DOSH mesti segerakan hasil siasatan runtuhan Menara Bangunan UMNO menjelang minggu depan

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) mesti segerakan hasil siasatan runtuhan menara Bangunan UMNO yang mengakibatkan kehilangan dua nyawa menjelang minggu depan begitu juga dengan susur Jambatan Kedua Pulau Pinang yang berpunca daripada kecuaian kontraktor yang mengakibatkan kehilangan satu nyawa. Ketua Pengarah DOSH, Datuk Dr Johari Basri dalam kenyataannya pada minggu lepas, siasatan DOSH berhubung runtuhan susur Jambatan Kedua Pulau Pinang mendapati terdapatnya 'kelemahan' akibat kecuaian kontraktor berhubung aspek 'prosedur dan teknikal'.

Malah beliau mengatakan DOSH kini sedang menyediakan fail dakwaan dan berbincang dengan pendakwa raya untuk mendapatkan kesepakatan dalam kes ini. MPPP telah mengeluarkan stop-work order terhadap keseluruhan projek Jambatan Kedua yang bernilai RM3 billion dengan jarak 24 km ini, sehingga audit keselamatan yang menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan tiada ancaman berlakunya runtuhan lain.

Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan membenarkan apa-apa aktiviti di Jambatan Kedua sehingga perintah stop work order ditarik balik dan keselamatan serta kestabilan struktur disahkan. Larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (The Penang International Bridge Marathon) yang dijadualkan berlangsung untuk pertama kalinya di Jambatan Kedua Pulau Pinang pada November tahun ini, akan di bawa kembali ke Jambatan Pertama Pulau Pinang.

Saya juga dimaklumkan bahawa DOSH juga melaksanakan siasatan yang sama terhadap menara Bangunan UMNO yang runtuh seminggu selepas berlakunya runtuhan di susur Jambatan Kedua Pulau Pinang. Oleh kerana hanya beza satu minggu antara dua tragedi ini, DOSH sewajarnya dapat menyempurnakan siasatan berhubung runtuhan menara Bangunan UMNO menjelang minggu hadapan.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang