SPR telah membelanjakan RM400 juta untuk mengendalikan Pilihanraya Umum ke-13!

Mengikut jawapan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Shahidan Kassim kepada soalan saya pada 27 Jun 2013, SPR telah membelanjakan RM400 juta untuk mengendalikan Pilihanraya Umum ke-13! Pecahan perbelanjaan RM400 juta tersebut adalah seperti berikut:

(i) Elaun lebih masa sebanyak RM5,081,000

(ii) Sewaan pengangkutan, barung semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks dan lain-lain sebanyak RM98,465,000

(iii) Bayaran perkhidmatan dan saguhati kepada semua petugas Pilihan Raya Umum adalah sebanyak RM204,100,000, dan

(iv) Lain-lain perbelanjaan ialah sebanyak RM92,354,000

Perbelanjaan sebanyak RM400 juta ini perlu dipersoalkan sedalam-dalamnya kerana ini melibatkan pertambahan 100% daripada peruntukan untuk PRU ke-12 pada tahun 2008. Kos untuk mengendalikan PRU ke-12 hanyalah RM200 juta. Mengapa dalam tempoh 5 tahun perbelanjaan untuk pilihanraya boleh melambung 100% walaupun bilangan pengundi yang terlibat hanya bertambah 20%?

RM400 juta untuk mengendalikan pilihanraya untuk 222 kerusi Parlimen bermaksud purata kos untuk pengendalian sebuah kawasan Parlimen ialah sebanyak RM1.8 juta! Ini merupakan satu angka yang cukup besar memandangkan had perbelanjaan untuk seseorang calon yang bertanding di peringkat Parlimen hanyalah RM200,000.

Seseorang calon perlu menjalankan kempen lebih 2 minggu, belanja untuk bahan cetakan dalam bilangan yang besar, tenaga manusia yang ramai dan banyak lagi perbelanjaan kempen. Sebahagian besar perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh SPR hanyalah untuk hari penamaan calon dan hari pengundian. Adakah ini memerlukan RM1.8 juta untuk satu kawasan?

Mengikut satu jawapan oleh bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong kepada Senator Dr S Ramakrishnan di Dewan Negara pada Mei 2011, anggaran perbelanjaan yang digunakan oleh SPR bagi menjalankan Pilihanraya Kecil (PRK) adalah di antara RM318,000.00 hingga RM1,290,000.00, bergantung kepada kawasan pilihan raya yang terlibat dalam pilihan raya tersebut.

Perincian jumlah keseluruhan perbelanjaan setiap PRK sejak Pilihanraya Umum ke-12 diadakan adalah seperti berikut:

Bil Bahagian Pilihan Raya Jumlah Perbelanjaan
1 P.44 Permatang Pauh RM409,000.00
2 P.36 Kuala Terengganu RM325,416.00
3 P.59 Bukit Gantang RM460,971.00
4 N.25 Bukit Selambau RM318,000.00
5 N.29 Batang Ai RM391,700.00
6 N.12 Penanti RM514,600.00
7 N.41 Manek Urai RM548,003.00
8 N.11 Permatang Pasir RM461,367.00
9 N.31 Bagan Pinang RM449,485.00
10 P.94 Hulu Selangor RM1,200,000.00
11 P.212 Sibu RM1,000,000.00
12 P.185 Batu Sapi RM1,290,000.00
13 N.45 Galas RM1,047,000.00
14 N.05 Tenang RM1,100,000.00
15 N.27 Merlimau RM755,000.00
16 N.28 Kerdau RM915,000.00

Mengapakah perbezaan kos ini begitu besar sekali? Sekiranya kos untuk mengendalikan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada tahun 2008 hanyalah RM409 ribu, apakah justifikasi SPR membelanjakan purata sebanyak RM1.8 juta untuk sebuah kawasan Parlimen pada tahun 2013?

SPR perlu sedar bahawa setiap sen yang mereka belanjakan adalah peruntukan dari Parlimen iaitu wang daripada hasil cukai yang dipungut daripada rakyat. Mereka tidak ada kekebalan untuk merahsiakan perbelanjaan mereka dan berbelanja secara boros tanpa sebarang akauntabiliti. Rakyat Malaysia masih menunggu jawapan daripada SPR berkenaan skandal RM7.1 juta dakwat kekal yang tidak kekal. Kini, timbul pula isu pertambahan kos yang begitu mendadak. SPR tidak boleh terus membisu dan lari daripada persoalan-persoalan ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak Ketua Audit Negara seharusnya menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat dan mengaudit segala perbelanjaan yang dibelanjakan oleh SPR untuk mengendalikan PRU13 memandangkan SPR bukan sahaja gagal memastikan pilihanraya yang bersih dan adil tetapi telah membazirkan ratusan juta wang rakyat.

Loke Siew Fook Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Seremban