DAP akan mengarahkan 3 Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor serta Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengisytiharkan harta secara umum

DAP akan mengarahkan 3 Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor serta Speaker Dewan Negeri Selangor daripada DP untuk mengisytiharkan harta secara umum bagi memenuhi komitmen Pilihan Raya Umum DAP terhadap ketelusan, akauntabiliti dan integriti. 3 Ahli EXCO DAP tersebut adalah Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan Ganapathi Rao manakala Speaker Dewan Negeri Selangor adalah Hannah Yeoh.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan semalam bahawa beliau tidak akan mengarahkan Ahli EXCO Kerajaan Selangor untuk mengisytiharkan harta yang telah diperolehi sebelum dilantik menjadi Ahli EXCO disebabkan faktor keselamatan peribadi serta keselamatan Ahli EXCO serta ahli keluarga mereka. Tan Sri Abdul Khalid berkata bahawa keengganan untuk mengisytiharkan harta adalah disebabkan kerisauan beberapa Ahli EXCO terhadap keselamatan diri dan keluarga sekiranya asset mereka yang didapati sebelum dilantik sebagai EXCO diketahui umum.

DAP dengan penuh hormat tidak dapat bersetuju dengan pendapat Tan Sri Abdul Khalid kerana inilah alasan yang diberikan oleh Barisan Nasional apabila enggan untuk mengisytiharkan harta mereka. Malangnya bekas presiden Transparency International Malaysia Paul Low yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah menyokong pendirian BN dengan tidak menuntut sebarang pengisytiharan harta dalam ikrar integriti TI bagi PRU yang lepas.

DAP tidak pernah faham apa sebabnya TI Malaysia dan Paul Low enggan mentut supaya pemimpin kerajaan mengisytiharkan harta, yang melanggar prinsip asas TI di peringkat antarabangsa sehingga Paul Low menerima pelantikan sebagai menteri Kabinet. Sehingga kini Paul Low masih enggan menerima cadangan DAP untuk pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri BN dan Ahli EXCO Kerajaan Negeri.

Meskipun tidak bersetuju dengan Tan Sri Abdul Khalid, DAP tidak akan memaksakan pendapatnya ke atas Kerajaan Negeri Selangor. Apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menjadi kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mengisytiharkan harta Ketua Menteri serta kesemua Ahli EXCO, tidak ada mana-mana ahli EXCO mahupun ahli keluarga mereka diancam keselamatannya.

Pengisytiharan harta pimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang termasuklah semua harta yang dipegang sebelum dilantik menjadi Ahli EXCO Negeri serta diperakui sah oleh firma pengauditan antarabangsa. Pengisytiharan harta sebelum dilantik menjadi Ahli EXCO adalah penting demi menunjukkan bahawa tidak wujud pertembungan kepentingan mahupun salahguna kuasa apabila keputusan dibuat oleh Ahli EXCO ataupun Ketua Menteri.

DAP telah membuat komitmen sewaktu pilihanraya untuk mengisytiharkan harta secara umum kesemua menteri dan ahli EXCO. DAP mesti mematuhi piawai minima integriti ini dan tidak akan merendahkan standard tersebut malah merasa janji pilihanraya ini mesti ditunaikan dengan mengarahkan supaya Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan Speaker Dewan Negeri Selangor daripada DAP supaya mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Tarikh dan waktu untuk pengisytiharan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di Kuala Lumpur pada Selasa depan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan