Pendemokrasian asas rekonsiliasi nasional sebenar

Tuan Yang Dipertua,

Terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua kerana memberi peluang untuk saya menyertai perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.

Saya ingin merakamkan kesyukuran saya kepada pengundi Kluang yang telah memilih saya sebagai Ahli Parlimen dalam PRU yang lalu.

Saya ingin membincangkan empat tajuk dalam ucapan saya, iaitu

a. Pendemokrasian sebagai asas rekonsiliasi nasional

b. Masalah-masalah yang dihadapi rakyat Kluang.

c. Pengangkutan awam

d. Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST

Pendemokrasian asas rekonsiliasi nasional sebenar

Selepas pilihanraya umum ke-13, kita dengan hujah "national reconciliation" atau rekonsiliasi nasional, yakni kembali rapatkan hubungan dan persefahaman, yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri.

Menurut Yang Amat Berhormat Pekan dalam sesi soalan minggu lepas, “national reconciliation” bermakna Pakatan Rakyat mesti terima keputusan PRU ke-13 tanpa pertikaian. Mengikut tafsiran YAB Pekan, Pakatan Rakyat bukan sahaja dipaksa menerima keputusan PRU itu tetapi juga mesti terima apa saja yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya, baik yang betul atau salah, baik menggunakan dakwat kekal atau tak kekal, baik menggunakan kimia atau perwarna makanan; mesti ikut saja apa yang SPR putuskan.

Menurut Perdana Menteri juga, satu majlis perundingan perpaduan akan ditubuhkan untuk tujuan “national reconciliation”.

Sebenarnya, Parlimenlah medan perundingan di antara kerajaan dan pembangkang. Tidak perlu memandang jauh kepada institusi lain. Kalau YAB Pekan ikhlas tentang perundingan, jadikanlah Parlimen satu-satu institusi yang demokratik. Kalau YAB Pekan berniat melaksanakan national reconciliation dan bukan “national retaliation”, jadikan pendemokrasian atau democratisation sebagai asas rekonsiliasi nasional.

Demokrasi tidak bererti yang minoriti tunduk kepada kuasa majoriti. Demokrasi bererti yang majoriti menghormati hak minoriti dan mengambil kira pandangan minoriti dalam proses pengubalan undang-undang dan dasar.

Malah, pada hari ini, Barisan Nasional sebenarnya kerajaan minoriti dari segi undi popular. Hakikat ini memerlukan Barisan Nasional mentadbir dengan cara perundingan dan bukan seperti kuku besi seolah-olah ia masih mempunyai 90 peratus kerusi seperti selepas PRU tahun 2004.

Oleh kerana ramai YB telah dan akan sentuh tentang ketidakadilan proses dan sistem pilihanraya, saya ingin tumpukan perbincangan saya kepada reformasi Parlimen, reformasi Jabatan Perdana Menteri yang semakin mendominasi kuasa politik negara dan desentralisasi.

Untuk reformasi Parlimen, kita boleh mulakan dengan mengadakan pemilihan atau pilihanraya untuk ahli-ahli Dewan Negara. Mereka boleh dipilih secara terus oleh rakyat. Untuk menjayakan usaha ini, saya cadangkan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengkaji cara-cara membaiki sistem pemilihan bagi Dewan Negara.

Dewan Negara ada peranan penting sebagai house of review untuk menyemak keputusan Dewan Rakyat dan juga sebagai house of states yang memelihara kepentingan negeri-negeri di dalam persekutuan kita.

Cadangan kedua untuk reformasi parlimen, untuk memberi lebih peluang untuk ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka dalam proses penggubalan undang-undang dan dasar, dan juga memberi peluang supaya isu-isu kawasan dirakamkan dalam Parlimen dengan tindakan susulan oleh kementerian, adalah dicadangkan bahawa Parlimen kita memperkenalkan sistem jawatankuasa utama atau “Main Committee" Parlimen Australia dan “Westminster Hall” Parlimen UK. Dalam dua parlimen ini, satu dewan kedua atau "second chamber" diwujudkan untuk ahli-ahli Parlimen membawa isu-isu kawasan dan isu-isu yang tidak memerlukan masa dewan utama. Isu-isu yang disuarakan dalam "second chamber" dikira setanding taraf dengan yang disuarakan dalam dewan utama tetapi tidak memerlukan ruang dewan utama. Dengan cara ini, dewan utama parlimen jadi lebih efisyen dan semua ahli dapat suarakan isu-isu yang mereka prihatin termasuk isu-isu kawasan masing-masing tanpa memakan masa dewan utama.

Cadangan ketiga untuk reformasi Parlimen, Pakatan Rakyat menuntut agar Jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen yang khusus dan tetap bagi kementerian tertentu ditubuhkan. Ini memastikan pembahasan yang lebih mendalam dan teliti. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, ahli Parlimen dikehendaki memberi input dan pengawasan atas badan Eksekutif, atau kerajaan yang diketuai perdana menteri. Peranan ahli Parlimen telah semakin lama semakin dikurangkan, sebab kerajaan Barisan Nasional memfokuskan kuasa dalam tangan Perdana Menteri dan jemaah menterinya.

Jawatankuasa-jawatankuasa sepatutnya terdiri daripada ahli Parlimen kedua-dua kerajaan dan pembangkang, dan diberi peruntukan untuk mengadakan pegawai kajian.

Jawatankuasa Parlimen 1 - Kebangsaan dan Antarabangsa

  • Jabatan Perdana Menteri

  • Kementerian Luar Negeri

  • Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Jawatankuasa Parlimen 2 - Ekonomi dan Kewangan

  • Kementerian Kewangan

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

  • Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

  • Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan

Jawatankuasa Parlimen 3- Keselamatan

  • Kementerian Pertahanan

  • Kementerian Dalam Negeri

Jawatankuasa Parlimen 4- Pendidikan dan Pekerjaan

  • Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi

  • Kementerian Sumber Manusia

Jawatankuasa Parlimen 5 - Pertanian, Perladangan dan Pembangunan Luar Bandar

  • Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

  • Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

  • Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Jawatankuasa Parlimen 6- Pengangkutan dan Pembangunan Bandar

  • Kementerian Pengangkutan

  • Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

  • Kementerian Wilayah Persekutuan

Jawatankuasa Parlimen 7 - Pengurusan Sumber dan Kelestarian

  • Kementerian Kerja Raya

  • Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

  • Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

  • Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Jawatankuasa Parlimen 8- Masyarakat Berkebajikan

  • Kementerian Kesihatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kementerian Belia dan Sukan

Cadangan ke-empat – Pejabat Ketua Pembangkang perlulah diberikan kedudukan taraf menteri dengan pegawai dan pembantu yang mencukupi. Ahli-ahli parlimen dari backbench dan pembangkang perlu juga diperuntukan pegawai-pegawai kajian yang mencukupi.

Cadangan ke-lima - Jawantankuasa jawatankuasa tetap parlimen seperti House Committee, Hak dan Kebebasan, Peraturan-peraturan Mesyuarat perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali setahun.Untuk reformasi Jabatan Perdana Menteri, saya ingin bangkitkan perkara di mana berlaku ketidakseimbangan di antara Jabatan Perdana Menteri dan Parlimen yang sangat ketara. Pada tahun 2013, Parlimen yang menjadi tonggak demokrasi negara hanya diperuntukan RM 82 juta ringgit sedangkan JPM yang hanya merupakan satu daripada “kementerian” diperuntukan sejumlah RM 14.6 billion ringgit.

Dengan kata lain, peruntukan untuk JPM ialah 180 kali ganda daripada Parlimen. Adakah ini bermakna JPM lebih penting dan besar daripada Parlimen? 18.Saya juga ingin cadangkan supaya Kabinet ditadbir secara kolektif dan bertanggungjawab kepada Parlimen, yang seharusnya memainkan peranan utama dalam pentadbiran. Kebanyakan agensi yang sekarang berpusat di bawah Jabatan Perdana Menteri boleh dibahagikan kepada kementerian yang berkaitan.

  1. Jabatan Perdana Menteri tidak perlukan lapan (8) menteri penuh beserta dua timbalan menteri dan ramai lagi penasihat berpangkat Menteri; Menteri di JPM harus dihadkan tiga orang sahaja dan penasihat Perdana Menteri tidak harus berpangkat Menteri. Sesiapa yang berpangkat Menteri mesti dilantik dari kalangan Ahli Parlimen Dewan Rakyat atau Dewan Negara dan mesti bertanggungjawab dengan Parlimen.

  2. Perdana Menteri dilarang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan kerana akan, dan sebenarnya telah pun berlaku konflik kepentingan atau conflict of interest. Oleh itu seorang Menteri Kewangan sepenuh masa mesti dilantik.

  3. Jabatan Peguam Negara menjadi sebuah kementerian berasingan dengan menteri penuh yang bertanggungjawab kepada Parlimen;

  4. Suruhanjaya Pilihan Raya secara langsung bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak akan lagi berada di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri;

  5. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) secara langsung bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak akan lagi berada di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri;

  6. Parlimen Malaysia ditadbir secara bebas melalui Pejabat Speaker dan pelbagai Jawatankuasa Parlimen terutamanya House Committee, serta bebas daripada pihak Eksekutif;

  7. Biro Pengaduan Awam dinaiktaraf ke posisi ‘ombudsman’ dengan peruntukan kewangan yang mencukupi serta dijadikan bertanggungjawab terus kepada Parlimen;

  8. Fungsi-fungsi Uni Perancang Ekonomi (EPU) dan PEMANDU disatukan; dan PEMANDU ditutup selepas ini;

  9. Peranan Unit Pelaksanaan dan Perancangan (ICU) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan dikaji semula

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diserap ke dalam Kementerian Pertahanan.Ketidakseimbangan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri juga jauh melampau. Jumlah belanjawan semua negeri hanya 7.9 peratus berbanding dengan belanjawan persekutuan tahun 2013. Lebih kuasa dan sumber kewangan haruslah diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri. Jika tidak, status Malaysia sebagai persekutuan atau kerajaan federal akan diragui. Saya bimbang nanti ada orang ingat kita sudah menjadi “Malayan Union” yang baru.

Dalam konteks "rekonsiliasi nasional", sabotaj Kerajaan Pusat terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat mesti dihentikan. Contohnya, jawatan kuasa keselamatan kampung sepatutnya bidang kuasa kerajaan negeri. Tetapi di negeri Pakatan, sudah berlaku keadaan "one country two systems" di mana kerajaan pusat campurtangan dan menwujudkan JKKK Pusat untuk lawan dengan JKKK Negeri di mana kos untuk membiayai JKKK Pusat mencecah RM 300 juta ringgit setahun.

Sistem penyelaras Barisan Nasional di mana penyelaras-penyelaras BN di kawasan DUN dan Parlimen Pakatan dibayar eluan dengan dana awam, dan elaun mereka hampir setanding dengan eluan wakil rakyat haruslah dihapuskan demi "national reconciliation".

Peruntukan pembangunan kawasan juga harus diagihkan secara adil kepada semua wakil rakyat termasuk wakil rakyat pembangkang.

Sementara itu, semua ahli dewan sudah pasti sedar betapa beratnya tanggungjawab di kawasan masing-masing. Bukan sahaja Ahli Parlimen perlu berusaha gigih di peringkat pusat, kita juga perlu menjaga kepentangan rakyat di peringkat kawasan. Jadi, masanya sudah tiba untuk kita adakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan. Jika ahli majlis kerajaan tempatan dipilih oleh rakyat, mereka sudah tentu lebih responsif kepada rakyat dan akan mampu menyelesaikan masalah tempatan dengan lebih berkesan.

Liew Chin Tong Pengarah Pendidikan Politik DAP & Ahli Parlimen Kawasan Kluang