DAP membidas pembunuhan beramai-ramai di Mesir dan menggesa kerajaan Malaysia menyemak semula pendirian kerajaan terhadap Mesir

Selepas pembunuhan beramai-ramai yang berlaku hujung minggu lepas, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman patut menasihati kerajaan untuk menyemak semula pendirian kerajaan terhadap Mesir.

DAP membidas tindakan angkatan tentera Mesir yang bertindak membunuh beratusan penyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi.

Jumlah kematian dari pertempuran di Cairo dilaporkan mencecah 120 pada hari Ahad.

Lebih daripada 200 penyokong Muslim Brotherhood sudah dibunuh sejak Presiden Morsi digullingkan dalam rampasan kuasa (coup) pada 3 Julai. Dalam insiden terbaru hujung minggu lepas, ramai dilaporkan telah ditembak di bahagian kepala atau tubuh.

Keadaan genting ini memerlukan perhatian dan tindakan dari dunia. Sebagai pemimpin dunia yang bertanggungjawab, kerajaan Malaysia mesti menyemak semula pendirian kerajaan terhadap Mesir.

Setakat ini, Kementrian Luar telah mengambil keputusan untuk tidak campur tangan dalam "hal ehwal dalaman" negara Mesir.

Namun, dasar "tidak menjaga tepi kain orang" ini sudah ketinggalan zaman, terutama dalam keadaan sedemikian di mana dunia Muslim menunggu Malaysia menyatakan pendiriannya.

Jika Malaysia tidak bersuara untuk kebenaran, keamanan, hak asasi manusia dan demokrasi di dunia Muslim, negara mana lagi yang akan bersuara?

Sekurang-kurangnya, kami mengharapkan bahawa kerajaan Malaysia:

  1. Membidas dengan terbuka rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan Presiden Morsi yang telah dipilih secara demokratik

  2. Membidas pembunuhan penyokong Presiden Morsi.

Kegagalan untuk membuat sedemikian akan mengecewakan bukan sahaja rakyat Malaysia malahan ramai di seluruh dunia yang pernah memuji Malaysia yang memainkan peranan kepimpinan dalam dunia Muslim dan dunia ketiga.

V. Sivakumar Setiausaha Antarabangsa DAP & Ahli Parlimen Batu Gajah Liew Chin Tong Pengarah Pendidikan Politik DAP & Ahli Parlimen Kluang