Sistem Pra-U Malaysia perlu disatukan

Saya menyeru agar sistem pra-universiti di Malaysia disatukan dengan serta-merta untuk menangani masalah pelajar cemerlang pra-universiti yang tidak dapat memasuki universiti tempatan mahupun memperoleh kursus yang diingini.

Sejak minggu lalu terdapat sekumpulan pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta program matrikulasi gagal untuk melayakkan mereka diterima masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara kita.

Setakat kini, wujudnya berpuluh-puluhan pelajar yang tidak ditawarkan sebarang kursus di IPTA walaupun mereka telah mencapai markah 4.0 dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA), yakni markah penuh. Malah Kementerian Pendidikan memberikan alasan bahawa kegagalan pelajar cemerlang untuk diterima masuk ke universiti tempatan adalah disebabkan kesilapan teknikal pelajar sendiri, iaitu ketidakupayaan untuk mengisi borang dengan baik.

Masalah pelajar cemerlang yang tidak dapat memasuki universiti tempatan ataupun memperoleh kursus yang diingini berlaku dari tahun ke tahun tanpa berhenti. Sesungguhnya masalah sedemikian berpunca daripada sistem pra-universiti yang tidak disatukan. Kementerian Pendidikan seharusnya mengumumkan nisbah antara pelajar STPM dan pelajar matrikulasi yang berjaya memasuki universiti tempatan untuk menyangkal dakwaan bahawa pelajar STPM lebih rugi dan dipinggirkan dalam isu penerimaan masuk ke universiti tempatan.

Isu perbezaan dari segi pemberian markah kokurikulm turut membelenggu pelajar. Lumrahnya markah kokurikulum pelajar matrikulasi adalah diberikan oleh pensyarah di kolej matrikulasi masing-masing manakala markah kokurikulum pelajar STPM diperoleh melalui penggabungan markah kokurikulum sejak Tingkatan Satu sehingga peringkat pra-universiti. Malah Pengerusi Biro Pendidikan MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong sendiri mengakui bahawa pelajar matrikulasi lebih mudah untuk memperoleh markah kokurikulum berbanding dengan pelajar STPM. Hal ini jelas menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang ketara dalam pemberian markah kokurikulum antara pelajar STPM dengan pelajar matrikulasi dan hal sedemikian setentunya mewujudkan perasaan ketidakadilan dalam kalangan pelajar STPM.

Sekiranya kerajaan yang sedia ada mempunyai niat politik untuk mengatasi kemelut tersebut, maka sistem pra-universiti kini yang merangkumi sistem STPM dan program matrikulasi harus disatukan. Markah kelayakan bagi setiap kursus patut diumumkan supaya pelajar-pelajar dapat mengetahuinya sebelum permohonan kursus. Dasar yang telus harus dilaksanakan dalam hal ini tanpa berlengah lagi. Langkah sedemikian adalah mustahak untuk melayakkan universiti tempatan di negara kita untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan universiti-universiti terkemuka di seluruh pelosok dunia.

Chow Yu Hui Pengarah Hal-Ehwal Varsiti DAPSY & ADUN Bilut