk menabur fitnah tetapi juga sebagai badan rasis yang menyebarkan kebencian perkauman terhadap kepimpinan PR dengan berita yang diputar belit. NST dan Utusan Malaysia kedua-duanya dimiliki UMNO dan NST adalah imej cermin kepada Utusan Malaysia yang rasis. Utusan Malaysia dengan terbukanya menggalakkan sambutan pembunuhan beribu-ribu rakyat bukan Melayu semasa rusuhan kaum Mei 13 1969 sebagai "hari keramat".

Di mana-mana negara yang lain, Utusan Malaysia pasti akan dihukum kerana menghasut sentimen ganas tetapi bukan di 1Malaysia, lantas membuktikan bahawa 1Malaysia ini merupakan alat propaganda untuk menipu pengundi. Fitnah yang dimainkan Utusan Malaysia dan NST adalah begitu teruk dan menyakitkan hati sehingga saya sendiri tidak berani untuk menghantar kenyataan-kenyataan akhbar saya kepada kedua-dua akhbar ini, lagi-lagilah untuk menjawab soalan-soalan mereka semasa sidang akhbar.

Walaupun saya tidak menghantar Perutusan Tahun Baru 2013 kepada NST, NST dalam laporannya hari ini telah memutar belit kenyataan saya dengan tidak menyiarkan dengan penuh isi kandungan yang menyatakan bahawa korupsi yang berleluasa oleh BN telah mengakibatkan semua 28 juta rakyat Malaysia menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi. Rakyat kelas pertama adalah pemimpin BN manakala rakyat kelas kedua adalah kroni-kroni BN dan pengikut-pengikut mereka.

NST sungguh tidak bertanggungjawab kerana membuat gambaran palsu bahawa saya hanya mengatakan orang Cina dan India sahaja yang menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi apabila saya telah berkata bahawa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak juga merupakan rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi. NST juga tidak menyebut tentang keadaan ekonomi Bumiputera yang melarat akibat korupsi seperti skandal saham Bumiputera RM52 bilion, di mana sebanyak RM52 bilion saham telah dilenyapkan walaupun Bumiputera biasa di kalangan Melayu dan dari Sabah dan Sarawak tidak mendapat walau satu saham. Saya telah tanya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said semalam sama ada beliau mendapat saham dan beliau menjawab tidak.

Laporan NST juga tidak menyebut tentang hakikat bahawa Sabah dan Sarawak merupakan antara negeri yang termiskin di Malaysia walaupun mereka adalah yang paling kaya dari segi sumber asli. Pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak menjadi lebih kaya manakala yang miskin menjadi lebih papa. Inilah sebab kenapa 28 juta rakyat Malaysia menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi berikutan pendedahan wang haram RM871 bilion yang dialirkan keluar dari 2001-2010 dalam Laporan Global Financial Integriti yang disediakan oleh pemerhati kewangan yang berpusat di Washington.

Bukan sahaja satu dunia sudah tahu bahawa korupsi makin berleluasa di Malaysia, malah rakyat terbanyak di Malaysia juga tahu bahawa BN itu mengamalkan korupsi seperti yang dibuktikan dengan penolakan BN dalam PRU 2008. Sepertimana parti-parti satu kaum seperti UMNO, BN dan MIC boleh bersatu atas dasar korupsi, tidak ada sebab kenapa rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak boleh bersatu untuk menentang korupsi.

Seperti yang tertera dalam Perutusan Tahun Baru 2013 saya, korupsi tidak terhad kepada satu kaum tetapi mendatangkan kesan kepada semua. Kemiskinan akan ditangani melalui Agenda Ekonomi Sosial (AES) Pulau Pinang di mana Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan dengan memastikan setiap keluarga/isi rumah mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan, lantas memberi peluang kepada mereka untuk melepasi paras garis kemiskinan. Bagaimana mungkin usaha menentang korupsi dan kemiskinan, dua program yang tidak pernah dijalankan oleh kerajaan negeri BN terdahulu, boleh dikatakan oleh NST sebagai menghasut kebencian?

Untuk manfaat semua, di bawah adalah penyiaran semula Perutusan Tahun Baru 2013 Pulau Pinang yang dikeluarkan semalam.

Bagi Pulau Pinang, 2013 Akan Mendatangkan Penghapusan Kemiskinan Dan Meneruskan Kejayaan Memerangi Rasuah Supaya Tidak Akan Ada Rakyat Kelas Ketiga Dari Segi Ekonomi.

Bagi Pulau Pinang, 2013 akan mendatangkan penghapusan kemiskinan dan meneruskan kejayaan memerangi rasuah supaya tidak akan ada rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi. Dalam tempoh 5 tahun yang lepas, kepimpinan PR di Pulau Pinang telah bertungkus lumus untuk mengurangkan jurang pendapatan dan memperkenalkan tadbir urus CAT yang berdasarkan prinsip cekap, akauntabaliti dan telus untuk mengumpul lebihan bajet yang paling tinggi demi melaksanakan program-program sosial, membina infrastruktur trafik serta menyediakan perumahan mampu milik.

Di bawah Agenda Ekonomi Sosial (AES), Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan dengan memastikan setiap keluarga/isi rumah mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan. Paras garis kemiskinan adalah RM763 sebulan untuk setiap keluarga/isi rumah di Semenanjung Malaysia.

Mana-mana keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM770 sebulan akan ditambah nilai oleh kerajaan negeri setiap bulan. Dengan kata lain, sebuah keluarga dengan pendapatan bulanan RM600 akan menerima RM170 sebulan di bawah program AES PR. AES akan menelan belanja sebanyak RM20 juta setahun untuk kerajaan negeri dan majoriti penerimanya adalah orang Melayu.

Pada masa yang sama, kerja pembinaan akan bermula untuk 18,000 unit perumahan mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang, termasuk di Pulau. Dalam tahun 2013 juta, pemilihan kontraktor-kontraktor melalui tender terbuka akan dibuat untuk 5 projek kerja raya yang besar, termasuk laluan ketiga terowong bawah air di antara Gurney Drive dan Bagan Ajam di Butterworth.

Usaha memerangi rasuah akan diteruskan kerana hanya kerajaan yang bersih boleh memastikan masyarakat yang berpengetahuan, adil, progresif dan makmur. Rasuah sudah pun menjadikan rakyat terbanyak di Malaysia kepada rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi. Rakyat kelas pertama adalah pemimpin BN manakala rakyat kelas kedua adalah kroni-kroni BN dan pengikut-pengikut mereka.

Malah orang Melayu sendiri sudah menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi, ekoran skandal-skandal kewangan seperti saham Bumi bernilai RM52 bilion. RM54 bilion saham telah diperuntukkan untuk rakyat Bumiputera, tetapi Bumiputera biasa di kalangan Melayu dan dari Sabah dan Sarawak tidak mendapat walau satu saham. Kini hanya RM2 bilion yang tinggal. Sampai hari ini, kerajaan BN enggan menyiasat kerugian RM52 bilion saham Bumi.

Orang Cina juga dijadikan rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi, apabila dipaksa untuk membiayai sekolah-sekolah Cina manakala Menteri-menteri MCA dan pemimpin BN lebih berminat dalam skandal RM13.85 bilion Port Klang Free Zone. Orang India pula menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi dengan kegagalan skandal MAIKA yang belum diselesaikan.

Sabah dan Sarawak pula, dua negeri yang terkaya dari segi sumber asli di Malaysia, mempunyai taraf kemiskinan yang tertinggi kerana pemimpin-pemimpin mereka lebih berminat untuk memperkaya diri sendiri dan keluarga mereka. 28 juta rakyat Malaysia sudah menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi ekoran pendedahan wang haram RM871 bilion yang dialirkan keluar dari 2001-2010 dalam Laporan Global Financial Integriti yang disediakan oleh pemerhati kewangan yang berpusat di Washington.

Pulau Pinang telah berjaya untuk membanteras rasuah dengan memenuhi 6 langkah integriti seperti berikut:

  1. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan EXCO.

  2. Melaksanakan tender terbuka.

  3. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan.

  4. Melindungi pemberi maklumat yang tulen.

  5. Menggugurkan pemimpin yang hidup mewah.

  6. Berterus terang dalam sumbangan politik.

Jika integriti dimantapkan, bukan sahaja martabat insan malah martabat ekonomi akan dikembalikan kepada rakyat Pulau Pinang, di mana usaha akan dibalas dengan ganjaran dan peluang akan diberi kepada semua. Hanya dengan martabat ekonomi bolehlah Pulau Pinang membangun untuk menjadi bandaraya antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang