Pengiraan Detik 94 Hari ke PRU13 – Untuk menguji keyakinan UMNO bahawa tsunami 2008 telah dihentikan Najib perlu mengisytiharkan bahawa UMNO/BN akan menerima keputusan pengundi dalam PRU13

Baru-baru ini pemimpin UMNO kelihatan penuh yakin, sekurang-kurangnya pada umum, berkenaan Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan contohnya telah mengisytiharkan bahawa Perdana Menteri Seri Najib Razak telah menghentikan “tsunami politik” 2008 dengan pelbagai ikrar dan program transformasi sejak April 2009.

Beliau berkata: “pada 2008 kita khuatir ada tsunami politik, tetapi 2013 saya yakin ia sudah lama berhenti.”

Ahmad jugalah yang tahun lepas meluahkan keyakinan bahawa Barisan Nasional akan mendapatkan semula 20 kerusi perlimen yang dipegang Pakatan Rakyat untuk memperoleh majoriti dua pertiga parlimen dalam PRU13 – mengekalkan 140 kerusi parlimen yang dimenangi dan merampas lime daripada 23 kerusi yang dipegang PAS, lima daripada 29 yang dipegang DAP dan 10 daripada 31 kerusi PKR.

Persoalan yang terlintas di fikiran adalah mengapa Najib berterusan berbolak-balik tentang tarikh pilihan raya umum ke-13 sekiranya kepimpinan UMNO begitu yakin telah menghentikan tsunami 2008 dan mampu mendapatkan semula majoriti dua pertiga parlimen – selain itu memenangi kembali semua lima negeri yang tewas kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008?

Adakah kepimpinan UMNO benar-benar yakin tentang peluang UMNO/BN dalam PRU13?

Ujian paling besar buat keyakinan UMNO bahawa tsunami 2008 telah dihentikan adalah dengan Najib mengisytiharkan bahawa UMNO/BN akan menerima keputusan pengundi termasuklah pertukaran kerajaan di Putrajaya.

Ini merupakan soalan yang telah berulangkali saya tujukan kepada Najib di dalam dan di luar Parlimen sepanjang empat tahun lalu, akan tetapi beliau terus mengelak – ternyata berbeza dengan pengisytiharannya bahawa beliau mahu Malaysia menjadi “demokrasi terbaik dunia” memandangkan ia menonjolkan keengganan beliau untuk menerima kemestian paling asas dalam demokrasi yang normal, yakni sistem dua parti atau dua perikatan dan peralihan kuasa yang aman dan demokratik berdasarkan keputusan rakyat melalui peti undi.

Memandangkan kini UMNO mengisytiharkan keyakinan dalam menghentikan “tsunami 2008” memandangkan bakal merampas kembali 20 kerusi parlimen daripada Pakatan Rakyat dan mendapat kembali majoriti dua pertiga, adakah Najib bersedia untuk membuat pengisytiharan jelas dan terang bahawa UMNO dan BN akan menerima keputusan pilihan rakyat Malaysia pada PRU13, termasuklah pertukaran di dalam kuasa persekutuan di Putrajaya?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur