Pengangkutan Awam

Saya mengalu-alukan perlantikan YB Sembrong sebagai Menteri Pengangkutan. Sebagai seorang menteri kanan yang berpengalaman dalam urusan, adalah diharapkan bahawa YB Sembrong boleh membaiki keadaan pengangkutan di seluruh negara.

Untuk memudahkan penyelarasan dan penggubalan dasar pengangkutan yang konsisten, saya mencadangkan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Darat Awam (SPAD) dikeluarkan dari Jabatan Perdana Menteri untuk diletak di bawah kawal seliaan Kementerian Pengangkutan.

Kementerian Pengangkutan yang merangkumi bidang pengangkutan awam dan di bawah pimpinan seorang menteri kanan disaran berusaha untuk menggubal Dasar Pengangkutan Nasional dengan pengangkutan awam sebagai strategi utama secepat mungkin. Malaysia telah menjadi bahan ketawa kerana kita ada Dasar Aotomotif tetapi tidak ada Dasar Pengangkutan yang menyeluruh. Kesan buruk kerana mengabaikan dasar pengangkutan yang menyeluruh ialah sistem pengangkutan kita adalah yang paling tidak efisyen di rantau ini manakala kadar kematian jalanraya per kapita (kematian per 100,000 penduduk) adalah yang paling tinggi di dunia sejak tahun 1996. Kemalangkan tinggi kerana sistem pengankutan awam tidak berkesan dan rakyat terpaksa guna motosikal sebagai mode pengangkutan utama.

Airport Limo

Saya cadangkan kepada Kementerian Kewangan dan SPAD supaya konsesi teksi limosin lapangan terbang KLIA miliki syarikat Airport Limo (M) Sdn Bhd ditamatkan kerana tidak relevan lagi selepas SPAD membenarkan teksi bandar mengambil pelangan di KLIA.

Untuk tujuan rekod, saya menyokong keputusan SPAD untuk membenarkan teksi bandar mengambil pelangan di KLIA.

Akan tetapi, untuk menjamin keadilan, pemandu teksi limo KLIA perlulah dibenarkan mengambil pelanggan di mana-mana sahaja dan bukan lagi dihadkan di KLIA.

Saya ingin menarik perhatian Dewan ini bahawa kadar bayaran harian limo aiport ialah RM153.69 manakala teksi bandar biasanya membayar di antara RM45 dan RM55 sehari. Pemandu limo terpaksa membuat lima perjalanan/trips sehari untuk menampung bayaran ini. Setiap perjalanan mengambil masa dua jam, jadi pemandu terpaksa memandu sepuluh jam sehari (secara minima) untuk hanya membayar sewa harian. Ini bukan saja tidak menjamin pulangan kewangan pemandu, ia juga menjejaskan kesihatan pemandu dan boleh membahayakan nyawa penumpang serta keselamatan jalanraya secara amnya.

Walaupun namanya "limo", kereta yang diperuntukan oleh syarikat biasanya adalah Proton Persona 1.6 dan bukan kereta dengan enjin 2.0 dan ke atas. Dengan pembayaran harian RM153.69, dalam lima tahun pemandu bayar syarikat konsesi sejumlah RM270 ribu ringgit untuk Proton Persona yang berharga RM40 ribu ringgit (cukai percuma). YAB Perdana Menteri telah berkata bahawa pekerjaan pemandu teksi adalah "modern slavery" dan Airport Limo adalah salah satu contoh yang paling ketara. Saya mohon jasa baik YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk menbatalkan konsesi pegangan Airport Limo (M) Sdn Bhd.

KTM dan sistem rel

Saya ingin menarik perhatian Dewan ini terhadap pengurangan perkhidmatan keretapi oleh KTM dengan jadual baru yang berkuatkuasa hari ini. Stesen-stesen kecil di Johor yang paling tergugat. Di antara Julai 2011 dan Julai 2013, lapan (8) perkhidmatan tren telah dibatalkan dan sejumlah sembilan (9) stesen-stesen kecil di seluruh negara (enam di Johor) telah ditutup di antara Julai 2011 dan Julai 2013.

Perkhidmatan keretapi adalah komponen yang tidak boleh diabaikan dalam sistem pengangkutan awam kita. Sebenarnya, dengan pengurusan yang baik, perkhidmatan keratapi sepatutnya berkembang dan berkhidmat di lebih banyak stesen-stesen dan menawarkan lebih banyak kepelbagaian perkhidmatan tren. Perkhidmatan tren tidak sepatutnya dihadkan kepada perjalanan utara-selatan. Di kawasan seperti Kluang dan Sembrong, perkhidmatan tren boleh digunakan untuk membawa orang ramai ke stesen-stesen kecil di kawasan berhampiran.

Sehubungan itu, adalah dikesali bahawa menurut The Edge (mukasurat 12, 17 Jun 2013), Unit Kerjasama Awam di JPM dikatakan telah memberi kelulusan kepada Malaysia Steel Works Bhd (Masteel) untuk membina "Metropolitan Commuter Network" di Iskandar Malaysia. Ini lagi satu kesilapan yang menswastakan perjalanan yang boleh bawa keuntungan dan dengan itu merugikan KTM kerana berlaku amalan “cannibalized” perkhidmatan KTM. Saya menggesa YAB Perdana Menteri membatalkan kelulusan kepada Masteel dan mengkaji sistem rel kita secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dilakukan secara tergesa-gesa.

Liew Chin Tong Pengarah Pendidikan Politik DAP & Ahli Parlimen Kawasan Kluang